Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Henti rokok selepas 2 kali diserang angin ahmar

Oct 28, 2025 | 9:44 PM
angin ahmar, dua kali
Encik Muhammad Khalis Rifhan Saini, 33 tahun, diserang angin ahmar pada November 2020 sebelum membuat keputusan untuk berhenti merokok, satu faktor risiko umum bagi angin ahmar. - Foto ihsan KHALIS RIFHAN

Berhenti merokok merupakan antara tabiat paling sukar yang terpaksa dilepaskan Encik Muhammad Khalis Rifhan Saini.

Namun ia tetap dilakukan demi kesejahteraan kesihatannya selepas diserang angin ahmar pertama pada November 2020, ketika berusia 33 tahun.

Ketika itu, beliau kerap merokok bagi mengurangkan tekanan kerja, di samping tidak peka dengan waktu tidur yang tidak menentu dan tabiat pemakanan tidak sihat.

Lama-kelamaan, tabiat itu turut memburukkan keadaan penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi dan paras kolesterolnya, yang merupakan antara faktor risiko utama bagi serangan angin ahmar.

Menyusuli serangan angin ahmar, beliau kemudian bekerja sambilan dalam bidang pentadbiran perniagaan katering dan majlis kahwin sebelum mengambil keputusan berhenti buat sementara waktu bagi menumpukan perhatian penuh pada proses pemulihan selepas mengalami serangan angin ahmar kedua pada Jun 2021.

Sempena sambutan Hari Angin Ahmar Sedunia pada 29 Oktober, Berita Harian (BH) menemui Encik Khalis untuk berkongsi pengalamannya agar menjadi iktibar buat orang ramai dalam mengelak serangan penyakit kronik itu.

Menurutnya yang masih bujang, sebelum diserang angin ahmar, beliau bekerja sebagai wartawan dan editor selama sedekad, bahkan pernah menggalas amanah sebagai Ketua Editor di platform berita sukan tempatan, Vox Sports, dari 2013 hingga 2015.

“Sejak serangan angin ahmar, saya bertekad ingin berhenti merokok sepenuhnya, mengelak majlis sosial yang dihadiri teman-teman perokok dan mengamalkan gaya hidup sihat dengan berjalan kaki, menulis atau mendengar muzik menenangkan apabila keinginan merokok datang kembali,” cerita Encik Khalis kepada BH.

Merujuk pada laporan Pendaftar Angin Ahmar Singapura 2022, Pengerusi Pasukan Penambahbaikan Khidmat Angin Ahmar di Kementerian Kesihatan (MOH), Profesor Madya Deirdre De Silva, bilangan kes angin ahmar dalam kalangan warga muda Singapura masih tinggi, meskipun kelihatan kecil berbanding jumlah warga tua yang mengalami penyakit itu.

Berdasarkan Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional (NPHS) 2024, tabiat merokok merupakan antara faktor risiko utama, dengan masyarakat Melayu mempunyai kadar perokok harian tertinggi, iaitu 16 peratus, disusuli masyarakat India (8.4 peratus) dan Cina (7.2 peratus).

Kisah Encik Khalis, seorang lulusan Diploma Perniagaan dan Undang-Undang daripada institut pengajian tinggi swasta, Kaplan, dijadikan inspirasi betapa serangan angin ahmar susulan boleh dicegah melalui langkah seperti berhenti merokok atau mengamalkan gaya hidup lebih sihat.

Menurut Profesor Madya De Silva, lapan daripada 10 kes sebenarnya boleh dicegah melalui amalan hidup dan tabiat lebih sihat.

“Saya sedar jika saya terus merokok, keadaan akan menjadi lebih teruk. Saya sering mengingatkan diri saya tentang sebab saya perlu berhenti, iaitu demi kesihatan, keluarga dan keinginan untuk hidup lebih sihat dan panjang,” tambah Encik Khalis.

Pada mulanya memang sukar mengawal keinginan untuk merokok kerana sudah terbiasa, tetapi lama-kelamaan fikirannya tentang keseronokan merokok pudar di samping menerima sokongan berterusan daripada keluarga dan rakan sekeliling.

“Sebelum diserang angin ahmar, saya terlalu menumpukan perhatian pada kerja, tetapi saya belajar menghargai kesihatan sebagai faktor asas kepada segala-galanya. Tanpa kesihatan yang baik dan dijaga rapi, perkara sekecil bercakap, makan atau berjalan pun boleh menjadi cabaran,” kongsinya.

Kerana perubahan yang dilakukan pada gaya hidupnya, anak kedua dalam tiga beradik itu kembali menjalankan kerja penulisan berita sukan dan politik, yang menjadi nyala rasanya dan telah tiga tahun bekerja di laman berita The Independent News and Media.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg