JAKARTA: Ketua Polis Negara, Jeneral Listyo Sigit Prabowo, memberi amaran mengenai kemunculan trend baru penyalahgunaan dadah di Indonesia melibatkan dua bahan berbahaya ketamin dan etomidate yang kian meluas penggunaannya dalam kalangan belia.
Dalam satu kenyataan semasa menyelia upacara pemusnahan 214.84 tan dadah yang dirampas antara Oktober 2024 dengan Oktober 2025 di Padang Bhayangkara, Jakarta pada 29 Oktober, Jeneral Sigit menjelaskan bahawa kedua-dua bahan itu kini digunakan dengan cara yang amat membimbangkan.
“Kami laporkan bahawa hasil penemuan di lapangan menunjukkan trend baru yang cukup berbahaya penggunaan ketamin yang dihidu melalui hidung serta etomidate yang dicampur dalam cecair rokok elektronik (vape) dan disedut menggunakan pod,” katanya.
Beliau menegaskan tiada peruntukan undang-undang khusus ketika ini yang mengawal penyalahgunaan tersebut, menjadikan penguatkuasaan undang-undang terhadap penggunaannya masih terhad.
Menurut Jenerel Sigit, Polis Negara Indonesia kini bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi membangunkan rangka perundangan yang akan mengklasifikasikan ketamin dan etomidate sebagai bahan narkotik berbahaya.
“Kami sedang berusaha agar kedua-dua bahan ini dimasukkan dalam Rang Undang-Undang Narkotik.
“Sementara proses itu berlangsung, Kementerian Kesihatan akan mengeluarkan peraturan menteri bagi menutup kekosongan undang-undang sedia ada,” jelas beliau.
“Diharapkan pada masa hadapan, penyalahgunaan dua bahan berbahaya ini boleh dikenakan tindakan undang-undang,” tambahnya.
Dalam tempoh setahun pentadbiran Presiden Prabowo Subianto, Polis Negara telah menangani 49,306 kes dadah melibatkan 65,572 suspek, dengan nilai rampasan dianggarkan mencecah 29.37 trilion rupiah ($1.77 bilion).
Antara yang dirampas ialah 27.9 kilogram ketamin dan 18 liter etomidate.
Etomidate merupakan bahan bersifat ketagihan yang biasanya digunakan dalam bidang perubatan sebagai ubat bius, namun boleh menyebabkan kehilangan kesedaran, kerosakan organ dalaman, kekeliruan, gegaran, serta gangguan imbangan tubuh apabila disalahgunakan.
Rampasan dadah termasuk ganja, syabu, pil ecstasy, kokain dan pil psikotropik, yang menurutnya telah mencegah penyalahgunaan berpotensi oleh jutaan orang serta menukar 118 kawasan berisiko tinggi dadah kepada kampung bebas dadah.
Encik Prabowo sendiri hadir menyaksikan pemusnahan dadah tersebut, sebagai simbol komitmen pemerintah terhadap perlindungan rakyat daripada ancaman narkotik.
“Pemusnahan hari ini menunjukkan kesungguhan kami membanteras penyalahgunaan dadah di semua peringkat masyarakat,” kata Encik Prabowo dalam ucapannya. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg