Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Had umur penderma darah kali pertama dinaikkan kepada 65 tahun mulai 1 Jan

Jun 28, 2025 | 2:29 PM
ong ye kung
Menteri Kesihatan Encik Ong Ye Kung menyampaikan ucapannya semasa majlis anugerah Hari Penderma Darah Sedunia 2025 di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands di Marina Bay Sands pada 28 Jun. - Foto ST

Batas umur untuk penderma darah kali pertama di Singapura akan dinaikkan daripada 60 kepada 65 tahun mulai 1 Januari 2026, sesuai dengan peningkatan jangka hayat dan orang ramai didapati lebih kuat pada usia senja mereka.

Bertujuan menambah kumpulan penderma darah, langkah itu dibuat di tengah-tengah data tempatan yang menunjukkan reaksi kurang baik penderma, seperti pengsan dan pening, berkurangan dalam kalangan penderma kali pertama apabila mereka semakin tua, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, pada 28 Jun.

Menurut The Straits Times, perubahan batas umur itu juga sejajar dengan amalan seperti di Hong Kong, Taiwan, Ireland, Belanda, Korea Selatan dan Britain yang membenarkan penderma kali pertama berumur 65 hingga 69 tahun.

Had umur penderma kali pertama semasa ialah 60 tahun.

Sebelum ini, penderma boleh terus menderma darah sehingga sebelum hari lahirnya yang ke-66.

Encik Ong mengumumkan langkah menaikkan had umur itu sempena acara Hari Penderma Darah Sedunia anjuran Palang Merah Singapura (SRC) dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA).

“Setiap derma darah menyelamatkan sehingga tiga nyawa seperti kanak-kanak yang menghidap barah, ibu yang bersalin atau warga emas yang menjalani pembedahan,” katanya pada majlis di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands di Marina Bay Sands.

Pada 2023, lebih 35,000 pesakit di Singapura menerima pemindahan darah yang menyelamatkan nyawa.

Encik Ong mengimbas bagaimana ibunya memerlukan pemindahan darah yang agak banyak pada masa lalu kerana sakit, tetapi Encik Ong selalu ditolak di bank darah apabila cuba menderma kerana tinggal di Britain pada 1980-an.

Singapura pernah menyekat pendermaan darah daripada mereka yang pernah tinggal di Britain kerana kebimbangan terhadap penyakit Varian Creutzfeldt-Jakob (vCJD) yang dikaitkan dengan pemakanan daging lembu yang tercemar.

Kebimbangan itu wajar, kata Encik Ong, tetapi beliau bersyukur kerana kini beliau boleh menderma darah selepas HSA melonggarkan sekatan untuk pendermaan darah melalui ‘aphresis’ atau prosedur melibatkan darah diproses bagi mengumpul komponen darah tertentu seperti plasma atau platelet pada 2023.

Lebih 2,000 penderma darah dan 37 organisasi telah menerima pujian di majlis itu.

SRC dan HSA berkata dalam satu kenyataan bersama bahawa sumbangan ini adalah penting memandangkan cabaran semasa yang dihadapi oleh bekalan darah Singapura.

“Memandangkan Singapura menghampiri status ramai warga emas pada 2026, memastikan bekalan darah yang mampan menjadi lebih mendesak,” kata mereka.

Penduduk Singapura yang semakin tua memberikan cabaran apabila pesakit berumur 60 tahun ke atas kini menyumbang 60 peratus daripada jumlah penggunaan sel darah merah, namun kumpulan penderma yang layak semakin mengecil, tambah mereka.

Bilangan penderma darah baru telah merosot lebih 11 peratus sejak 2013.

Singapura mempunyai kira-kira 18,000 penderma baru pada 2024, turun daripada lebih 20,000 pada 2013.

SRC dan HSA berkata hanya empat daripada 10 penderma yang menderma lebih daripada sekali setahun.

“Kadar derma ulangan yang rendah ini menggariskan keperluan mendesak untuk memupuk lebih ramai penderma komited menjadikan derma darah sebagai sebahagian daripada gaya hidup mereka,” tambah kenyataan itu lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg