Penyakit jantung tanpa petanda biasa sakit dada

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penyakit jantung tanpa petanda biasa sakit dada

Gejala penyakit mikrovaskular koronari (CMD) boleh berlaku walau ketika pesakit sedang rehat, lakukan aktiviti ringan; tidak semestinya dicetuskan oleh pergerakan fizikal
Jan 26, 2026 | 5:30 AM

Penyakit jantung tanpa petanda biasa sakit dada

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
kesihatan, Penyakit jantung, sakit dada 
Dr Kua Jieli,  Pakar Kardiologi Intervensi dari Carrington Cardiology, Singapura. - Foto Dr Kua Jieli

Penyakit Mikrovaskular Koronari (CMD) dan Perbezaannya Berbanding Penyakit Arteri Koronari (CAD)

Penyakit mikrovaskular koronari (CMD), juga dikenali sebagai penyakit salur darah kecil, ialah satu keadaan yang menjejaskan arteri kecil di jantung.

Penyakit ini dicirikan oleh kerosakan atau gangguan fungsi pada salur darah tersebut yang menyebabkan aliran darah ke otot jantung menjadi tidak lancar dan tidak mencukupi.

Terdapat dua bentuk utama CMD.

Yang pertama ialah angina mikrovaskular iaitu keadaan apabila dinding arteri kecil menebal sehingga keupayaannya untuk mengembang dan menyalurkan darah berkurangan.

Bentuk kedua ialah angina vasospastik yang berlaku apabila otot pada dinding arteri mengecut secara tiba-tiba, menyebabkan kekejangan pada saluran koronari dan seterusnya menyekat aliran darah ke jantung.

Sebaliknya, penyakit arteri koronari (CAD) merujuk kepada keadaan di mana kolesterol dan bahan lain terkumpul pada dinding arteri koronari yang besar, membentuk plak (aterosklerosis).

Pengumpulan ini menyebabkan arteri menjadi sempit dan menghadkan aliran darah yang kaya dengan oksigen ke otot jantung.

CMD berbeza daripada penyakit arteri koronari (CAD) konvensional kerana ia melibatkan salur darah kecil di jantung, bukannya arteri koronari yang besar, dan lazimnya tidak disebabkan oleh pembentukan plak.

Perbezaan utama antara CMD dan CAD dapat dilihat melalui beberapa aspek berikut:

Salur darah terjejas

CMD menjejaskan salur darah kecil yang bersifat mikroskopik, iaitu salur mikrovaskular yang terlalu halus untuk dikesan melalui angiogram konvensional.

Sebaliknya, CAD terutamanya melibatkan arteri koronari yang besar dan boleh dilihat dengan penyempitan atau sumbatan yang lazimnya dapat dikenal pasti melalui pengimejan seperti angiografi koronari.

Patofisiologi (mekanisme penyakit)

CMD berpunca daripada gangguan fungsi sel endotelium atau sel otot licin pada arteri kecil, menyebabkan salur darah gagal mengembang dengan baik.

Keadaan ini boleh disertai keradangan atau peningkatan rintangan aliran darah, sekali gus mengurangkan bekalan darah ke jantung walaupun tiada sumbatan jelas.

Sebaliknya, CAD berlaku apabila plak terbentuk pada dinding arteri koronari yang besar. Plak ini boleh menyempitkan salur darah, menyekat aliran darah, atau pecah secara tiba-tiba sehingga mencetuskan serangan jantung.

Faktor risiko

Faktor risiko CMD termasuk tekanan darah tinggi, diabetes, kolesterol tinggi, merokok, obesiti dan keadaan keradangan.

Ia lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita, khususnya wanita selepas menopaus.

Bagi CAD, faktor risiko termasuk tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, merokok dan sejarah keluarga penyakit jantung, dan ia menjejas kedua-dua jantina dengan lebih seimbang.

Gejala CMD dan Perbezaannya Berbanding CAD

Gejala paling lazim bagi CMD ialah sakit dada atau angina yang sering digambarkan sebagai rasa tidak selesa atau tekanan berulang di bahagian dada.

Tidak seperti CAD, gejala CMD boleh berlaku walaupun ketika pesakit sedang berehat atau melakukan aktiviti ringan dan tidak semestinya dicetuskan oleh pergerakan fizikal.

Selain sakit dada, pesakit CMD juga boleh mengalami beberapa gejala lain, antaranya:

– Sesak nafas: Boleh berlaku semasa melakukan aktiviti fizikal atau ketika berehat;

– Keletihan melampau: Pesakit sering berasa sangat letih tanpa sebab yang jelas;

– Loya: Sesetengah individu mengalami rasa loya yang berlaku serentak dengan ketidakselesaan di dada;

– Sakit pada rahang, leher, bahu atau lengan: Gejala tidak terhad kepada bahagian dada dan boleh merebak ke bahagian tubuh lain.

Pencetus gejala

Perbezaan gejala antara CMD dan CAD boleh dilihat dari beberapa aspek.

Bagi CMD, gejalanya kurang dapat dijangka dan boleh berlaku ketika berehat, semasa tekanan emosi, atau semasa melakukan aktiviti harian biasa.

Gejala ini tidak semestinya berkait dengan tahap aktiviti fizikal.

Sebaliknya, gejala CAD lazimnya lebih mudah diramal dan sering dicetuskan oleh aktiviti fizikal atau senaman apabila jantung memerlukan lebih banyak oksigen.

Perbezaan jantina

CMD lebih kerap menjejas wanita, khususnya wanita selepas menopaus.

Gejalanya juga sering menyerupai masalah bukan jantung seperti keletihan berpanjangan, sakit di bahagian tubuh selain dada, dan sesak nafas, menyebabkan keadaan ini mudah terlepas pandang.

CAD pula menjejas lelaki dan wanita dengan lebih seimbang, dan sakit dada yang klasik kekal sebagai gejala utama yang paling dikenali.

Perbezaan ini menunjukkan bahawa CMD boleh hadir dengan tanda-tanda yang lebih halus dan tidak tipikal, sekali gus memerlukan tahap kewaspadaan yang lebih tinggi dalam penilaian klinikal, terutamanya dalam kalangan wanita.

Golongan Berisiko Menghidap CMD dan Faktor Penyumbang

CMD lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita khususnya mereka yang berusia dalam lingkungan 50-an, termasuk individu yang kelihatan sihat dan tidak mempunyai faktor risiko tradisional seperti diabetes atau penyakit salur darah yang jelas.

Keadaan ini sering muncul tanpa tanda-tanda awal penyakit jantung yang tipikal, namun boleh membawa kepada pelbagai masalah jantung, termasuk angina mikrovaskular.

Wanita didapati lebih terdedah kepada CMD berikutan gabungan beberapa faktor yang melibatkan perbezaan hormon, anatomi dan pengaruh gaya hidup.

Pengaruh hormon

Hormon oestrogen memainkan peranan perlindungan penting dalam mengekalkan fungsi salur darah.

Sebelum menopaus, oestrogen membantu memastikan keanjalan salur darah dan menggalakkan aliran darah yang sihat.

Namun, selepas menopaus, paras oestrogen menurun, menjadikan sistem vaskular lebih mudah terdedah kepada kerosakan dan meningkatkan risiko CMD.

Saiz salur darah yang lebih kecil

Wanita secara amnya mempunyai arteri koronari yang lebih kecil berbanding lelaki.

Keadaan ini menyebabkan salur darah kecil di jantung lebih mudah mengalami gangguan fungsi.

Perbezaan saiz ini juga menyumbang kepada kesukaran mengesan masalah melalui ujian kardiovaskular standard.

Keradangan dan penyakit autoimun

Wanita lebih cenderung menghidap penyakit autoimun seperti lupus dan artritis reumatoid yang boleh meningkatkan keradangan dalam salur darah.

Keradangan kronik merupakan faktor utama yang menyumbang kepada CMD kerana ia merosakkan dinding salur darah dan menjejas aliran darah.

Tekanan psikososial

Wanita juga lebih berkemungkinan mengalami tekanan psikososial seperti kemurungan, kebimbangan dan tekanan berpanjangan.

Faktor-faktor ini dikaitkan dengan gangguan fungsi vaskular dan peningkatan risiko CMD.

Hormon berkaitan tekanan seperti kortisol boleh memberi kesan negatif terhadap salur darah.

Kurang Diagnosis dan Perbezaan Corak Gejala

CMD sukar dikesan kerana ia menjejas salur darah kecil dan bukan arteri besar yang lazimnya dinilai dalam ujian penyakit jantung konvensional.

Wanita sering menunjukkan gejala yang tidak tipikal seperti keletihan, sesak nafas atau sakit belakang, berbanding sakit dada klasik yang sering dikaitkan dengan penyakit jantung.

Keadaan ini menyebabkan CMD kerap tidak didiagnosis atau hanya dikenal pasti pada peringkat lewat.

CMD dan Perbezaan Mengikut Jantina

CMD sememangnya lebih kerap didiagnosis dalam kalangan wanita berbanding lelaki.

Namun begitu, corak penyakit ini tidak sama bagi setiap individu.

Terdapat juga kes dalam kalangan lelaki yang didiagnosis dengan kekejangan koronari, iaitu satu keadaan yang sebenarnya lebih kerap berlaku dalam kalangan lelaki berbanding wanita.

Walaupun kekejangan koronari kadangkala dikelompokkan di bawah gangguan fungsi mikrovaskular koronari (CMD) kerana ketiadaan sumbatan ketara pada arteri koronari, keadaan ini sebenarnya lebih tepat diklasifikasikan sebagai iskemia dengan arteri koronari tidak tersumbat atau ischemia with non-obstructive coronary arteries (INOCA).

CMD merupakan satu mekanisme khusus dalam spektrum INOCA yang lebih luas.

INOCA merangkumi keseluruhan sindrom penyakit jantung iskemia yang berlaku tanpa sumbatan signifikan pada arteri koronari utama.

Oleh itu, walaupun CMD dan kekejangan koronari berkongsi beberapa ciri, kedua-duanya adalah entiti klinikal yang berbeza.

Risiko Komplikasi Serius Akibat CMD

CMD boleh membawa kepada komplikasi kardiovaskular yang serius, termasuk serangan jantung, kegagalan jantung dan gangguan fungsi jantung lain.

Walaupun CMD terutamanya menjejas arteri koronari kecil, kesannya terhadap bekalan darah ke jantung boleh mencetuskan implikasi serius dalam jangka panjang.

CMD mengehadkan aliran darah ke otot jantung walaupun tanpa sumbatan pada arteri besar. Keadaan ini dikenali sebagai iskemia miokardium yang boleh menyebabkan angina mikrovaskular atau iskemia senyap, iaitu kekurangan bekalan darah ke jantung tanpa gejala yang jelas. Keadaan ini meningkatkan risiko serangan jantung.

CMD juga boleh memburukkan kerosakan pada jantung semasa atau selepas serangan jantung yang berlaku akibat mekanisme lain, termasuk keretakan plak pada arteri koronari yang lebih besar.

Kajian menunjukkan bahawa pesakit CMD cenderung mengalami kesan kardiovaskular jangka panjang yang lebih buruk walaupun mereka tidak mempunyai penyakit arteri koronari yang tersumbat.

Ini termasuk kadar kemasukan ke hospital yang lebih tinggi, sakit dada berulang, serta penurunan kualiti hidup.

CMD juga dikaitkan dengan gangguan fungsi endotelium, iaitu lapisan sel halus yang melapisi bahagian dalam salur darah dan berperanan penting dalam mengawal pengembangan salur darah serta aliran darah yang sihat.

Apabila fungsi endotelium terganggu secara menyeluruh, ia boleh menggalakkan pembentukan aterosklerosis pada arteri yang lebih besar dari semasa ke semasa, sekali gus meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular secara keseluruhan.

Selain itu, gangguan fungsi mikrovaskular boleh menjejas bekalan oksigen ke jantung, termasuk ke sistem pengaliran elektriknya, yang seterusnya boleh menyumbang kepada berlakunya gangguan irama jantung.

Perubahan Gaya Hidup dalam Pengurusan Risiko CMD

Perubahan gaya hidup memainkan peranan penting dalam pengurusan dan pengurangan risiko CMD. Antara langkah utama termasuk:

Aktiviti fizikal secara berkala

Senaman membantu memperbaiki fungsi endotelium, meningkatkan aliran darah dan menyokong kesihatan salur darah kecil.

Pemakanan sihat untuk jantung

Pemakanan yang kaya dengan nutrien membantu meningkatkan kesihatan vaskular secara keseluruhan, mengurangkan keradangan dan menurunkan paras kolesterol.

Diet seperti diet Mediterranean yang menekankan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh, kekacang, biji-bijian, ikan dan lemak sihat seperti minyak zaitun, serta rendah garam, lemak tepu dan gula, dapat membantu mengawal tekanan darah, satu faktor penting dalam CMD.

Pengurusan tekanan

Tekanan kronik boleh memburukkan gangguan fungsi endotelium dan mencetuskan keradangan.

Mengurus tekanan dapat mengurangkan beban terhadap sistem mikrovaskular.

Amalan seperti latihan pernafasan, meditasi dan yoga boleh membantu mengurangkan tekanan.

Pengurusan berat badan

Obesiti merupakan faktor risiko utama CMD kerana ia menyumbang kepada tekanan darah tinggi, diabetes dan keradangan sistemik.

Berhenti merokok

Merokok merosakkan salur darah dan meningkatkan tekanan oksidatif, iaitu keadaan apabila terdapat lebihan bahan berbahaya yang dikenali sebagai radikal bebas dalam tubuh sehingga merosakkan sel dan salur darah.

Keadaan ini boleh memburukkan CMD.

Berhenti merokok membantu pemulihan salur darah dan memperlahankan perkembangan penyakit.

Walaupun perubahan gaya hidup sahaja mungkin tidak mencukupi untuk mencegah atau memulihkan CMD sepenuhnya, langkah-langkah ini boleh memperbaiki fungsi vaskular dengan ketara, mengurangkan gejala dan menurunkan risiko komplikasi kardiovaskular yang berkaitan.

Penulis  Pakar Kardiologi Intervensi dari Carrington Cardiology, Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg