Ketika peranan pekerja penjagaan kesihatan terus berkembang di tengah-tengah model penjagaan baharu dan kemajuan teknologi, sebuah majlis tiga pihak yang baharu telah dibentuk untuk melengkapkan tenaga kerja bagi masa depan.

Usahanya akan merangkumi reka bentuk semula peranan penjagaan kesihatan, terutamanya bagi jururawat, ahli farmasi dan karyawan kesihatan bersekutu, untuk menyokong peralihan dalam menyampaikan lebih banyak penjagaan dalam masyarakat, jauh dari hospital dan klinik.

Ini merupakan salah satu daripada tiga bidang fokus utama Majlis Kerjaya, Kemahiran dan Latihan Penjagaan Kesihatan yang baru dibentuk, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung di forum sumber manusia Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan (HSEU) pada 27 November.

Satu contoh reka bentuk semula pekerjaan yang berjaya ialah peranan sokongan penjagaan pesakit di seluruh sektor penjagaan kesihatan awam.

Kakitangan sokongan kini dapat mengambil alih lebih banyak tugas operasi di bawah penyeliaan seperti mencuci dan membalut luka, menjalankan elektrokardiogram dan mengambil darah daripada pesakit.

Bidang fokus kedua adalah untuk melengkapkan pekerja penjagaan kesihatan dengan kemahiran bagi masa depan.

“Apabila penjagaan kesihatan menjadi lebih berasaskan pasukan dan didayakan oleh teknologi, pekerja penjagaan kesihatan akan memerlukan kemahiran baharu, termasuk keupayaan untuk bekerja merentasi pelbagai disiplin dan memanfaatkan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) secara berkesan,” kata Encik Ong.

Ini akan memerlukan latihan pekerjaan dan kemahiran dikaitkan secara langsung dengan cara penjagaan disampaikan,” tambah beliau.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Sesetengah pekerja mungkin akan terjejas dengan kehilangan peranan mereka apabila model penjagaan berubah atau disebabkan gangguan yang dibawa oleh teknologi.

Encik Ong berkata majlis tersebut akan menyokong pekerja melalui perubahan, yang merupakan bidang fokus ketiganya.

“Jika peranan terjejas secara negatif, kita harus mengenal pasti implikasinya lebih awal, melibatkan pekerja dan menyediakan peningkatan kemahiran, kemahiran semula serta peralihan kerjaya tepat pada masanya,” ujarnya.

Majlis yang ditubuhkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) dan HSEU di bawah Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), dipengerusikan bersama oleh Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam dan presiden NTUC, Encik K Thanaletchimi.

MOH dan HSEU berkata dalam satu kenyataan bersama pada 27 November bahawa anggota majlis tersebut antaranya termasuk pemimpin kanan pemerintah, majikan penjagaan kesihatan awam dan kesatuan sekerja.

Encik Ong, yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, berkata selanjutnya bahawa sistem penjagaan kesihatan sedang mengalami transformasi besar seiring dengan populasi menua yang menyaksikan permintaan berubah drastik terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan.

“Bukan sahaja terdapat lebih ramai pesakit, mereka juga lebih cenderung menghidap penyakit kronik dan pelbagai keadaan perubatan,” katanya.

Penyelesaian untuk menangani perkara ini bukanlah sekadar membina lebih banyak hospital dan poliklinik, serta mengambil lebih ramai pekerja penjagaan kesihatan.

“Kita juga perlu mengubah cara penyampaian penjagaan kesihatan, beralih daripada rawatan kepada pencegahan, daripada tumpuan terhadap penyakit kepada penekanan terhadap kesihatan, serta daripada hospital kepada masyarakat dan kawasan kediaman kita,” tambah beliau.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti