BEIJING: Laporan mengenai peningkatan kes virus pernafasan ‘Human Metapneumovirus’ (HMPV) di China baru-baru ini mencetuskan kebimbangan, mengingatkan dunia kepada permulaan pandemik Covid-19 lima tahun lalu.
Namun, pakar perubatan menegaskan bahawa keadaan ini jauh berbeza dan tidak menimbulkan ancaman yang sama serius seperti Covid-19.
HMPV adalah virus pernafasan yang tergolong dalam keluarga Pneumoviridae, bersama virus sinsitium pernafasan (RSV). RSV adalah virus yang menyebabkan jangkitan pada saluran pernafasan.
Dikenal pasti pada 2001, ia telah lama wujud, dengan bukti serologi menunjukkan kehadirannya sejak 1958.
Virus ini sering menimbulkan gejala ringan seperti batuk, demam, hidung tersumbat, dan sesak nafas.
Namun, dalam kes lebih serius, HMPV boleh membawa kepada komplikasi seperti radang paru-paru atau bronkiolitis, terutama dalam kalangan kanak-kanak, warga emas dan individu dengan sistem imun yang lemah.
Menurut data rasmi China, kes HMPV telah meningkat sejak pertengahan Disember, terutama di wilayah utara dan dalam kalangan kanak-kanak berumur bawah 14 tahun.
Peningkatan itu dijangka memuncak semasa perayaan Tahun Baru Cina apabila ramai orang melakukan perjalanan dan berkumpul dalam kumpulan besar.
Pengarah Institut Penyakit Berjangkit Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China, Encik Kan Biao, menyatakan bahawa walaupun terdapat peningkatan kes, skala penyebaran penyakit pernafasan pada 2024 lebih rendah berbanding 2023.
“Ini adalah trend biasa semasa musim sejuk, dan langkah pemantauan jangkitan pernafasan telah dipertingkat menggunakan teknologi moden,” kata beliau pada sidang media pada 27 Disember.
Perunding Kanan di Divisyen Penyakit Berjangkit Hospital Universiti Nasional (NUH), Profesor Paul Tambyah, dilaporkan berkata, beliau turut bersetuju bahawa peningkatan kes HMPV di China bukan perkara mengejutkan.
“Ini sering berlaku setiap musim sejuk, terutama di utara China,” kata beliau.
Namun beliau menambah, virus itu boleh memudaratkan keadaan individu yang menghidap penyakit seperti semput, yang boleh menyebabkan penyakit pernafasan sederhana dan kadangkala memerlukan rawatan di hospital.
“HMPV jarang sekali membawa maut,” kata Profesor Tambyah.
Beliau turut menambah bahawa kematian berkaitan HMPV sering berlaku apabila virus itu dikesan dengan virus yang lebih serius seperti radang paru-paru.
Walaupun HMPV dan Covid-19 berkongsi beberapa persamaan, termasuk cara penularan melalui titisan pernafasan dan kumpulan berisiko tinggi, terdapat perbezaan ketara antara kededuanya.
Covid-19 adalah virus baru yang tidak dikenali sebelum 2019, menyebabkan sistem imun manusia tidak bersedia menentangnya.
Sebaliknya, HMPV telah lama dikaji, dan imuniti terhadap virus ini telah terbentuk dalam kalangan penduduk sejagat.
Tidak seperti Covid-19, yang mempunyai vaksin dan rawatan antivirus seperti Paxlovid, rawatan HMPV hanya tertumpu kepada melegakan gejala, dan sehingga kini, tiada vaksin tersedia.
Mantan Ketua Saintis, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Soumya Swaminathan, berkata bahawa HMPV adalah virus yang dikenali dan biasanya menyebabkan jangkitan ringan.
“Daripada panik terhadap setiap patogen baru, kita harus mengambil langkah berjaga-jaga biasa apabila selesema – seperti memakai pelitup muka, mencuci tangan, mengelakkan tempat sesak, dan berjumpa doktor jika gejala menjadi teruk,” katanya.
WHO turut menegaskan bahawa kenaikan kes HMPV adalah fenomena biasa semasa musim sejuk di Hemisfera Utara.
Jurucakap WHO, Dr Margaret Harris, berkata: “Peningkatan jangkitan respiratori ini termasuk influenza, RSV dan HMPV adalah seperti yang dijangkakan untuk waktu ini.”
Walaupun HMPV tidak dianggap sebagai ancaman pandemik, pakar kesihatan menyeru China agar berkongsi data tentang penularan virus itu secara tepat pada masanya.
“Penting untuk mendapatkan data epidemiologi tentang siapa yang dijangkiti serta analisis genom untuk memastikan tiada mutasi baru yang membimbangkan,” ujar Dr Sanjaya Senanayake dari Universiti Nasional Australia.
WHO belum lagi menggolongkan HMPV sebagai kecemasan kesihatan sejagat namun beberapa negara di benua Asia berada di tahap berjaga-jaga.
Mereka sedang memantau jumlah kes serta menggesa orang ramai supaya berwaspada dan menjaga kebersihan.
Di Asia Tenggara, negara seperti Malaysia, Kemboja dan Vietnam telah mengeluarkan makluman kesihatan awam.
Buat masa ini, pakar bersetuju bahawa tiada keperluan untuk terlalu bimbang mengenainya.
HMPV tidak menunjukkan ciri-ciri yang boleh mencetuskan pandemik seperti Covid-19.
Namun, lonjakan kes boleh memberikan tekanan kepada sistem penjagaan kesihatan, terutama wad pediatrik.
Langkah berjaga-jaga asas seperti mencuci tangan dan mengelakkan kontak dengan individu yang sakit adalah mencukupi untuk mengurangkan risiko jangkitan.
Kenaikan kes HMPV di China adalah isu kesihatan awam yang perlu dipantau tetapi tidak wajar menimbulkan panik.
“Apa yang penting adalah terus berwaspada dan memastikan langkah pencegahan asas dilakukan untuk melindungi diri dan masyarakat,” kata Dr Swaminathan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg