Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengesanan awal bantu datuk pulih daripada barah perut

Jul 21, 2025 | 5:30 AM
Encik Soh Kah Heng bersama isteri. Beliau berjaya mengesan barah perut pada peringkat awal hasil amalan saringan berkala. Kisah beliau membuktikan bahawa kesedaran dan pemeriksaan secara tekal amat penting dalam mencegah penyakit serius daripada menjadi lebih parah.
Encik Soh Kah Heng bersama isteri. Beliau berjaya mengesan barah perut pada peringkat awal hasil amalan saringan berkala. Kisah beliau membuktikan bahawa kesedaran dan pemeriksaan secara tekal amat penting dalam mencegah penyakit serius daripada menjadi lebih parah. - Foto NUHS

Bagi Encik Soh Kah Heng, 66 tahun, kasih terhadap keluarga bukan sahaja menjadi sumber kekuatan, bahkan juga penyelamat nyawanya.

Setelah lebih 20 tahun menjalani pemeriksaan berkala secara tekal, beliau akhirnya disahkan menghidap barah perut tahap awal.

Ia berita yang mengejutkan namun segera ditangani berkat kesedaran dan pencegahan awal.

“Sejak kakak sulung saya meninggal dunia akibat barah usus besar lebih dua dekad lalu, saya tidak pernah terlepas satu pun janji temu untuk endoskopi (pemeriksaan bahagian dalam organ tubuh yang berongga dengan endoskop).

“Dalam keluarga saya, barah bukan perkara asing, ibu bapa saya, malah beberapa adik-beradik turut menghidap penyakit ini,” kata Encik Soh.

Pesara itu kini menghidap gastritis kronik dan polip perut – dua faktor yang secara ketara meningkatkan risiko barah perut.

Atas dasar itu, beliau memilih pendekatan pencegahan dan pemantauan secara aktif, dengan menjadikan pemeriksaan tahunan di Hospital Universiti Nasional (NUH) sebagai rutin penting dalam hidupnya.

Isterinya, Puan Soh, turut berkongsi kerisauan mereka selama ini.

“Ia seperti bom jangka. Kami tahu barah lambat-laun akan menjelma. Tapi tiada rawatan yang boleh diberi selagi tiada barah dikesan. Satu-satunya cara hanyalah pemeriksaan tahunan,” katanya.

Barah perut atau barah gastrik merupakan sejenis barah yang bermula dari lapisan mukosa perut.

Ia sering tidak menunjukkan gejala jelas pada peringkat awal, menjadikan pengesanan awal satu cabaran utama.

Faktor risiko termasuk jangkitan, Helicobacter pylori, tabiat merokok, pemakanan tinggi garam dan makanan awet, serta sejarah keluarga dan kehadiran polip perut.

Menurut data SingHealth dan Institut Barah Singapura, kanser perut berada dalam kelompok 10 penyebab utama kematian akibat barah di negara ini, dengan lebih 300 kematian dicatat setiap tahun.

Lebih membimbangkan, majoriti kes hanya dikesan pada peringkat lanjut, menjadikan kadar kelangsungan hidup agak rendah.

Pada November 2024, hasil endoskopi dan imbasan tomografi berkomputer (CT scan) mendapati Encik Soh menghidap barah perut tahap awal.

Mujur, barah itu dikesan ketika ia masih terhad pada lapisan permukaan perut dan belum merebak ke tisu lebih dalam.

Beliau kemudian menjalani pembedahan endoskopik pada Januari 2025 yang dilakukan Penolong Profesor Madya Teh Jun Liang, Pakar Runding, Bahagian Pembedahan Am (Pembedahan Gastrousus Atas), NUH.

“Pembedahan ini melibatkan penyingkiran lapisan epitelium sahaja, dan struktur perut Encik Soh berjaya dikekalkan sepenuhnya.

“Disebabkan barah dikesan pada peringkat yang sangat awal, tiada rawatan susulan seperti kemoterapi diperlukan,” jelas Dr Teh.

Encik Soh hanya ditahan di wad selama dua hari dan kembali pada rutin harian dalam tempoh tiga minggu, selepas melalui tempoh kawalan diet yang ringkas.

“Rawatannya sangat berjaya. Kami sangat bersyukur kerana barah dikesan awal dan saya tidak perlu jalani rawatan tambahan. Ini benar-benar satu rahmat dalam musibah,” ujar Encik Soh.

Kepulihan beliau juga memberi kelegaan besar kepada cucunya yang berusia 12 tahun.

“Cucu saya sangat rapat dengan saya. Selepas saya keluar hospital, senyuman dia kembali – itu lebih penting daripada apa pun,” tambah beliau.

Konsortium Barah Gastrik Singapura (SGCC) sedang membangunkan pelbagai pendekatan baru untuk mengesan dan mencegah barah perut sebelum ia berkembang.

Menurut SGCC, mereka sedang meneliti cara mengenal pasti pesakit berisiko tinggi seperti Encik Soh melalui ujian biopenanda inovatif dan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang digunakan dalam prosedur endoskopi.

Ini termasuk ujian darah GASTROClear – satu inovasi yang membolehkan pengesanan awal barah perut dengan lebih mudah dan kurang invasif.

“Visi kami ialah untuk mengenal pasti pesakit sebelum barah berkembang sepenuhnya, dan memberi mereka peluang untuk mencegahnya.

“Kes seperti Encik Soh menunjukkan betapa pentingnya pemantauan berterusan dan pengesanan awal,” kata Ketua Penyelaras Penyelidikan SGCC, Profesor Jimmy So.

SGCC turut menerima geran penyelidikan $25 juta pada 2025 bagi meneruskan usaha dalam bidang pengesanan awal, pencegahan, dan pembangunan rawatan lebih disasarkan untuk barah perut.

Penyelidikan itu dijalankan oleh gabungan ahli sains, pakar bedah, ahli gastroenterologi, dan pakar onkologi dari institusi penyelidikan dan hospital seluruh negara.

“Strategi utama kami ialah memahami peranan mikrobiom usus, mengenal pasti evolusi sel barah, dan membangunkan rawatan imunoterapi yang lebih tepat untuk setiap pesakit,” tambah Profesor So.

Kisah Encik Soh adalah bukti bahawa pengesanan awal benar-benar boleh menyelamatkan nyawa.

Dalam konteks barah perut yang sering lewat dikesan dan sukar dirawat, pendekatan pencegahan melalui pemeriksaan berkala, seperti yang diamalkan beliau, adalah contoh terbaik bagaimana kesedaran kesihatan diri boleh membawa perubahan besar.

“Saya lakukannya demi keluarga saya – isteri, anak-anak, dan terutama cucu-cucu saya. Mereka sumber kekuatan saya untuk terus hidup sihat dan tidak putus asa,” akui Encik Soh.

Dengan kemajuan teknologi perubatan dan penyelidikan yang semakin pesat, harapan untuk mengurangkan kadar kematian akibat barah perut kini lebih cerah – dan kisah seperti Encik Soh memberikan inspirasi bahawa barah bukan lagi hukuman mati, tetapi satu cabaran yang boleh diatasi dengan ilmu, ketekunan dan kasih sayang.

Sejak kakak sulung saya meninggal dunia akibat barah usus besar lebih dua dekad lalu, saya tidak pernah terlepas satu pun janji temu untuk endoskopi (pemeriksaan bahagian dalam organ tubuh yang berongga dengan endoskop). Dalam keluarga saya, barah bukan perkara asing, ibu bapa saya, malah beberapa adik-beradik turut menghidap penyakit ini.
Encik Soh Kah Heng, 66 tahun, berjaya kesan barah perut pada peringkat awal hasil saringan berkala.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg