Pesakit barah kanak-kanak yang menjalani rawatan di Pusat Barah Nasional Singapura (NCCS) kini boleh mengalami suasana di dalam bilik rawatan secara maya bagi membantu mengurangkan kegelisahan mereka sebelum prosedur perubatan bermula.

Simulasi realiti maya (VR) itu dibangunkan oleh pelajar tahun akhir jurusan Reka Bentuk dan Media Politeknik Nanyang (NYP) dengan kerjasama NCCS.

Ia bertujuan mempersiapkan pesakit kanak-kanak atau pediatrik dengan lebih baik sebelum menjalani prosedur perubatan seperti imbasan Tomografi Berkomputer (CT scan) dan radioterapi.

Pesakit akan memakai set kepala VR yang membawa mereka masuk ke dalam persekitaran rawatan maya, sekali gus merangsang deria penglihatan dan pendengaran mereka semasa ‘bergerak’ di dalam ruang berkenaan.

Mereka dapat melihat cara mesin berbeza berfungsi serta mendengar bunyi yang dihasilkan mesin tersebut sepanjang proses rawatan.

Simulasi pertama bagi bilik imbasan CT telah menjalani tempoh percubaan pada 2025.

Alat digital itu dibangunkan oleh 16 pelajar NYP.

Satu lagi kumpulan yang terdiri daripada sembilan pelajar kemudian mencipta aplikasi VR yang meniru persekitaran radioterapi proton dan foton pada 2025.

Aplikasi itu mula digunakan di NCCS pada awal 2026.

Setakat ini, seramai 17 pesakit pediatrik telah menggunakan simulasi berkenaan sebagai sebahagian persediaan sebelum rawatan, dengan pesakit paling muda berusia tujuh tahun.

Menurut Timbalan Ketua Perkhidmatan Radioterapi NCCS, Penolong Profesor Eric Pang, radioterapi, terutama terapi pancaran proton atau proton beam therapy, boleh menjadi sesuatu yang menakutkan bagi kanak-kanak kecil.

“Saiz bilik rawatan besar, mesin pula bergerak rapat dengan pesakit, dan pesakit dikehendaki kekal tidak bergerak semasa rawatan dijalankan.

“Bagi ramai pesakit muda, keadaan asing serta pemahaman terhad tentang proses dan persekitaran rawatan boleh mengakibatkan rasa takut dan gelisah,” kata Dr Pang.

Bagi menyokong dan mempersiapkan pesakit untuk rawatan, Dr Pang berkata langkah sedia ada kini termasuk menyediakan khidmat kaunseling, terapi melalui permainan, bahan pendidikan bercetak dan sokongan daripada karyawan kesihatan bersekutu.

Namun, sebilangan kanak-kanak lebih kecil mungkin masih sukar memahami dan membayangkan suasana rawatan yang rumit.

Dalam keadaan sedemikian, anestesia umum (GA) mungkin diperlukan bagi sesetengah daripada mereka supaya mereka kekal tidak bergerak, bagi membolehkan pemberian radioterapi secara selamat dan tepat.

Meskipun GA berkesan dan secara amnya selamat, Dr Pang menjelaskan ia membawa risiko tambahan dan usaha mengurangkan kebergantungan terhadap GA sekiranya sesuai, akan memberikan manfaat. 

Ia termasuk mengehadkan prosedur serta kos tambahan, selain meningkatkan keseluruhan pengalaman rawatan bagi kanak-kanak dan keluarga mereka.

“Kami berharap simulasi ini dapat membantu mengurangkan kegelisahan, membina keyakinan dan membolehkan pesakit memahami dengan lebih baik tentang apakah yang bakal dilalui semasa rawatan, sekali gus menjadikan pengalaman tersebut kurang menakutkan,” katanya.

Beliau menambah, simulasi VR itu ditawarkan mengikut kesesuaian kes.

Untuk layak menerima kaedah tersebut, pesakit mesti berusia sekurang-kurangnya empat tahun.

Faktor lain yang turut dipertimbangkan termasuk tahap keselesaan kanak-kanak itu dan keupayaan mereka mengikut arahan semasa mempersiapkan diri untuk rawatan.

Cik Ng Lay Leng, 44 tahun, berkata simulasi VR bagi bilik terapi pancaran proton membantu anak lelakinya, Tan Yi Heng, 13 tahun, menjadi kurang gelisah semasa menjalani rawatan.

Selepas anaknya mengalami beberapa serangan sakit kepala dan muntah-muntah semasa percutian pada Disember 2025, keluarga berkenaan terkejut apabila mendapat tahu Tan didapati mempunyai ketumbuhan bukan barah di dalam kepalanya, yang memerlukan beberapa sesi terapi pancaran proton.

“Doktor onkologi ada menerangkan tentang rawatan itu dan menunjukkan satu video kepadanya, tetapi melalui sendiri pengalaman tersebut melalui VR memberi kesan lebih besar,” kata Cik Ng.

Selepas melalui simulasi VR itu, Tan mendapat gambaran lebih jelas tentang apakah yang bakal dilaluinya sepanjang rawatan, yang mengambil masa kira-kira 30 minit bagi setiap sesi.

“Apabila beliau masuk ke dalam bilik rawatan, beliau lebih yakin dan kurang bimbang tentang prosedur tersebut,” katanya.

Antara 25 Februari dengan 8 April, Tan menyelesaikan 30 sesi terapi pancaran proton di NCCS.

Sejak itu, Tan dapat kembali aktif dalam kegiatan seperti kelas pendidikan jasmani, yang tidak dapat dilakukannya sepanjang tempoh rawatan sebelum ini.