Sistem imun yang lemah merupakan faktor pencetus utama bagi penyakit kayap (herpes zoster).
Biasanya, sistem imun akan mengawal virus varicella-zoster (VZV), penyebab cacar air dan kekal tidak aktif dalam sel saraf.
Namun, apabila sistem imun menjadi lemah, sama ada semasa atau selepas jangkitan seperti Covid-19, ia mungkin kurang mampu membendung virus tersebut.
Ia boleh menyebabkan virus itu diaktifkan semula dan menjadi kayap.
Selain tahap kekebalan yang kian hilang, tekanan fizikal akibat jangkitan juga boleh menyebabkan virus VZV aktif semula.
Semasa Covid-19, banyak kes kayap dilaporkan.
Keadaan itu mungkin disebabkan oleh jangkitan Covid-19 itu sendiri, atau akibat tekanan emosi kerana terkurung di rumah, semua itu boleh menjadi beban kepada orang ramai.
Mencegah kayap adalah penting kerana penyakit itu boleh menyebabkan kesakitan yang teruk, komplikasi jangka panjang dan kemerosotan serius dalam mutu hidup.
Pendidikan awam memainkan peranan utama dalam meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya vaksinasi tepat pada masanya, mengubah tumpuan daripada merawat penyakit kepada pencegahan.
Vaksin kayap adalah kaedah pencegahan yang amat berkesan, memberikan perlindungan lebih 80 peratus hingga 90 peratus untuk sekurang-kurangnya 10 tahun selepas suntikan.
Ia menjadi semakin penting kini kerana peningkatan kes Covid-19 boleh melemahkan sistem imun, meningkatkan risiko berulangnya penyakit yang sebenarnya boleh dicegah dengan vaksin seperti kayap, terutama dalam kalangan golongan berisiko.
Kesan kesihatan utama termasuk:
Kesakitan dan ketidakselesaan: Kayap biasanya menyebabkan ruam menyakitkan disertai rasa terbakar, gatal dan sensasi mencucuk. Kesakitan itu boleh menjadi teruk dan mengganggu mutu hidup.
Bisa selepas serangan herpes: Turut disebut sebagai ‘postherpetic neuralgia’ (PHN), ia merupakan komplikasi yang boleh berlanjutan selama berbulan atau bertahun walaupun ruam kayap telah sembuh. PHN amat menyulitkan dan sukar dirawat.
Komplikasi lain: Kayap boleh menyebabkan jangkitan bakteria pada kulit, masalah penglihatan jika melibatkan mata (herpes zoster ophthalmicus), dan dalam kes yang jarang berlaku, komplikasi saraf seperti ensefalitis – radang pada otak yang disebabkan oleh agen jangkitan seperti bakteria, virus atau parasit.
Ramai sudah biasa dengan komplikasi akut kayap.
Namun, kini kita mula menyedari komplikasi lain yang kurang jelas seperti peningkatan risiko angin ahmar dan serangan jantung.
Kayap yang melibatkan dahi (herpes zoster ophthalmicus) membawa risiko tiga kali lebih tinggi diserang angin ahmar berbanding kayap di kawasan lain.
Kajian saintifik baru-baru ini turut menunjukkan kaitan antara kayap dengan penyakit Alzheimer.
Penggunaan vaksin kayap boleh mengurangkan risiko Alzheimer atau demensia. Ini menunjukkan kesan jangka panjang kayap yang serius.
Menyedari risiko itu, semua individu yang layak harus mendapat perlindungan melalui vaksinasi.
Ini sejajar dengan usaha pemerintah melalui inisiatif SG Lebih Sihat.
Seseorang yang telah bekerja keras sepanjang hayatnya tidak wajar menanggung kesakitan kayap, atau berisiko mengalami angin ahmar dan serangan jantung pada usia tua.
Dengan ketersediaan subsidi vaksin mulai September 2025, rakyat Singapura yang layak sewajarnya tidak lagi menangguhkan perlindungan dan segera mendapatkan vaksinasi.
Pastikan kesihatan anda terpelihara dengan langkah pencegahan berikut:
Pencegahan yang boleh diambil oleh kumpulan berisiko
Walaupun beberapa perubahan gaya hidup seperti pemakanan seimbang, pengurusan tekanan dan kekal aktif secara fizikal boleh menyokong sistem imun dan mengurangkan risiko kayap, vaksinasi tetap merupakan pertahanan yang paling berkesan.
Kayap adalah penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat mengesyorkan vaksinasi bagi semua individu berumur 50 tahun dan ke atas, serta bagi individu berusia 19 tahun ke atas yang mempunyai sistem imun lemah.
Begitu juga, Persatuan Penyakit Berjangkit (Singapura) turut menasihatkan supaya golongan warga emas mendapatkan vaksin kayap. – DR LEONG HOE NAM
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg