Perikatan jagaan barah ditubuh, pertingkat kesedaran, galak pencegahan serta perluas akses sokongan penjagaan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perikatan jagaan barah ditubuh, pertingkat kesedaran, galak pencegahan serta perluas akses sokongan penjagaan

Feb 1, 2026 | 12:15 AM

Perikatan jagaan barah ditubuh, pertingkat kesedaran, galak pencegahan serta perluas akses sokongan penjagaan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Perikatan Penjagaan Barah dilancarkan bersama oleh (dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Ain, Dr Haji Md Yusof Ismail; Presiden Tharman Shanmugaratnam; CEO Persatuan Barah Singapura (SCS), Encik Tan Kwang Cheak; CEO Persatuan Pencegahan Barah 365, Encik Ben Chua; dan Pengurus Besar Yayasan Barah Buah Dada, Encik Jacob Soo di Plaza Masyarakat Kampung Admiralty pada 31 Januari.
Perikatan Penjagaan Barah dilancarkan bersama oleh (dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Ain, Dr Haji Md Yusof Ismail; Presiden Tharman Shanmugaratnam; CEO Persatuan Barah Singapura (SCS), Encik Tan Kwang Cheak; CEO Persatuan Pencegahan Barah 365, Encik Ben Chua; dan Pengurus Besar Yayasan Barah Buah Dada, Encik Jacob Soo di Plaza Masyarakat Kampung Admiralty pada 31 Januari. - Foto PERSATUAN BARAH SINGAPURA

Empat pertubuhan tidak mengaut untung yang menerajui bidang penjagaan dan sokongan moral pesakit barah di Singapura telah berganding bahu membentuk Perikatan Penjagaan Barah.

Ia merupakan satu pakatan sulung yang menyatukan usaha meningkatkan kesedaran, menggalakkan pencegahan, serta memperluas akses kepada sokongan penjagaan barah di seluruh negara.

Anggota pengasasnya terdiri daripada Persatuan Barah Singapura (SCS), Persatuan Pencegahan Barah 365 (365CPS), Persatuan Ain dan Yayasan Barah Buah Dada (BCF).

Ia mencerminkan komitmen bersama untuk melaksanakan usaha jangkauan yang lebih terselaras dan berimpak tinggi dalam aspek kesedaran barah, pencegahan dan pengesanan awal.

Perikatan yang baru ditubuhkan ini akan berfungsi sebagai suara kolektif bagi masyarakat barah, merapatkan jurang serta menyelaraskan program dan penyelidikan bagi memberi manfaat kepada lebih ramai individu merentasi pelbagai lapisan masyarakat di Singapura.

Dalam satu kenyataan bersama keempat-empat badan tersebut pada 31 Januari, ia berkata pakatan itu akan menilai kejayaan inisiatifnya berdasarkan hasil yang boleh diukur.

Ini termasuk peningkatan pemahaman mengenai risiko barah serta penyertaan masyarakat bagi ujian saringan.

“Perikatan ini juga akan berusaha mempermudah pengemudian penjagaan serta mewujudkan laluan yang lebih konsisten bagi individu dan keluarga yang terjejas oleh barah, termasuk akses yang lebih baik kepada perkhidmatan pemulihan dan sokongan psikososial,” kata kenyataan itu lagi.

Ia turut memperluas penyertaan pertubuhan dalam menyokong kanak-kanak, keluarga, dan masyarakat yang terjejas oleh barah, pada masa hadapan.

Perikatan Penjagaan Barah ini dilancarkan pada 31 Januari di Plaza Masyarakat Kampung Admiralty, dengan kehadiran Presiden Tharman Shanmugaratnam, yang juga merupakan penaung SCS.

Pelancaran itu juga bertepatan dengan acara Screen Fest – iaitu acara awam bersama yang pertama bagi pakatan tersebut.

Ia juga menandakan kali pertama lebih 12 rakan penjagaan kesihatan dan barah berganding bahu untuk membawa kesedaran mengenai penyakit itu serta perkhidmatan saringan kepada masyarakat.

Inisiatif itu turut disokong oleh Pusat Barah Nasional Singapura (NCCS), Institut Barah Universiti Nasional Singapura (NCIS) dan NHG Health.

Antara sorotan Screen Fest termasuk panel yang membincangkan mengenai kesedaran barah bersama pakar penjagaan kesihatan dan mereka yang berjaya mengatasinya; pendaftaran saringan barah di lokasi melalui Healthier SG dan pertubuhan rakan kongsi lain; serta saringan barah di lokasi.

Keperluan untuk meningkatkan kesedaran barah semakin diperlukan terutama sekali ia menyumbang kepada lebih suku daripada semua kematian di peringkat tempatan, tambah kenyataan pakatan itu.

Ia berkata, satu daripada empat penduduk Singapura juga dijangka akan menghidap barah dalam hidup mereka.

Walau demikian, pencapaian dalam rawatan barah telah meningkat dengan ketara.

Kadar kelangsungan hidup bagi mereka yang menghidap barah selama lima tahun telah meningkat tiga kali ganda dalam 50 tahun terakhir – daripada 19.5 peratus, antara 1973 dengan 1977 kepada 61.4 peratus antara 2019 dengan 2023.

“Walaupun terdapat kemajuan ini, masih banyak ruang untuk meningkatkan penyertaan saringan,” ujar kenyataan itu.

Ia berkata, Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional 2024 menunjukkan hanya 35 hingga 45 peratus penduduk Singapura yang menjalani saringan secara berkala untuk barah buah dada, kolorektal dan serviks, walaupun program saringan nasional telah disediakan.

“Menggalakkan lebih ramai orang menjalani saringan adalah kritikal, kerana pengesanan awal membolehkan rawatan segera dan hasil yang lebih baik sepanjang perjalanan barah,” katanya.

Mengulas mengenai perikatan itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Ain, Dr Haji Md Yusof Ismail, berkata:

“Melalui gabungan penjagaan barah ini, kami dapat menyelaraskan penjagaan dengan lebih baik dalam kalangan agensi perkhidmatan sosial dan memastikan tiada masyrakat yang ketinggalan dalam perjalanan menghadapi barah.”

Bagi CEO Persatuan Pencegahan Barah 365, Encik Ben Chua, pula, usaha menggabungkan kepakaran itu dapat memperluaskan capaian, melaksanakan inisiatif yang lebih tersusun, serta menyokong masyarakat dengan lebih baik sepanjang rangkaian pencegahan.

“Bekerjasama membolehkan kami bergerak melepasi usaha bersendirian dan menghasilkan impak yang lebih besar serta lestari.

“Ke hadapan, gabungan ini menyediakan wadah yang kukuh untuk memperluaskan usaha kami, memperdalam lagi penglibatan masyarakat, dan memberi impak berkekalan dalam pencegahan barah,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg