Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Fenomena gelombang haba kian berleluasa

Jun 17, 2024 | 5:30 AM
Seorang pekerja mandi pada musim panas di Jammu, India, pada 1 Jun 2024 sedang gelombang haba paling lama melanda negara itu. Pada 10 Jun, pemerintah India memberi amaran kepada orang ramai agar berhati-hati apabila suhu meningkat melebihi 45 darjah Celsius
Seorang pekerja mandi pada musim panas di Jammu, India, pada 1 Jun 2024 sedang gelombang haba paling lama melanda negara itu. Pada 10 Jun, pemerintah India memberi amaran kepada orang ramai agar berhati-hati apabila suhu meningkat melebihi 45 darjah Celsius - Foto AFP

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), Profesor Petteri Taalas, menegaskan bahawa fenomena gelombang haba akan menjadi norma baru dalam kehidupan masyarakat dunia.

Profesor Taalas turut menggesa semua negara supaya mengambil langkah segera dalam menangani situasi itu.

Ia amat berkait rapat dengan pemanasan sejagat yang dipacu oleh kegiatan manusia seperti perlepasan gas rumah hijau ke atmosfera bumi.

Gelombang haba meningkatkan risiko kepada kesihatan manusia seperti strok haba, kelesuan haba, peningkatan kadar kemasukan ke hospital dan penyebaran penyakit.

Pengarah Jabatan Kesihatan Awam dan Alam Sekitar di Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Maria Neira, berkata “apabila fenomena gelombang haba berlaku yang disertai dengan kehadiran bahan cemar yang tinggi di udara, manusia akan terdedah kepada masalah pernafasan dan penyakit jantung terutama penduduk yang tinggal di kawasan bandar–bandar besar.”

Dr Maria berkata kerana kawasan bandar lebih terdedah kepada kesan haba bandar iaitu secara ironinya, suhu persekitaran di bandar adalah lebih tinggi berbanding kawasan luar bandar.

Selain gangguan kepada kesihatan manusia, gelombang haba berpotensi menyebabkan jerebu, kebakaran hutan, krisis kekurangan bekalan air bersih, pengurangan keluaran pertanian, kerosakan prasarana, gangguan bekalan elektrik, penurunan produktiviti pekerja khususnya dalam sektor pembinaan dan pertanian, serta kematian haiwan khususnya spesis yang sensitif terhadap suhu yang melampau.  

Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menyifatkan gelombang haba menyebabkan kehilangan produktiviti pekerja secara global sebanyak 2.2 peratus dan setara dengan kehilangan 80 juta pekerja sepenuh masa menjelang 2030, dengan kerugian mencecah AS$2.4 trilion ($3.25 trilion).

Saintis Iklim dari United Kingdom, Dr Nick Dunstone, menggunakan permodelan iklim untuk meramal suhu sejagat. Beliau menegaskan bahawa suhu global pada 2023 dan 2024 akan lebih panas dan dianggap antara yang terburuk dalam rekod dunia. 

Keadaan panas dan kering diburukkan lagi dengan kehadiran fenomena El-Nino yang dijangka akan melanda negara Asia bermula Jun 2024.

Secara asasnya, El-Nino adalah corak iklim semula jadi yang dipengaruhi pemanasan suhu air laut meliputi kawasan tengah dan timur lautan Pasifik. 

Ia berlaku setiap dua ke tujuh tahun iaitu setiap episod boleh memakan masa antara sembilan dengan 12 bulan. 

Episod iklim yang luar biasa itu menyebabkan peningkatan curahan air hujan di beberapa kawasan di dunia.

Sebaliknya, ia akan menyebabkan keadaan yang lebih kering dan panas di sekitar Asia Tenggara, Australia dan Indonesia.

Suhu tengah hari yang dirasai – ukuran yang turut mengambil kira kelembapan dan kelajuan angin selain suhu udara – sering melebihi 50 darjah Celsius.

Gelombang haba yang besar di seluruh Asia Timur dan Pasifik boleh menyebabkan berjuta-juta kanak-kanak berisiko.

Data Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) berkata lebih 243 juta kanak-kanak di seluruh Pasifik dan Asia Timur dianggarkan terjejas berikutan gelombang haba, mendedahkan mereka kepada risiko penyakit berkaitan haba dan kematian.

Menurut laporan Unicef, kanak-kanak lebih berisiko berbanding orang dewasa kerana mereka kurang berkemampuan mengawal suhu badan.

Laporan itu berkata, gelombang haba dan tahap kelembapan yang tinggi, lazimnya dialami di rantau ini boleh menyebabkan kesan maut kerana haba akan ‘menghalang mekanisme penyejukan semula jadi badan’.

Beberapa negara di rantau ini sedang berdepan gelombang musim panas dengan suhu menghampiri paras rekod kerana ia kerap mencecah lebih 40 darjah Celsius

Sebagai contoh pada Mei 2024, gelombang haba luar biasa dengan suhu yang dirasai melebihi 52 darjah Celsius telah meragut 61 nyawa di Thailand, lapor agensi berita Jerman, dpa, yang memetik laporan Kementerian Kesihatan di Bangkok.

Angka itu lebih dua kali ganda daripada jumlah kes strok haba yang direkodkan sepanjang 2023.

Kebanyakan kematian berlaku di bahagian timur laut yang pertanian adalah sektor penting ekonomi.

Gelombang haba yang melanda dalam beberapa minggu kebelakangan ini menyebabkan suhu waktu malam kekal sekitar 30 darjah Celsius di Bangkok dan banyak kawasan lain di negara ini.

Menurut Kementerian Kesihatan Thailand, kira-kira 40 orang maut akibat penyakit berkaitan haba setiap tahun.

Pada Februari 2024, Vietnam mengalami gelombang haba raksasa di bahagian selatan apabila suhu mencecah sehingga 38 darjah Celsius, paras tinggi ‘tidak normal’ untuk tempoh terbabit.

India pada Mei 2024 dicengkam gelombang haba luar biasa ketika fenomena El Nino diramalkan beralih pada fasa neutral pada pertengahan 2024.

Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak berkuasa India bertindak mengeluarkan amaran kesihatan kerana bimbang keadaan itu berpotensi meragut nyawa.

Gelombang haba telah meragut puluhan nyawa di pelbagai bahagian di India.

India tidak asing dengan musim suhu panas melampau, namun penyelidikan saintifik dijalankan berulang kali mendapati perubahan iklim menyebabkan gelombang haba menjadi lebih lama, lebih kerap dan terik. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg