Sekitar 200 belia daripada pelbagai agama mendermakan darah mereka di acara Derma Darah Antara Agama yang diadakan bersama oleh gereja, masjid, kuil serta persatuan suku kaum pada 30 Oktober.
Bercakap kepada wartawan di acara di Gereja Heart of God di Eunos, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K Shanmugam, berkata acara itu penting dalam menyatukan pelbagai agama untuk satu tujuan.
“Anda derma darah, darah anda diberikan kepada orang lain yang mungkin mendapat manfaat daripadanya dan nyawanya boleh diselamatkan.
“Kita semua punyai kepercayaan agama masing-masing tetapi ini menunjukkan kita boleh bekerjasama, menderma darah bersama, dan membawa pengikut kita untuk kebaikan bersama,” jelas beliau, yang percaya daya usaha seperti ini mampu kuatkan lagi ikatan antara agama.
Encik Shanmugam berkata dalam era media sosial yang membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat yang pelbagai, mereka akan seringkali merujuk kepada badan agama untuk mendapatkan bimbingan.
Beliau percaya bahawa usaha antara agama seperti itu mampu memberi isyarat yang kuat kepada pengikut agama untuk menghulurkan bantuan melangkaui bangsa dan agama.
Sentimen itu turut dikongsi pengerusi Masjid Khalid, Encik Alla’udin Mohamed.
Beliau berkata perpaduan sosial memerlukan usaha yang panjang untuk dibina.
“Perpaduan sosial tidak mampu dibina dalam satu hari, ia dibina setiap hari. Acara seperti menderma darah antara agama ini membina persefahaman dan saling menghormati. Dengan cara ini, generasi akan datang dapat terus nikmati masyarakat yang bersatu padu dan stabil,” katanya.
Pertama kali diadakan pada 2017, edisi kali ini – yang merupakan tahun keenam – diadakan bersama pelbagai badan agama yang berbeza daripada Gereja Heart of God, Masjid Khalid, Kuil Geylang United dan persatuan suku kaum Chan Khoo Kong Huay.
Ia bertujuan bukan sahaja untuk menyelamatkan nyawa tetapi juga bina perpaduan sosial.
Ia turut menggalak belia melangkah ke tempat ibadat masing-masing dan memupuk persefahaman antara agama yang berbeza.
Acara tersebut berjaya menarik sekitar 600 hadirin, di mana mereka dapat menikmati pelbagai sajian makanan, menghayati pameran serta aneka permainan di samping menderma darah.
Acara yang direka khas untuk belia itu berjaya menarik penderma termuda berusia 16 tahun.
Berkongsi pengalamannya kepada Berita Harian (BH), salah seorang penderma darah buat pertama kali, Encik Falil Feroz, 33 tahun, berkata penderma lain yang beliau temui sangat peramah dan menerimanya dengan tangan yang terbuka.
Beliau yang merupakan seorang ejen hartanah berkata acara tersebut memberinya peluang mengenali agama yang lain.
“Saya rasa ia adalah penting kerana ia merupakan peringatan bahawa kita semua hidup dalam masyarakat berbilang agama, budaya.
“Bekerja bersama adalah satu-satunya cara kita boleh menjalin ikatan antara kita, serta mengekalkan keamanan,” katanya yang juga merupakan sukarelawan di Masjid Khalid sejak 2023.
Dalam pada itu, acara tersebut turut menarik organisasi lain yang hadir untuk mengetahui lebih lanjut mengenai usaha antara agama.
Antaranya merupakan Masjid Darul Aman, yang menghantar staf serta belia mereka seramai enam orang ke acara tersebut.
Mengetuai rombongan tersebut ialah pegawai sumber keluarga, Ustaz Amirul Hakim Abdul Aziz, 26 tahun, yang percaya bahawa usaha seperti ini bukan sahaja memberi impak positif, malah mengetengahkan nilai murni.
“Usaha seperti ini memberi peluang kepada masjid untuk menolong kepada semua aspek masyarakat bukan sahaja masyarakat Islam.
“Selepas menghadiri acara ini, masjid Darul Aman akan terus menyokong dan menjalankan acara sebegini,” tambah beliau, yang mengalu-alukan usaha antara agama.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg