Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Influenza bukan sekadar selesema

Apr 14, 2025 | 5:30 AM
Influenza tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh mengakibatkan lebih banyak penyakit serius termasuk kegagalan fungsi badan. Ia merupakan penyakit pernafasan yang boleh berjangkit melalui titisan air liur serta mudah merebak melalui udara.
Influenza tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh mengakibatkan lebih banyak penyakit serius termasuk kegagalan fungsi badan. Ia merupakan penyakit pernafasan yang boleh berjangkit melalui titisan air liur serta mudah merebak melalui udara. - Foto ISTOCKPHOTO

Ramai di antara kita sering berkata, “Saya kena flu,” apabila mengalami hidung berair atau badan rasa lemah.

Namun, adakah ia benar-benar influenza, atau sekadar selesema biasa?

Dalam konteks perubatan, influenza bukanlah sekadar selesema ringan.

Ia adalah jangkitan virus yang boleh membawa kepada komplikasi serius termasuk pneumonia – radang paru-paru, terutama dalam kalangan golongan mudah terdedah seperti warga emas, kanak-kanak dan pesakit kronik.

Flu dan influenza sebenarnya merujuk kepada penyakit yang serupa, iaitu jangkitan virus yang menyerang sistem pernafasan.

Namun, istilah flu sering digunakan secara longgar oleh masyarakat untuk menggambarkan pelbagai gejala seperti batuk dan demam, tanpa secara khusus merujuk kepada jangkitan influenza sebenar, lapor laman web, nuhsplus.edu.sg.

Menurut Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit di Hospital Universiti Nasional Singapura (NUH), Profesor Dr Paul Anantharajah Tambyah, ramai keliru antara influenza, selesema dengan pneumonia.

“Influenza boleh berkembang menjadi pneumonia, terutama dalam kalangan individu berisiko tinggi.

“Dalam banyak kes, bukan sahaja virus influenza yang menjadi punca, malah, bakteria juga boleh mengambil kesempatan dan memburukkan lagi keadaan,” jelas beliau.

Berikut perbandingan ringkas antara influenza dengan pneumonia:

+ Influenza atau flu disebabkan oleh virus influenza jenis A, B, atau C, manakala pneumonia boleh berpunca daripada pelbagai jenis patogen, termasuk bakteria, virus (termasuk virus influenza sendiri), atau kulat.

+ Dari segi gejala, kedua-duanya mungkin bermula dengan demam dan batuk, namun influenza lazimnya turut disertai rasa menggigil, sakit badan, keletihan dan hidung berair atau tersumbat.

Pneumonia pula sering melibatkan gejala lebih teruk seperti sakit dada dan sesak nafas.

+ Golongan berisiko tinggi bagi kedua-dua penyakit itu adalah serupa – termasuk warga emas, kanak-kanak kecil, individu yang mempunyai penyakit kronik, perokok, dan mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah.

+ Bagi langkah pencegahan, influenza boleh dicegah melalui vaksin tahunan serta amalan kebersihan diri yang baik, manakala pneumonia boleh dicegah melalui vaksin influenza dan juga vaksin pneumokokal.

+ Dari segi tahap keterukan, influenza boleh menjadi sederhana atau serius, dan dalam kes tertentu boleh membawa kepada komplikasi seperti pneumonia.

Pneumonia pula, jika tidak dirawat segera, boleh mengancam nyawa, terutama dalam kalangan golongan lebih mudah terdedah.

Di negara beriklim tropika seperti Singapura, influenza tidak mengenal musim.

Ia boleh menyerang bila-bila masa sepanjang tahun.

Ini berbeza dengan negara beriklim sejuk yang mengalami ‘musim flu’ tertentu, biasanya ketika musim sejuk.

“Di negara seperti kita, tiada keperluan menunggu musim tertentu untuk mengambil vaksin. Vaksin boleh diambil bila-bila masa kerana risiko jangkitan sentiasa wujud,” ujar Profesor Tambyah.

Ramai menganggap influenza tidak berbahaya, setaraf selesema biasa.

Namun kenyataannya, komplikasi seperti pneumonia boleh mengancam nyawa, terutama dalam kalangan warga emas dan pesakit dengan penyakit kronik seperti kencing manis, jantung dan paru-paru.

Vaksin influenza memainkan peranan penting dalam mencegah jangkitan atau mengurangkan keterukan gejala.

Ia turut membantu melindungi individu di sekeliling anda yang lebih lemah sistem imun mereka.

Sebenarnya, vaksin flu mengandungi virus yang tidak aktif atau dilemahkan, dan tidak boleh menyebabkan jangkitan influenza sebenar.

Jika seseorang rasa tidak sihat selepas menerima suntikan, ia kemungkinan adalah reaksi imun badan yang normal atau jangkitan lain yang kebetulan berlaku.

Ramai yang keliru antara selesema biasa dan flu, lalu menganggap sudah “kebal”.

Tetapi, selesema biasa tidak memberi imuniti terhadap influenza kerana ia disebabkan oleh virus yang berbeza, seperti rinovirus.

Justeru itu, walaupun anda pernah dijangkiti selesema atau batuk biasa, anda masih perlu mendapatkan vaksin influenza untuk melindungi diri daripada komplikasi sebenar flu.

Jika anda mengalami demam melebihi 38 darjah Celsius, batuk, sakit tekak, keletihan luar biasa atau sakit otot, segeralah dapatkan rawatan.

Ujian calitan tekak atau hidung boleh dilakukan untuk mengesahkan jangkitan influenza.

Bagi pesakit yang disahkan positif dalam tempoh 48 jam pertama, ubat antiviral boleh diberikan bagi mempercepat proses pemulihan dan mengelakkan komplikasi.

Kuarantin di rumah turut digalakkan bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada anggota keluarga lain, terutama yang berisiko tinggi.

Influenza bukan sekadar demam dan selesema.

Ia penyakit serius yang boleh membawa maut jika tidak diurus dengan baik, khususnya apabila ia berkembang menjadi pneumonia.

Vaksinasi influenza bukan sahaja melindungi diri, bahkan juga melindungi masyarakat daripada penularan jangkitan yang lebih luas.

“Pencegahan lebih baik daripada merawat. Vaksin influenza adalah langkah paling berkesan untuk mencegah komplikasi serius seperti pneumonia,” ujar Profesor Tambyah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg