Apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) meningkat melepasi 100 dan memasuki paras tidak sihat, ia bukan sekadar menunjukkan keadaan jerebu semakin buruk.

Bacaan itu juga menjadi panduan penting untuk orang ramai menilai risiko kesihatan dan menentukan sama ada mereka perlu mengurangkan kegiatan di luar, terutama bagi golongan yang lebih mudah terjejas akibat pencemaran udara.

Namun, bacaan PSI 200 tidak bermakna udara itu dua kali lebih berbahaya berbanding apabila PSI 100.

Sebaliknya, PSI merupakan indeks yang mengklasifikasikan mutu udara mengikut tahap pencemaran dan risiko kesihatan, kata Profesor Rajasekhar Balasubramanian daripada Jabatan Kejuruteraan Awam dan Sekitaran, Kolej Reka Bentuk dan Kejuruteraan, Universiti Nasional Singapura (NUS).

Di Singapura, bacaan PSI antara 0 dengan 50 berada dalam julat baik; 51 hingga 100 sederhana; 101 hingga 200 tidak sihat; 201 hingga 300 sangat tidak sihat; dan melebihi 300 berbahaya.

Dalam wawancara bersama CNA938, Profesor Balasubramanian berkata perhatian juga perlu diberikan kepada PM2.5 iaitu zarah pencemar yang begitu kecil sehingga tidak dapat dilihat secara individu dengan mata kasar.

PM2.5 merujuk kepada zarah dengan diameter 2.5 mikrometer atau lebih kecil.

Saiznya yang amat kecil membolehkan zarah itu kekal terapung di udara untuk tempoh panjang dan dibawa angin merentasi jarak jauh, termasuk melintasi sempadan negara.

Ketika berlaku kebakaran hutan dan tanah di Sumatera atau Kalimantan, asap yang mengandungi PM2.5 boleh dibawa angin sejauh ratusan kilometer sehingga merentasi sempadan dan menjejas mutu udara di negara lain, termasuk Singapura.

Zarah halus dalam asap itu juga boleh membawa pelbagai bahan kimia hasil pembakaran.

Apabila dihidu pada kepekatan tinggi, zarah tersebut boleh memasuki jauh ke dalam sistem pernafasan dan meningkatkan risiko kesan terhadap kesihatan.

Menurut Profesor Balasubramanian, kesan PM2.5 terhadap kesihatan bergantung kepada beberapa faktor, termasuk tahap pencemaran dan berapa lama seseorang terdedah kepada zarah tersebut.

Pendedahan singkat kepada jerebu boleh menyebabkan mata terasa pedih atau berair, selain mencetuskan batuk, sakit tekak dan ketidakselesaan pada saluran pernafasan.

Kesan sedemikian lazimnya boleh reda apabila pendedahan kepada pencemaran berkurangan.

“Apa yang lebih membimbangkan adalah apabila seseorang terdedah untuk tempoh panjang kepada kepekatan zarah halus yang tinggi tanpa mengambil langkah berjaga-jaga.

“Kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta mereka yang menghidap penyakit jantung atau paru-paru kronik adalah antara golongan yang perlu lebih berhati-hati.

Mereka khususnya perlu mempertimbangkan keadaan mutu udara sebelum melakukan kegiatan di luar apabila kepekatan PM2.5 meningkat,’’ ujarnya.

Bezakan bacaan 24 jam dengan PM2.5 sejam

Orang ramai juga perlu memahami perbezaan antara bacaan PSI 24 jam dengan bacaan PM2.5 sejam kerana kedua-duanya mempunyai kegunaan berbeza.

PSI 24 jam memberi gambaran mengenai mutu udara berdasarkan tempoh yang lebih panjang dan digunakan untuk menilai kesan kesihatan daripada pendedahan sepanjang hari.

Bacaan PM2.5 sejam pula menunjukkan keadaan zarah halus yang lebih terkini dan boleh berubah dengan lebih cepat mengikut keadaan cuaca, kebakaran dan arah angin.

Justeru, bacaan sejam boleh membantu seseorang membuat keputusan mengenai kegiatan yang akan dilakukan dalam masa terdekat.

Sebagai contoh, jika kepekatan PM2.5 sejam meningkat dengan ketara, orang ramai, khususnya golongan yang mudah terjejas, boleh mengurangkan kegiatan fizikal di luar bagi mengehadkan jumlah zarah yang dihidu.

N95 bantu kurangkan zarah yang dihidu

Sekiranya seseorang perlu berada di luar ketika paras zarah halus tinggi, pelitup N95 boleh membantu mengurangkan pendedahan.

Menurut Profesor Balasubramanian, N95 direka untuk menapis zarah kecil yang jika tidak ditapis boleh memasuki sistem pernafasan.

Di dalam rumah pula, alat pembersih udara boleh digunakan untuk mengurangkan kepekatan zarah, tetapi keberkesanannya bergantung kepada jenis dan keupayaan alat berkenaan.

Pengguna antara lain boleh melihat kadar penghantaran udara bersih atau Clean Air Delivery Rate (CADR), yang menunjukkan keupayaan sesebuah alat pembersih udara menghasilkan udara yang telah ditapis.

Ini penting kerana alat yang sesuai untuk bilik kecil mungkin tidak mempunyai kapasiti mencukupi untuk membersihkan udara dalam ruang yang jauh lebih besar.

Profesor Balasubramanian turut menyarankan penggunaan alat yang mempunyai penapis Udara Zarah Berkecekapan Tinggi atau High-Efficiency Particulate Air (Hepa), yang lebih berkesan menangkap zarah halus.

Alat hawa dingin sahaja mungkin tidak cukup

Orang ramai juga tidak seharusnya menganggap semua alat hawa dingin biasa mampu menapis PM2.5 dengan berkesan.

Menurut Profesor Balasubramanian, keupayaan alat hawa dingin menangkap zarah bergantung kepada jenis penapis yang digunakan.

Penapis juga perlu dibersihkan atau diganti apabila perlu, sementara sistem penyaman udara perlu diselenggara dengan baik, terutama ketika berlaku jerebu.

Beliau turut menjelaskan bahawa zarah daripada asap kebakaran hutan boleh berbeza daripada zarah pencemaran yang dilepaskan secara tempatan, termasuk daripada kenderaan.

Apabila asap bergerak merentasi jarak jauh, zarah di dalamnya berada lebih lama di atmosfera dan boleh mengalami perubahan kimia.

Justeru, zarah yang sudah lama berada di atmosfera boleh mempunyai kandungan kimia berbeza daripada zarah yang baru dilepaskan dan sesetengah bahan yang terkandung di dalamnya boleh memudaratkan kesihatan.

Mengenai keadaan jerebu pada hari-hari mendatang, Profesor Balasubramanian berkata dua faktor penting yang perlu diperhatikan ialah keadaan cuaca di Sumatera dan Kalimantan serta arah tiupan angin.

Cuaca yang kering boleh menyumbang kepada keadaan yang membolehkan kebakaran berterusan, manakala arah angin menentukan sama ada asap dibawa ke Singapura.

Bagi orang ramai, mesej kesihatan yang penting adalah PSI dan bacaan PM2.5 bukan sekadar angka untuk menunjukkan betapa tebalnya jerebu.

Kedua-duanya membantu orang ramai menilai keadaan udara dan membuat keputusan bagi mengurangkan pendedahan kepada pencemaran apabila mutu udara merosot.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti