Tidak semua wanita berkahwin diberi rezeki untuk hamil secara semula jadi walaupun telah lama mendirikan rumah tangga.
Itulah hakikat yang dihadapi pasangan suami isteri, ‘Cik Hamidah’ (nama samaran), 40 tahun, dan suaminya, ‘Encik Hamid’ (nama samaran), 45 tahun, yang sehingga kini masih menanti cahaya mata selepas hampir 10 tahun bernikah.
Setelah mencuba pelbagai ikhtiar termasuk rawatan tradisional dan perubatan moden, pasangan itu akhirnya memilih menjalani rawatan kesuburan persenyawaan in vitro (IVF) sebagai usaha terakhir mendapatkan zuriat.
“Kami tak pernah putus asa. Tapi kami juga kena akui faktor usia kami sekarang buatkan peluang semakin tipis kalau tangguh lagi. IVF ini mungkin peluang terakhir kami,” kata Cik Hamidah ketika ditemui.
Rawatan IVF merupakan satu kaedah rawatan kesuburan berasaskan teknologi perubatan reproduktif terkini yang digunakan secara meluas di seluruh dunia sejak diperkenalkan pada 1978.
IVF bermaksud proses penyatuan ovum (telur wanita) dengan sperma lelaki dilakukan di luar tubuh wanita, sebelum embrio dipindahkan kembali ke dalam rahim untuk proses kehamilan.
Cik Hamidah perlu melalui rawatan kesuburan selalunya bermula dengan mengimbas di bahagian faraj bagi melihat keadaan rahim sama ada normal atau sebaliknya, atau terdapat masalah fibroid, sista atau punca lain menyebabkan kesukaran mengandung.
Imbasan itu juga mampu memeriksa ‘kilang’ telur dan melihat jumlah telur yang ada.
Terdapat tiga jenis rawatan kesuburan iaitu, yang pertama makan pil kesuburan contohnya clomiphene citrate atau clomid untuk memastikan ovulasi berlaku.
Selepas hari kelima mengambil ubat kesuburan, doktor akan membuat imbasan bagi melihat sama ada telur memberi sebarang tindak balas pada ubat berkenaan.
Langkah pertama melibatkan pemberian ubat hormon untuk merangsang ovari Cik Hamidah, menghasilkan lebih banyak telur matang dalam satu kitaran haid.
Telur itu lalu dikeluarkan melalui prosedur pembedahan kecil (ovum pick-up) dan disenyawakan dengan sperma di makmal.
Embrio yang terbentuk akan dipantau di makmal selama beberapa hari, dan hanya embrio bermutu terbaik akan dipilih untuk dipindahkan ke dalam rahim wanita.
“Kami juga boleh memilih untuk membekukan embrio lebihan untuk percubaan kehamilan pada masa hadapan,” cerita Cik Hamidah.
Dalam kes Cik Hamidah, faktor usia memainkan peranan besar dalam menentukan kadar kejayaan rawatan IVF.
Ini kerana wanita dilahirkan dengan bilangan telur yang tetap dalam ovari mereka, dan bilangan serta mutu telur itu kian berkurang dengan pertambahan usia.
“Paling ideal untuk wanita hamil secara semula jadi adalah sekitar usia 20 hingga 30 tahun.
“Selepas usia 35 tahun, kadar kehamilan menurun secara ketara kerana bilangan telur semakin berkurang, dan doktor beritahu kami mutu telur juga terjejas,” ujar Cik Hamidah.
Lebih membimbangkan, wanita berusia 40 tahun ke atas turut berisiko lebih tinggi mengalami komplikasi perubatan ketika hamil seperti hipertensi kehamilan, diabetes gestasi, dan risiko keguguran yang lebih tinggi.
Menurut kajian terkini dalam jurnal, Human Reproduction Update, kadar kejayaan IVF untuk wanita berusia 40 tahun ke atas hanya sekitar 15 peratus hingga 20 peratus bagi setiap kitaran rawatan, berbanding 40 peratus hingga 50 peratus bagi wanita berusia di bawah 35 tahun.
“Selain itu, doktor memberitahu kami bahawa risiko kecacatan kromosom seperti Sindrom Down juga meningkat apabila usia ibu melepasi 40 tahun kerana mutu telur yang digunakan mungkin sudah tidak optimum,” jelas beliau.
Encik Hamid mengakui proses IVF bukan sahaja mencabar dari segi kewangan bahkan juga dari segi emosi dan mental.
“Isteri saya perlu lalui banyak ujian darah, suntikan hormon setiap hari, pemeriksaan imbasan untuk pantau perkembangan telur... semuanya sangat mencabar. Tapi kami tahu semua ini demi harapan untuk memiliki anak sendiri,” kata beliau.
Rawatan IVF biasanya mengambil masa antara enam dengan lapan minggu bagi setiap kitaran – bermula dari rangsangan hormon, pengambilan telur, persenyawaan di makmal, sehingga pemindahan embrio ke dalam rahim.
Kitaran IVF itu turut melibatkan pelbagai risiko kesan sampingan ubat seperti kembung perut, ketidakselesaan, perubahan emosi, dan dalam kes jarang berlaku – sindrom hiperstimulasi ovari (OHSS).
“Kami memang buat persediaan mental dan fizikal.
“Doktor juga nasihatkan kami supaya jaga pemakanan, kurangkan tekanan dan sentiasa positif.
“Ramai yang tidak tahu, IVF bukan terus berjaya dalam percubaan pertama. Ada pasangan yang terpaksa melalui beberapa kitaran sebelum berjaya,” katanya.
Pasangan itu turut melakukan pelbagai perubahan gaya hidup demi meningkatkan peluang kehamilan.
“Kami amalkan pemakanan seimbang, isteri saya mengambil suplemen asid folik setiap hari dan kami berdua bersenam ringan serta cuba mengurangkan tekanan,” katanya.
Menurut Cik Hamidah, doktor turut menasihatkan supaya pasangan yang ingin mendapatkan anak mengelakkan rokok dan menjaga berat badan ideal.
“Berat badan berlebihan atau terlalu kurus boleh menyebabkan hormon wanita terganggu dan menyukarkan proses ovulasi atau pengeluaran telur,” jelasnya.
Kini, Cik Hamidah sedang menunggu proses pemindahan embrio selepas selesai prosedur persenyawaan di makmal. Meskipun perjalanan itu penuh cabaran, pasangan tersebut kekal optimis.
“Saya tahu bukan mudah, tetapi saya percaya teknologi perubatan hari ini sangat membantu wanita seperti saya. Ini usaha kami, selebihnya kami serahkan kepada Allah,” kata Cik Hamidah.
Encik Hamid pula menyifatkan perjuangan mereka sebagai bukti kasih sayang dan kesetiaan dalam rumah tangga.
“Selagi ada peluang, kami akan terus berusaha.
“Anak itu rezeki, dan kami percaya setiap usaha itu akan ada ganjaran.
“Kalau ada rezeki kami nanti, biarlah ini menjadi bukti bahawa usaha dan doa itu tidak pernah sia-sia,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg