Sopak atau vitiligo ialah keadaan kulit kronik yang berlaku apabila sel penghasil pigmen atau warna kulit (melanosit) musnah atau gagal berfungsi.
Ini menyebabkan sebahagian kulit kehilangan warna dan terdapat tompok putih berbanding kulit asal.
Tompok itu dipanggil makula jika diameter kurang satu sentimeter; dan tompok (patch) jika lebih satu sentimeter.
Jika sopak berlaku pada kawasan berbulu seperti rambut atau kening, rambut juga boleh menjadi putih atau kelabu.
Melanosit ialah sel yang menghasilkan melanin, iaitu pigmen semula jadi yang memberi warna pada kulit, rambut dan mata.
Dalam kes sopak, sistem imun seseorang menyerang sel ini secara silap (autoimun), lalu menghentikan penghasilan melanin.
Hasilnya, kulit kehilangan warna dan muncul tompok putih yang ketara.
+ Boleh dialami oleh semua jantina dan bangsa.
+ Lebih ketara pada individu berkulit gelap kerana perbezaan warna yang lebih ketara.
+ Sekitar 1 peratus penduduk dunia menghidapi sopak.
+ Kebanyakan kes bermula sebelum umur 30 tahun, tetapi boleh berlaku pada sebarang usia.
+ Risiko meningkat jika ada sejarah keluarga atau penyakit autoimun, seperti:
– Penyakit tiroid (hipo/hipertiroidisme)
– Kencing manis Jenis 1
– Lupus
– Artritis reumatoid
– Anemia
– Penyakit Addison: Kekurangan hormon korteks kelenjar adrenal
– Psoriasis: Kulit gatal dan bersisik
Tompok putih pada kulit, kerap bermula di muka; tangan dan kaki; lengan bawah; bibir, mulut dan hidung; kawasan kemaluan, rambut menjadi putih di kawasan terjejas.
– Ada yang alami kegatalan sebelum tompok muncul
– Tiada rasa sakit atau keradangan
+ Bermula dengan beberapa tompok kecil dan boleh merebak secara perlahan.
+ Ada kes tompok berhenti berkembang selepas beberapa tahun.
+ Tompok kadangkala berubah tempat, boleh hilang dan muncul semula.
+ Jumlah kulit yang terkesan berbeza antara individu – ada yang hanya beberapa tompok, ada juga hampir keseluruhan tubuh.
JENIS SOPAK
Vitiligo Umum – Tompok muncul di banyak tempat secara simetri. Paling biasa.
Vitiligo Bersegmen – Hanya di satu sisi badan, seperti tangan atau muka.
Vitiligo Mukosal – Melibatkan bahagian dalam mulut, hidung atau alat kelamin.
Vitiligo Fokal – Tompok terhad kepada satu kawasan dan tidak merebak dalam masa setahun dua.
Vitiligo ‘Trikrom’ – Tompok putih dikelilingi kawasan cerah dan diikuti kulit asal.
Vitiligo Universal – Lebih 80 peratus permukaan kulit kehilangan pigmen. Jarang berlaku.
Autoimun – sistem imun serang melanosit
Baka – 30 peratus kes berkait faktor keturunan
Tekanan emosi/fizikal – boleh cetuskan reaksi tubuh
Faktor alam sekitar – contohnya cahaya UV berlebihan atau pendedahan bahan kimia toksik
RAWATAN YANG TERSEDIA
Sopak tidak berbahaya tetapi rawatan boleh dipertimbangkan jika:
+ Gejala mengganggu emosi
+ Mahu warna kulit lebih sekata
+ Kawasan terjejas luas dan kelihatan
Krim topikal: Tacrolimus, Pimecrolimus, Calcipotriol (untuk kawasan kecil)
Terapi cahaya (Phototherapy): UVB atau laser excimer (merangsang sel pigmen)
Ubat sistemik: Steroid, Methotrexate, Ciclosporin (untuk kes yang merebak)
Terapi pigmentasi: Gunakan ubat monobenzone untuk samakan warna kulit
Pembedahan (graf kulit): Guna kulit sendiri untuk menutup kawasan putih
Sokongan psikologi/kaunseling: Untuk bantu pesakit mengurus tekanan emosi
Gunakan pelindung matahari Faktor Pelindung Matahari (SPF) 30+ setiap hari
Elakkan pendedahan matahari berpanjangan
Pakai pakaian pelindung
Boleh guna solekan penyamar (camouflage) atau mikropigmentasi (tatu kosmetik)
Kekalkan kelembapan kulit dengan pelembap harian
FAKTA
Vitiligo bukan penyakit berjangkit: Penyakit ini tidak akan menular melalui sentuhan atau perkongsian barangan peribadi.
Vitiligo tidak menyebabkan kesakitan fizikal: Namun begitu, kulit yang terjejas mungkin menjadi lebih sensitif terhadap cahaya matahari dan mudah terbakar jika tidak dilindungi.
Vitiligo tidak dapat sembuh sepenuhnya: Walaupun tiada penawar mutlak, terdapat pelbagai rawatan yang mampu membantu memulihkan semula warna kulit secara beransur-ansur.
Vitiligo boleh diwarisi secara genetik: Risiko menghidap vitiligo lebih tinggi jika terdapat sejarah keluarga yang pernah mengalami penyakit ini.
– Tompok putih merebak dengan cepat.
– Kulit jadi sensitif atau mudah terbakar.
– Perubahan kulit menjejas emosi, keyakinan, atau sosial.
– Mahu tahu rawatan yang sesuai.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg