SYDNEY: Sebahagian Australia Barat dilanda gelombang haba yang melampau pada 20 Januari, meningkatkan risiko kebakaran belukar di negeri yang luas itu, kata agensi cuaca negara tersebut.
Biro Meteorologi mengeluarkan amaran gelombang haba melampau pada 20 Januari bagi kawasan terpencil Pilbara dan Gascoyne di negeri terbesar di Australia itu, memberi amaran bahawa suhu di sana boleh mencecah melebihi 40 darjah Celsius pada hujung minggu.
Di bandar perlombongan Pilbara, Paraburdoo, kira-kira 1,500 kilometer utara dari ibu negeri Perth, suhu maksimum 47 darjah Celsius diramalkan pada 20 Januari, 6 darjah Celsius lebih tinggi daripada suhu maksimum purata pada Januari, menurut data agensi kaji cuaca.
Suhu di sana mencapai 42.7 darjah Celsius pada 11 pagi.
Suhu tertinggi Australia dalam sejarah ialah 50.7 darjah Celsius, yang dicatat di Lapangan Terbang Onslow Pilbara pada 13 Januari 2022.
Cuaca panas pada 20 Januari meningkatkan risiko kebakaran belukar dalam musim kebakaran ini, ditambah pula dengan corak cuaca El Nino, yang biasanya dikaitkan dengan kejadian melampau seperti kebakaran hutan, taufan dan kemarau.
Amaran dibuat selepas ratusan pegawai bomba pada awal Januari dikerah untuk memadamkan api apabila kebakaran belukar di luar kawalan berlaku berhampiran Perth di tengah-tengah suhu yang tinggi, menyebabkan ramai penduduk terpaksa dipindahkan. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg