NEW YORK: Penggunaan rokok elektronik (e-rokok) atau vape sering digambarkan sebagai alternatif yang ‘lebih sihat’ berbanding merokok tembakau.
Namun, semakin banyak kajian menunjukkan vape juga boleh merosakkan paru-paru, malah menyebabkan kecederaan serius walaupun selepas penggunaan jangka pendek.
Vape berfungsi dengan cara memanaskan cecair khas yang dikenali sebagai vape juice atau e-liquid hingga menjadi wap yang dihidu pengguna.
Cecair itu mengandungi bahan kimia, garam nikotin dan perisa.
Apabila diaktifkan, bateri menghidupkan gegelung logam yang memanaskan cecair hingga menghasilkan aerosol – zarah halus yang disedut terus ke dalam paru-paru.
Profesor Kimia di Universiti Perubatan dan Sains Kesihatan RCSI, Ireland, Dr Donal O’Shea, menjelaskan bahawa kesan sebenar menghidu bahan kimia yang dipanaskan itu masih belum diketahui sepenuhnya.
“Tiada sesiapa pernah menguji apakah yang berlaku apabila bahan-bahan kimia ini dipanaskan dan dihidu. Tisu paru-paru sangat sensitif dan tidak mudah pulih.
“Pendedahan berulang boleh menyebabkan parut kekal. Inilah yang akhirnya membawa kepada penyakit dikenali sebagai popcorn lung,” katanya.
Popcorn lung atau nama perubatannya, bronchiolitis obliterans, ialah penyakit paru-paru kronik yang jarang berlaku tetapi serius yang menyebabkan parut dan kerosakan kekal pada saluran udara kecil (bronkiol) di dalam paru-paru.
Sebelum ini, seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di Amerika Syarikat didiagnosis dengan bronchiolitis obliterans atau lebih dikenali sebagai popcorn lung selepas tiga tahun menggunakan vape secara diam-diam
Penyakit itu menyebabkan parut kekal pada saluran udara kecil sehingga mengganggu pernafasan secara kekal.
Menurut laporan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika, lebih 3,000 kes kecederaan paru-paru berkaitan vape (Evali) dilaporkan pada 2019, dengan 68 kematian, kebanyakannya melibatkan remaja dan belia.
“Kes paling teruk mungkin mendapat perhatian media, tetapi di bawahnya ada kerosakan secara senyap yang dialami para pengguna vape setiap hari,” kata Dr O’Shea.
Kajian menunjukkan vape boleh menyebabkan keradangan paru-paru, batuk, sakit dada dan sesak nafas.
Walaupun tidak semua pengguna mengalami Evali, pakar kesihatan percaya risiko meningkat dengan penggunaan yang lebih kerap.
Pakar pulmonologi dari Hospital Universiti Utah, Dr Andrew Freeman, menjelaskan bahawa Evali ialah kecederaan paru-paru berpunca daripada keradangan besar-besaran.
“Dalam kes serius seperti Sindrom Penyakit Pernafasan Akut atau Acute Respiratory Disease Syndrome (ARDS) , keradangan dan pengumpulan cecair boleh menyebabkan kegagalan paru-paru dalam masa beberapa hari sahaja,” katanya.
Bahan yang paling sering dikaitkan dengan kematian akibat Evali adalah vitamin E asetat, sejenis bahan pemekat yang menghasilkan gas toksik apabila dipanaskan.
Namun, Dr Freeman menambah bahawa risiko tidak hanya berpunca daripada bahan itu sahaja.
“Seseorang juga boleh mendapat Evali daripada vape yang hanya mengandungi nikotin.
“Setiap individu bertindak balas berbeza terhadap bahan ini. Namun yang pasti, semakin kerap seseorang menghisap vape, semakin tinggi risikonya,” tegasnya.
Remaja dan belia dikenal pasti sebagai kumpulan paling berisiko.
Tisu paru-paru, jantung dan otak mereka masih berkembang, menjadikannya lebih mudah rosak akibat bahan kimia.
“Bagi remaja, tisu organ masih belum matang sepenuhnya. Ini menjadikan mereka jauh lebih sensitif terhadap toksin yang disedut,” jelas Dr O’Shea.
Kebanyakan remaja pengguna vape juga melaporkan ketagihan nikotin yang kuat.
Ramai menjadi mudah gelisah dan cepat marah hanya beberapa jam selepas berhenti menghisap.
“Apa yang berlaku sekarang ialah generasi muda sangat cepat ketagih. Mereka terperangkap dalam kitaran yang sama seperti perokok tradisional,” ujarnya.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penggunaan vape meningkat di seluruh dunia, malah remaja berusia 13 hingga 15 tahun kini menggunakan vape pada kadar lebih tinggi daripada orang dewasa.
Kajian di Afrika Selatan terhadap 25,000 pelajar sekolah menengah mendapati 16.8 peratus daripada mereka menggunakan vape jauh melebihi 2 peratus yang menghisap rokok biasa.
Perisa manis seperti buah-buahan, coklat atau gula-gula sering digunakan oleh pengeluar untuk menarik minat golongan muda.
“Perisa itu menjadikan vape kelihatan tidak berbahaya, padahal wapnya membawa pelbagai bahan kimia yang tidak pernah diuji pada tubuh manusia,” kata Dr O’Shea.
Menurut Dr Freeman, rawatan utama bagi pesakit Evali adalah berhenti segera daripada punca pendedahan, iaitu berhenti menghisap vape.
“Langkah pertama adalah menjauhkan diri daripada bahan pencetus itu dan memberi paru-paru masa untuk pulih,” jelasnya.
Bagi kes yang lebih buruk, pesakit memerlukan oksigen tambahan dan rawatan di hospital.
Doktor juga boleh memberi steroid untuk mengurangkan keradangan atau antibiotik bagi jangkitan.
Oleh kerana rokok elektronik baru popular sekitar dua dekad lalu, kesan jangka panjangnya masih belum diketahui sepenuhnya.
Namun, penyelidik sudah menemui kaitan antara vape dengan risiko penyakit paru-paru kronik, semput, bronkitis serta masalah dan kegagalan jantung.
“Sesetengah wap mengandungi logam berat seperti plumbum dan arsenik. Perisa tertentu juga boleh membunuh sel atau menghalang pertumbuhannya,” ujar Dr Freeman.
Beliau menambah paru-paru manusia bukan organ yang sesuai untuk menyerap bahan kimia riadah.
“Paru-paru direka untuk menyalurkan oksigen, bukan untuk menampung bahan asing.
“Jika kita tidak menjaganya, kita akan menanggung akibatnya pada usia tua kesukaran bernafas, batuk kronik, dan parut kekal,” katanya.
Tanggapan Vape Lebih Baik Daripada Rokok
Walaupun ada yang percaya vape membantu perokok berhenti merokok, pakar memberi amaran ia bukan penyelesaian ideal.
“Vape hanya memindahkan ketagihan daripada satu bentuk kepada bentuk lain. Ia bukan penyelesaian ajaib untuk berhenti merokok,” tegas Dr O’Shea.
Dr Freeman pula menasihatkan agar individu memilih terapi gantian nikotin yang sah seperti tampalan atau gula getah nikotin, berbanding vape.
“Ada sesetengah orang berjaya berhenti rokok tembakau dengan beralih kepada vape, tetapi ramai akhirnya menjadi pengguna kedua-duanya sekali dan itu lebih berbahaya,” katanya.
Walaupun masih banyak yang belum diketahui tentang kesan jangka panjang vape, bukti awal sudah cukup memberi amaran.
Vape bukan tanpa risiko, sebaliknya ia menjejas paru-paru, mempercepat ketagihan dan boleh menyebabkan kematian.
Seperti yang diingatkan oleh Dr Freeman: “Paru-paru adalah organ yang perlu bertahan sepanjang hayat kita.
“Jika kita terus merosakkannya dengan vape, kita hanya mempercepatkan masa sebelum kehilangan keupayaan untuk bernafas secara bebas.” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg