SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Kesihatan seksual terabai, ramai tangguh rawatan hingga terlambat

Kesihatan seksual terabai, ramai tangguh rawatan hingga terlambat

Jangkitan kelamin boleh dirawat jika dikesan awal
Apr 13, 2026 | 5:30 AM

Kesihatan seksual terabai, ramai tangguh rawatan hingga terlambat

kesihatan, kesihatan seksual, rawatan kesihatan seksual, stigma kesihatan seksual, jangkitan kelamin
Dr Judith Ong Perunding Bahagian Endokrinologi Reproduktif dan Kemandulan di Hospital Universiti Nasional -  Foto SISTEM KESIHATAN UNIVERSITI NASIONAL (NUHS)

Salah faham yang berakar umbi dalam masyarakat mengenai kesihatan seksual dan kesuburan (reproduktif) terus menjadi penghalang utama kepada rawatan awal.

Ia sekali gus meningkatkan risiko kerumitan jangka panjang yang sebenarnya boleh dielakkan.

Pakar kesihatan memberi amaran bahawa stigma, kurang kesedaran serta budaya berdiam diri menyebabkan ramai individu menangguhkan pemeriksaan sehingga keadaan menjadi lebih serius dan sukar dirawat.

Perunding Bahagian Endokrinologi Reproduktif dan Kemandulan di Hospital Universiti Nasional (NUH), Dr Judith Ong, berkata isu itu sering dilihat dalam amalan klinikal, khususnya dalam kalangan pesakit yang berasa malu atau bimbang untuk mendapatkan bantuan.

“Kesihatan seksual dan kesuburan memberi kesan sepanjang hayat, namun ramai masih berdepan salah faham dan kegusaran yang tidak perlu apabila gejala muncul,” katanya.

Menurut beliau, antara salah faham paling lazim adalah tanggapan jangkitan kelamin tidak boleh dirawat.

Hakikatnya, kebanyakan jangkitan kelamin boleh disembuhkan jika dikesan lebih awal, sekali gus mencegah kerumitan serius seperti penyakit radang pelvis, kerosakan tiub Fallopio serta penurunan mutu sperma.

“Pada hakikatnya, kebanyakan jangkitan kelamin boleh dirawat, terutama jika dikesan dan dirawat lebih awal,” jelas Dr Ong.

Beliau menegaskan, rawatan awal bukan sahaja melindungi kesihatan individu, malah mengurangkan risiko penularan kepada pasangan.

Namun, cabaran utama adalah sifat jangkitan tersebut yang sering tidak menunjukkan gejala pada peringkat awal.

Penyakit seperti klamidia, sifilis dan HIV boleh kekal tanpa tanda untuk tempoh yang lama, menyebabkan ramai hanya mendapatkan rawatan apabila keadaan telah menjadi lebih serius.

Data kesihatan terkini turut menunjukkan keadaan itu berterusan, dengan sebahagian besar kes HIV di Singapura dikesan pada peringkat lewat, mencerminkan kelemahan dalam saringan awal.

Selain itu, Dr Ong menolak persepsi bahawa masalah kesuburan hanya berpunca daripada wanita.

Beliau menegaskan bahawa realiti klinikal menunjukkan keadaan tersebut diagihkan secara seimbang antara lelaki dengan wanita.

“Masalah kesuburan menjejas satu daripada tujuh pasangan, dan puncanya diagihkan secara seimbang antara wanita, lelaki atau kedua-duanya,” katanya.

Menurut beliau, kecenderungan untuk menyalahkan satu pihak bukan sahaja tidak tepat, malah boleh melambatkan diagnosis dan rawatan.

Oleh itu, pasangan digalakkan menjalani pemeriksaan bersama bagi memastikan penilaian yang lebih menyeluruh dan tepat.

Dalam masa sama, isu masalah hubungan intim (disfungsi seksual) turut sering disalah anggap sebagai jarang berlaku dan sukar dirawat.

Keadaan seperti masalah ketegangan zakar (disfungsi ereksi), keinginan seksual rendah atau kesakitan semasa hubungan intim sebenarnya lebih biasa daripada yang disangka.

“Disfungsi seksual sebenarnya adalah perkara biasa dan boleh dirawat.

“Pemeriksaan awal membolehkan pakar menilai faktor fizikal, hormon dan psikologi dengan lebih menyeluruh,” jelas Dr Ong.

Beliau menegaskan bahawa disfungsi seksual bukan isu memalukan, sebaliknya satu keadaan perubatan yang boleh dirawat melalui pendekatan yang sesuai.

Namun begitu, stigma sosial kekal menjadi penghalang utama.

Dalam masyarakat yang lebih konservatif, topik berkaitan seksualiti masih dianggap sensitif dan jarang dibincangkan secara terbuka.

“Topik ini sangat peribadi dan sukar dibincangkan, lebih-lebih lagi dalam masyarakat yang konservatif seperti Singapura.

“Tetapi kesihatan seksual dan reproduktif adalah hak asas manusia yang diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

“Mengurangkan stigma dan meningkatkan kesedaran akan menggalakkan orang ramai mendapatkan bantuan lebih awal,” tambahnya.

Menurut beliau, sikap enggan berbincang itu menyebabkan ramai pesakit hanya mendapatkan rawatan apabila gejala telah menjadi lebih teruk, sekali gus meningkatkan risiko komplikasi serta tekanan emosi.

Dari segi akses kepada rawatan, Dr Ong berkata sistem kesihatan kini telah berkembang dengan laluan rujukan yang lebih jelas melalui klinik doktor am dan poliklinik kepada pakar.

“Ramai individu sebenarnya tidak tahu bila dan di mana untuk mendapatkan bantuan,” ujar beliau.

Namun, beliau menegaskan bahawa akses kepada penjagaan kesihatan kini lebih mudah dan tersusun berbanding sebelum ini, dengan pendekatan pelbagai disiplin melibatkan bidang Obstetrik dan Ginekologi, Urologi serta Penyakit Berjangkit.

Sehubungan itu, pakar menasihatkan individu yang mengalami gejala seperti haid tidak teratur, masalah kesuburan, tanda jangkitan kelamin atau disfungsi seksual supaya mendapatkan pemeriksaan awal.

Pendekatan proaktif itu penting bagi memastikan diagnosis dapat dibuat dengan tepat dan rawatan dimulakan pada peringkat awal, sekali gus meningkatkan peluang pemulihan dan mengurangkan risiko kerumitan jangka panjang.

Dalam konteks lebih luas, isu itu turut mencerminkan cabaran kesihatan awam sejagat, khususnya berkaitan akses kepada saringan dan rawatan.

Dr Goh menegaskan bahawa perubahan sikap masyarakat amat penting dalam menangani isu itu secara menyeluruh.

“Kesihatan seksual bukan sesuatu yang perlu disembunyikan. Ia perlu difahami, dibincangkan dan ditangani secara terbuka agar lebih ramai berani mendapatkan bantuan sebelum terlambat,” katanya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg