Lebih ramai warga emas terus bekerja selepas Singapura menaikkan usia persaraan dan usia bekerja semula pada 2022, menurut satu kajian terkini.
Kajian tersebut mendapati selepas usia persaraan minimum dinaikkan dari 62 tahun ke 63 tahun pada 1 Julai 2022, kadar pekerjaan bagi mereka yang terjejas naik 0.4 mata peratusan.
Ini berbanding warga emas yang tidak terjejas dengan perubahan dasar tersebut.
Begitu juga, selepas usia bekerja semula dinaikkan dari 67 tahun ke 68 tahun, kadar pekerjaan bagi warga emas yang terjejas meningkat 0.7 mata peratusan.
Demikian menurut satu kajian oleh pakar ekonomi kanan Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Cik Yuen Wing Shan, dan pakar ekonomi utama MOM, Encik Samuel Huang.
Kajian tersebut meninjau hasil pekerjaan bagi sekitar 180,000 penduduk yang lahir antara 1959 dengan 1961 untuk menilai kesan peningkatan usia persaraan.
Kesan peningkatan usia bekerja semula pula diteliti dengan mengikuti perkembangan sekitar 160,000 penduduk yang lahir antara 1954 dengan 1956, lapor The Straits Times (ST).
Pada masa ini, pekerja warga emas yang menetap di sini dan menyertai syarikat mereka sebelum usia 55 tahun boleh mengekalkan pekerjaan masing-masing sehingga mereka mencapai usia persaraan minimum, iaitu 63 tahun.
Mereka juga mesti diberikan pilihan untuk terus bekerja sehingga usia bekerja semula, iaitu 68 tahun, dengan syarat prestasi kerja mereka memuaskan dan mereka mempunyai tahap kesihatan baik untuk terus bekerja.
Kajian tersebut mendapati peningkatan usia persaraan dan usia bekerja semula pada 2022 berkesan kerana ia “memberi perlindungan undang-undang dan menetapkan norma sosial persaraan bagi pekerja warga emas”.
Secara khusus, langkah meningkatkan usia bekerja semula boleh mengubah jangkaan dalam kalangan warga emas dan majikan mereka terhadap masa persaraan yang sesuai.
“Memandangkan jangka hayat semakin meningkat dan penduduk kian menua di Singapura, usia persaraan dan usia bekerja semula melindungi pekerja warga emas dan membolehkan mereka bekerja lebih lama jika mereka mahu.
“Ini pula membolehkan majikan memenuhi keperluan tenaga kerja dalam pasaran pekerjaan yang ketat (apabila jumlah pekerjaan kosong melebihi bilangan pekerja),” lapor kajian itu.
Kajian tersebut menyatakan bahawa peningkatan usia persaraan memberi manfaat kepada warga emas yang memegang jawatan yang menuntut ilmu pengetahuan.
Sebagai contoh, dalam sektor pengilangan dan perdagangan borong. Tanpanya, majikan mungkin lebih cenderung memilih pekerja muda dengan kemahiran terkini.
Dasar tersebut turut membantu menangguhkan persaraan warga emas yang tinggal di flat lebih besar dan rumah privet.
Ini mungkin kerana mereka ingin terus menikmati gaji dan faedah penuh selama setahun lagi.
Bagaimanapun, kajian tersebut mendapati usia persaraan bagi kumpulan itu tidak jauh melebihi 63 tahun, menunjukkan bahawa dasar tersebut membantu menangguhkan, tetapi tidak menghalang warga emas daripada berhenti kerja.
Trend yang sama juga dilihat bagi usia bekerja semula, menggambarkan warga emas lebih suka bersara apabila mencapai usia 68 tahun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg