Masa menunggu purata untuk seseorang menjalani bedah pindah hati di Singapura ialah sekitar 13 bulan pada 2024, dan angka tersebut dijangka meningkat seiring dengan lonjakan permintaan dalam beberapa tahun mendatang.
Malah, permintaan untuk pemindahan hati telah meningkat lebih 16 peratus sejak 2015, menurut laman web Live On, yang dikendalikan Unit Pemindahan Organ Nasional (NOTU).
Perunding Kanan Program Pemindahan Hati Dewasa di Pusat Pemindahan Organ Universiti Nasional (NUCOT) Hospital Universiti Nasional (NUH), Profesor Madya Alfred Kow, berkongsi butiran ini semasa sidang media selepas acara Projek Warisan Penanaman Pokok di bangunan NUH pada 26 Mei.
Acara itu diadakan bagi memperingati pengorbanan penderma organ serta meningkatkan kesedaran tentang kesan pendermaan organ.
Peningkatan permintaan ini berpunca daripada kewujudan jurang organ – iaitu perbezaan antara jumlah pesakit yang memerlukan pemindahan dengan jumlah organ yang tersedia daripada penderma – yang semakin melebar.
Akibatnya, lebih ramai pesakit terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan organ yang sesuai, dan masyarakat diseru untuk tampil dalam usaha pendermaan organ.
“Kini semakin banyak keadaan perubatan perlukan pembedahan pemindahan hati, termasuk beberapa jenis penyakit barah yang hanya boleh disembuhkan melalui prosedur ini.
“Namun, apabila bilangan penderma tidak bertambah, jurang jumlah organ akan terus melebar,” kata Profesor Kow.
Tambah beliau, fenomena ini juga disebabkan kenaikan jumlah pesakit dengan penyakit hati berlemak, atau ‘fatty liver disease’, yang menjadi antara penyebab utama bagi prosedur pemindahan hati dilakukan.
Peningkatan kes ini berkait rapat dengan gaya hidup moden yang tidak aktif, pemakanan tidak seimbang, serta kadar obesiti (kenaikan berat badan) dan diabetes yang tinggi, tambah Profesor Kow.
Dengan itu, beliau berharap lebih ramai akan tampil dan menyumbang dalam pendermaan hati bagi prosedur pemindahan demi menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), Profesor Kow menjelaskan bahawa undang-undang Singapura telah membenarkan pesakit menerima organ daripada penderma hidup mahupun mati.
Ini selepas sokongan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) terhadap Akta Pemindahan Organ Manusia (Hota) pada 2008, yang memperluaskan pelaksanaannya kepada umat Islam.
Beliau turut menegaskan keutamaan keselamatan penderma dalam memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada baki hati penderma berada dalam keadaan sihat sebelum individu itu disahkan layak untuk menderma.
Oleh kerana hati merupakan organ yang mempunyai keupayaan untuk tumbuh semula (regenerative organ), peratusan ini dianggap selamat dan mencukupi untuk pemulihan sepenuhnya bagi penderma.
“Penderma mestilah individu yang sihat sepenuhnya.
“Kami amat menitikberatkan proses pemilihan penderma – bukan hanya memastikan tiada penyakit yang dikesani, tetapi juga melalui saringan menyeluruh bagi mengesahkan tahap kesihatan sebenar mereka.
“Pendekatan ini adalah penting bagi mengekalkan kadar keselamatan penderma yang tinggi,” kata Profesor Kow.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg