Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Forum bagi orang ramai belajar risiko, cegah kencing manis

Oct 15, 2024 | 2:42 PM
Tingkatkan pengetahuan tentang kencing manis di forum kesihatan, ‘Kita Cukup Manis Tak?, anjuran Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA) pada 26 Oktober.
Tingkatkan pengetahuan tentang kencing manis di forum kesihatan, ‘Kita Cukup Manis Tak?, anjuran Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA) pada 26 Oktober. - Foto MHPA

Bagi meningkatkan kesedaran mengenai bahaya penyakit kencing manis dan peri penting pengurusan kesihatan yang baik, sebuah forum kesihatan, Kita Cukup Manis Tak?, akan diadakan pada 26 Oktober.

Dianjurkan Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA), ia bertujuan mendidik masyarakat tentang risiko dan pencegahan kencing manis melalui sesi interaktif bersama pakar kesihatan.

Forum ini bersempena sambutan Hari Kencing Manis Sedunia dan akan berlangsung dari 9 pagi hingga 1 petang di Bilik Possibility, Tingkat 5, Perpustakaan Negara, Victoria Street.

Menurut MHPA, forum ini sesuai untuk orang ramai mempelajari tentang pengurusan kencing manis dengan lebih mendalam.

Antara panelisnya ialah Dr Siti Sarina Sairazi, pakar perubatan keluarga daripada Klinik Shifa yang berkongsi panduan tentang cara mengenali dan mengurus kencing manis dengan berkesan.

Seorang lagi panelis, Cik Cik Athiyah Alynna Chua, jururawat kanan daripada Allium Care Suites, akan berkongsi pengalamannya merawat pesakit kencing manis.

Pasangan suami isteri, Encik Yazed Makmon dan Cik Nazeera Ebrahim, akan menceritakan pengalaman peribadi mereka menghadapi cabaran hidup dengan penyakit itu.

Ustazah Kaithom Isa pula akan memberi perspektif psikologi dan rohani mengenai pengurusan kesihatan.

Forum ini mendapat sokongan daripada Lembaga Perpustakaan Negara dan Persatuan Bertindak Ginjal bagi Masyarakat Islam (MKAC), serta dibiayai oleh dana Oscar daripada Yayasan Temasek, yang bersama-sama berusaha meningkatkan mutu hidup masyarakat melalui pendidikan kesihatan berterusan.

Dalam kenyataannya, MHPA berkata:

“Kami mengajak orang ramai turut serta dan memanfaatkan forum ini. Penting untuk kita semua mengenali risiko kencing manis dan belajar cara mengelakkannya.”

Hadirin akan menerima sebuah buku khas terbitan MHPA bertajuk Hikmah Senja.

Buku dwibahasa ini mengandungi panduan mengenai pengurusan kencing manis dan penuaan daripada perspektif perubatan dan agama, hasil sumbangan pakar kesihatan pelbagai bidang.

Menurut MHPA, forum ini berbeza daripada ceramah kesihatan biasa kerana ia menyediakan lebih banyak elemen interaktif dan peluang untuk hadirin berinteraksi terus dengan pakar kesihatan.

Selain sesi soal jawab, hadirin boleh menyertai pemeriksaan tahap gula darah secara percuma, bagi membolehkan mereka memantau kesihatan diri.

Acara ini turut menyediakan kuiz interaktif untuk menguji pengetahuan peserta mengenai kencing manis, dengan peluang memenangi hadiah. Hidangan akan disediakan semasa acara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg