Topik diikuti
Pergi ke BHkuMula takut hilang suara, kini bebas gejala barah
Di Singapura, lebih 1,100 individu didiagnosis hidap barah kepala dan leher setiap tahun
Ali, 51 tahun, mempunyai tabiat menghisap 20 batang rokok sehari selama 30 tahun.
Beliau mengalami ulser yang tidak sembuh di bahagian kanan lidah sehingga menyebabkan rasa sakit, sukar makan dan kehilangan berat badan sebanyak lima kilogram.
Pemeriksaan biopsi mendapati ulser itu ialah karsinoma sel skuamus.
Imbasan lanjut menunjukkan terdapat ketumbuhan berukuran empat sentimeter pada lidah kanan, selain barah telah merebak ke nodus limfa di kedua-dua belah leher.
Beliau disahkan menghidap Kanser Sel Skuamus Kepala dan Leher (HNSCC) Tahap IVA.
Ali amat bimbang terhadap kesan sampingan rawatan dan takut tidak lagi mampu bercakap atau makan seperti biasa selepas menjalani rawatan.
Ketakutan paling besar beliau ialah kehilangan nyawa akibat barah.
Beliau kemudian menjalani dua kitaran rawatan imunoterapi menggunakan ubat pembrolizumab.
Ketumbuhan pada lidah dan nodus limfa di leher mengecil kira-kira 50 peratus sebelum beliau menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada lidah serta nodus limfa yang terjejas.
Selepas itu, beliau menjalani radioterapi dan kemoterapi, diikuti beberapa dos tambahan pembrolizumab.
Sepanjang rawatan, beliau mengalami kesakitan, loya, keletihan, penurunan jumlah sel darah serta sukar makan.
Namun, semua kesan sampingan itu pulih dalam tempoh tiga bulan selepas rawatan selesai.
Kini beliau kembali menjalani kehidupan seperti biasa, manakala imbasan susulan tidak menunjukkan sebarang tanda barah berulang.
Barah kepala dan leher ialah kumpulan kanser yang bermula pada permukaan mukosa di rongga mulut, tekak, peti suara, rongga hidung, nasofarinks dan sinus.
Di Singapura, lebih 1,100 individu didiagnosis menghidap kanser kepala dan leher setiap tahun.
Hampir 50 peratus daripada kes baharu ialah karsinoma nasofarinks (NPC), manakala selebihnya ialah Kanser Sel Skuamus Kepala dan Leher (HNSCC).
Kanser HNSCC tahap lanjut setempat berlaku apabila ketumbuhan utama menjadi besar sehingga menyerang tisu berhampiran seperti otot, tulang atau rawan, atau apabila barah merebak ke satu atau lebih nodus limfa di leher.
Keadaan itu boleh mengganggu fungsi normal bahagian kepala dan leher, menyebabkan gejala seperti ulser mulut atau lidah yang tidak sembuh, suara serak berpanjangan, sakit atau sukar menelan, kesukaran bernafas akibat saluran pernafasan tersumbat serta benjolan berterusan pada leher.
Merokok, mengunyah tembakau atau pinang, serta pengambilan alkohol secara berlebihan untuk tempoh yang lama merupakan antara faktor risiko utama penyakit ini.
Selain itu, jangkitan beberapa jenis Virus Papiloma Manusia (HPV) turut meningkatkan risiko HNSCC, terutama di bahagian orofarinks yang merangkumi tonsil dan pangkal lidah.
HNSCC yang berpunca daripada merokok dan pengambilan alkohol lazimnya berlaku dalam kalangan lelaki berusia lebih 60 tahun.
Namun, barah tekak yang berkaitan HPV kini semakin banyak dikesan dalam kalangan individu lebih muda, berusia antara 40 dengan 50 tahun, termasuk mereka yang tidak mempunyai sejarah merokok atau pengambilan alkohol secara berlebihan.
Bagi kedua-dua jenis HNSCC, pesakit lelaki adalah kira-kira empat kali ganda lebih ramai berbanding wanita.
Sehingga 70 peratus pesakit didiagnosis ketika penyakit sudah berada pada tahap lanjut setempat.
Rawatan HNSCC tahap lanjut memerlukan pendekatan pelbagai disiplin yang menyeluruh.
Kebiasaannya, pesakit akan menjalani pembedahan membuang ketumbuhan dan nodus limfa yang terjejas, diikuti kemoterapi serentak dengan radioterapi bagi memusnahkan baki sel barah.
Sekiranya ketumbuhan tidak dapat dibuang sepenuhnya melalui pembedahan atau pembedahan boleh menyebabkan pesakit hilang keupayaan bercakap atau menelan secara kekal, rawatan kemoradioterapi akan diberikan sebagai rawatan utama bagi mengekalkan fungsi organ.
Rawatan kemoradioterapi juga menjadi pilihan utama bagi HNSCC yang berkaitan HPV kerana jenis barah itu amat sensitif terhadap radioterapi.
Pendekatan itu mampu memberikan kadar penyembuhan yang tinggi sambil mengurangkan kesan sampingan akibat pembedahan.
Walaupun rawatan sedia ada berkesan, sehingga 50 peratus pesakit HNSCC tahap lanjut masih mengalami barah berulang selepas rawatan.
Satu perkembangan penting dalam rawatan penyakit ini ialah penggunaan ubat imunoterapi seperti pembrolizumab dan nivolumab sebagai sebahagian daripada rawatan yang bertujuan menyembuhkan pesakit.
Kajian terkini menunjukkan pemberian nivolumab selepas pembedahan seiring kemoradioterapi dapat mengurangkan risiko barah berulang atau kematian sebanyak 24 peratus.
Satu lagi kajian mendapati pembrolizumab yang diberikan sebelum pembedahan, kemudian diteruskan selepas pembedahan bersama radioterapi atau kemoradioterapi standard, meningkatkan peluang rawatan berjaya.
Sebanyak 88 peratus pesakit berjaya menjalani pembedahan, lebih ramai mencapai pembuangan ketumbuhan secara menyeluruh, kurang memerlukan kemoterapi selepas pembedahan, serta 30 peratus kurang berisiko mengalami barah berulang atau meninggal dunia.
Walaupun imunoterapi boleh meningkatkan risiko kesan sampingan akibat sistem imun yang terlalu aktif sehingga menyerang organ sihat, kebanyakan kesan sampingan itu tidak serius dan mudah dirawat.
Penemuan itu amat menggalakkan kerana menunjukkan lebih ramai pesakit boleh disembuhkan dengan rawatan yang kurang toksik.
Ia juga merupakan kemajuan paling besar dalam rawatan HNSCC tahap lanjut dalam tempoh dua dekad.
Pesakit HNSCC tahap lanjut disaran mendapatkan rawatan secepat mungkin serta memahami penyakit dan pilihan rawatan yang ada.
Mereka juga perlu berhenti merokok dan mengambil alkohol, mengamalkan senaman secara berkala, menikmati pemakanan sihat serta mendapatkan tidur yang mencukupi dan bermutu.
Semua perubahan gaya hidup itu dapat membantu meningkatkan peluang pemulihan.
Yang paling penting, pesakit tidak harus kehilangan harapan.
Penulis, Perunding Kanan, Pakar Onkologi Perubatan, Pusat Barah Icon dan Pusat Perubatan Farrer Park.

