Jangka hayat penduduk Singapura pada 2025 adalah 83.9 tahun, lebih tinggi daripada yang dicatatkan pada 2024 dan pada tahun-tahun prapandemik, menurut Jabatan Perangkaan (DOS) pada 3 Jun.

Pada 2024, jangka hayat adalah 83.7 tahun, sama seperti puncak prapandemik pada 2019. Jangka hayat merujuk kepada purata usia (tahun) yang dijangka oleh seseorang untuk hidup, berdasarkan kadar kematian semasa.

Penduduk berumur 65 tahun pada 2025 juga boleh menjangkakan untuk hidup sehingga 86.6 tahun, menurut data awal DOS.

Ini merupakan peningkatan 0.2 tahun daripada 2024 dan 0.8 tahun daripada 2015, yang terkandung dalam laporan Jadual Hayat Lengkap untuk Populasi Penduduk Singapura 2024 hingga 2025 yang diterbitkan oleh DOS.

Wanita dilaporkan mempunyai jangka hayat yang lebih panjang berbanding lelaki.

Secara purata, lelaki berumur 65 tahun pada 2025 boleh menjangkakan hidup sehingga umur 84.9 tahun, manakala wanita berumur 65 tahun pada 2025 pula boleh menjangkakan hidup sehingga umur 88.1 tahun.

Jangka hayat lelaki dan wanita sejak lahir masing-masing adalah 81.8 tahun dan 86.0 tahun pada 2025. Ini meningkat 0.3 tahun bagi lelaki dan 0.2 tahun bagi wanita berbanding 2024.

Menurut Jabatan Perangkaan, sepanjang dekad yang lalu, jangka hayat lelaki meningkat sebanyak 1.3 tahun daripada 80.5 tahun pada 2015, manakala jangka hayat wanita meningkat sebanyak 0.9 tahun daripada 85.1 tahun pada 2015.

Kadar kelangsungan hidup yang dijangkakan bagi bayi baru lahir penduduk Singapura juga terus meningkat antara 2015 dengan 2025, dengan bayi perempuan yang baru lahir mencatat kadar yang lebih tinggi.

Kadar bayi perempuan yang baru lahir dijangka hidup sehingga usia 65 tahun – meningkat daripada 93.6 peratus pada 2015 kepada 94.4 peratus pada 2025.

Kadar mereka yang dijangka hidup pada usia 85 tahun menunjukkan peningkatan yang lebih tinggi daripada 59.0 peratus kepada 64.3 peratus, tambah Jabatan Perangkaan.

Kadar bayi lelaki yang baru lahir dijangka hidup sehingga usia 65 tahun juga meningkat daripada 89 peratus pada 2015 kepada 90.3 peratus pada 2025.

Kadar kumpulan ini dijangka hidup pada usia 85 tahun meningkat daripada 42.3 peratus kepada 47.6 peratus.

Pada 2021, jangka hayat penduduk Singapura menurun buat kali pertama sejak data sedemikian tersedia lebih 60 tahun yang lalu, disebabkan oleh kadar kematian yang lebih tinggi semasa tempoh pandemik Covid-19.