Encik Hadi, seorang pemandu pelancong berusia 63 tahun, gemar berkongsi cerita dengan tetamu dari seluruh dunia.
Suaranya adalah aset paling berharga dalam kerjaya yang dicintainya.
Namun, sejak enam bulan lalu, suaranya mula serak dan berbunyi kasar.
Pada mulanya, beliau menganggapnya hanya selesema biasa.
Tetapi apabila suaranya semakin teruk sehingga sukar untuk bercakap sepanjang hari, beliau mula bimbang.
Pelanggannya mula bertanya sama ada beliau tidak sihat, dan beliau terpaksa memendekkan sesi lawatannya kerana sakit tekak.
Pemeriksaan di klinik menunjukkan beliau menghidap ketumbuhan (polip) pada pita suaranya yang telah berdarah akibat penggunaan suara secara berterusan tanpa rehat.
Kes seperti itu kerap berlaku dalam pekerjaan yang bergantung kepada penggunaan suara – individu yang suaranya menjadi sumber rezeki dalam kerjaya, namun mereka tidak menyedari betapa pentingnya menjaga kesihatan kotak suara.
Kotak suara atau laring ialah organ dalam sistem pernafasan yang terletak di bahagian hadapan leher kita, di bahagian atas trakea (batang tenggorok).
Di dalamnya terdapat sepasang pita suara yang bergetar apabila udara dari paru-paru melaluinya, menghasilkan bunyi yang kemudian dibentuk menjadi perkataan oleh lidah, bibir dan mulut.
Tanpa kotak suara yang sihat, kita tidak dapat berkomunikasi dengan berkesan, meluahkan perasaan, atau menjalankan tugas harian dengan sempurna.
Suara bukan sekadar alat komunikasi; ia sebahagian daripada identiti kita.
Bayangkan guru yang tidak dapat mengajar, penyampai radio yang tidak boleh bersiaran, atau ibu yang tidak dapat menyanyikan lagu untuk anaknya.
Inilah realiti mereka yang menghadapi masalah kotak suara.
Pelbagai jenis gangguan kotak suara boleh menjejas mutu suara seseorang:
• Nodul dan polip pita suara (vocal cord nodules or polyp): Ketumbuhan yang tidak berbahaya (benign) akibat penggunaan suara berlebihan atau teknik yang salah. Polip biasanya tumbuh di satu sisi pita suara, manakala nodul terbentuk di kedua-dua belah pita suara.
• Laringitis: Keradangan kotak suara yang biasanya disebabkan oleh jangkitan virus atau pendedahan kepada bahan merengsakan seperti asap rokok. Ia menyebabkan suara serak, hilang atau lemah.
• Kelumpuhan pita suara: Satu atau kedua-dua pita suara tidak bergerak dengan betul, menyebabkan kesukaran bercakap, menelan atau bernafas.
• Barah laring: Memerlukan rawatan segera dan lebih kerap berlaku pada perokok serta peminum alkohol kronik.
Ramai orang mengabaikan masalah suara serak dengan harapan ia akan hilang dengan sendirinya.
Walau bagaimanapun, anda perlu berjumpa doktor jika anda mengalami:
• Suara serak yang berterusan lebih dari dua minggu tanpa sebab jelas.
• Sakit atau sukar bercakap.
• Perubahan nada atau mutu suara.
• Kehilangan suara sepenuhnya.
• Rasa sesuatu tersangkut di tekak.
• Batuk berdarah atau darah dalam air liur.
• Sukar menelan atau bernafas.
Gejala itu mungkin menandakan masalah lebih serius dan memerlukan pemeriksaan pakar.
Gangguan kotak suara boleh berpunca daripada:
• Penggunaan suara berlebihan adalah punca utama. Bercakap terlalu kuat atau terlalu lama dengan teknik yang salah boleh merosakkan pita suara.
• Tabiat tidak sihat seperti merokok dan meminum alkohol meningkatkan risiko radang dan barah kotak suara. Asap rokok merengsakan tisu kotak suara, menyebabkan perubahan sel berbahaya.
• Refluks asid (gerd) boleh menyebabkan asid perut naik ke kerongkong dan merengsakan kotak suara, terutama pada waktu malam semasa tidur atau selepas banyak makan.
Jika tidak dirawat, gangguan kotak suara yang berpanjangan boleh menyebabkan kerosakan kekal pada pita suara, kesukaran berkomunikasi, kesedihan dan kehilangan pekerjaan, terutama bagi mereka yang bergantung kepada suara untuk mencari rezeki.
Pemeriksaan kotak suara biasanya dilakukan melalui laringoskopi. Doktor menggunakan kamera khas untuk melihat pita suara dengan jelas.
Prosedur itu tidak menyakitkan dan boleh dilakukan di klinik.
Rawatan bergantung kepada jenis dan tahap keterukan masalah.
Kes ringan mungkin hanya memerlukan terapi suara dan perubahan gaya hidup, manakala polip atau sista mungkin perlu dibuang.
Teknologi laser cahaya biru adalah teknik canggih yang membolehkan prosedur dilakukan dengan cepat, kurang invasif dan pemulihannya lebih pantas.
Berbeza dengan pembedahan konvensional yang memerlukan bius am, laser cahaya biru boleh dilakukan di klinik dengan bius tempatan, pendarahan minimum, dan pemulihan lebih cepat.
Teknologi itu amat berkesan untuk polip dan sista pita suara, dan ketumbuhan kecil hingga sederhana.
Kaedah pembedahan tradisional memerlukan bius am di bilik bedah, bermakna pesakit perlu:
• Menjalani ujian darah dan pemeriksaan prabius.
• Berpuasa sebelum pembedahan.
• Berehat beberapa hari selepas pembedahan untuk pulih daripada kesan ubat bius.
• Mengambil cuti kerja yang lebih lama.
Dengan laser cahaya biru, prosedur boleh dilakukan di klinik dengan bius tempatan sahaja.
Laser itu menghasilkan tenaga yang sangat tepat, membolehkan pakar membuang ketumbuhan tanpa merosakkan tisu sihat di sekeliling.
Pendarahan juga minimum kerana laser menutup saluran darah kecil semasa prosedur.
• Prosedur selesai dalam masa singkat (20-30 minit).
• Boleh pulang ke rumah pada hari yang sama
• Kesakitan dan bengkak yang minimum.
• Pemulihan lebih cepat – boleh kembali bekerja dalam beberapa hari.
• Tidak perlu ujian darah atau penilaian prabius yang kompleks.
• Kos lebih rendah kerana tidak perlu penginapan hospital.
• Risiko komplikasi lebih rendah
Kembali kepada Encik Hadi, beliau pada mulanya teragak-agak untuk menjalani pembedahan tradisional kerana tidak mampu mengambil cuti panjang.
Apabila saya menawarkan rawatan menggunakan laser cahaya biru di klinik, beliau bersetuju.
Dengan rawatan laser cahaya biru, polip pada pita suaranya dibuang sepenuhnya dalam 20 minit, dan beliau pulang pada hari yang sama.
Saya menasihatkan beliau agar merehatkan suaranya selama seminggu dan mengelakkan daripada bercakap terlalu banyak.
Seminggu kemudian, beliau datang untuk pemeriksaan susulan. Pita suaranya telah sembuh dengan baik dan suaranya kembali normal.
“Doktor, saya rasa seperti dilahirkan semula,’’ katanya dengan gembira.
“Suara saya lebih jernih berbanding sebelum ini dan saya tidak lagi rasa sakit bila bercakap,’’ tambah beliau.
Kini beliau kembali membawa pelancong dengan penuh semangat, dan kali ini, beliau lebih prihatin terhadap kesihatan suaranya.
Panduan Pencegahan: Jaga Kesihatan Kotak Suara
Seperti kata pepatah, mencegah lebih baik daripada merawat. Berikut beberapa langkah mudah untuk menjaga kesihatan kotak suara:
1. Minum sekurang-kurangnya dua liter air sehari untuk memastikan pita suara sentiasa lembap.
2. Elak memekik atau menjerit – Gunakan mikrofon apabila perlu.
3. Rehatkan suara – Jika pekerjaan anda memerlukan banyak penggunaan suara, luangkan masa untuk tidak bercakap seketika.
4. Usah merokok – Asap rokok adalah musuh nombor satu kotak suara.
5. Hadkan alkohol dan kafein – Kedua-duanya boleh menyebabkan dehidrasi.
6. Rawat refluks asid – Jika anda menghidap Gerd, dapatkan rawatan yang sesuai.
7. Gunakan teknik vokal yang betul – Jika pekerjaan anda memerlukan banyak penggunaan suara, pertimbangkan untuk menghadiri kelas terapi suara.
8. Elakkan berdehem secara berterusan – Ini merengsakan kotak suara. Sebaliknya, telan air liur atau minum air.
Suara adalah anugerah yang sering kita lupakan sehingga ia terjejas.
Bagi ramai orang, suara bukan sekadar alat komunikasi – ia adalah sumber rezeki dan sebahagian daripada identiti mereka.
Dengan kemajuan teknologi perubatan seperti laser cahaya biru, rawatan gangguan kotak suara kini lebih mudah dan berkesan.
Namun, pencegahan dan kesedaran adalah kunci untuk menjaga kesihatan suara.
Jika anda mengalami sebarang masalah suara yang berterusan, dapatkan nasihat pakar dengan segera.
Seperti Encik Hadi yang kini kembali berkongsi keindahan Singapura dengan suara yang jernih, anda juga berhak berkomunikasi dengan yakin.
Jaga suara anda hari ini demi hari esok yang lebih baik.
Penulis ialah Pakar Perunding, Jabatan Otorinolaringologi – Pembedahan Kepala dan Leher, di Hospital Besar Sengkang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg