Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perang lawan kegemukan, beban berat tangani stigma

Sep 15, 2025 | 5:30 AM
obesiti, kegemukan, kesihatan
Senaman seperti joging dapat mempercepatkan pembakaran lemak dan menguatkan otot, terutama otot jantung. - Foto hiasan ISTOCKPHOTO

Obesiti atau kegemukan berlebihan kini dianggap salah satu cabaran kesihatan awam paling serius di dunia moden.

Ia bukan sekadar keadaan fizikal, malah diiktiraf sebagai penyakit kronik yang boleh mencetuskan pelbagai kerumitan berbahaya.

Bagi Cik Sarah (bukan nama sebenar), 39 tahun, dan mempunyai anak perempuan berusia dua tahun, obesiti bukan sekadar perangkaan.

Ia adalah kenyataan yang menghantui setiap hari hidupnya.

Stigma disangka malas

Cik Sarah mempunyai Indeks Jisim Tubuh (BMI) melebihi 40, yang bermaksud beliau tergolong dalam kategori ‘obesiti teruk’.

Angka itu menunjukkan seseorang menghadapi risiko tinggi menghidap penyakit kronik yang sebenarnya boleh dicegah.

Berat badannya bukan sahaja membahayakan kesihatan fizikal, bahkan juga sering menjadi bahan stigma.

“Orang fikir saya malas, tak bijak, makan terlalu banyak. Mereka fikir semua ini pilihan saya. Saya ingin menjerit dan katakan semua itu tidak benar,” kata Cik Sarah.

Beliau telah mencuba pelbagai cara untuk menurunkan berat badan, termasuk mengikuti diet ketat hingga bersenam setiap hari, namun berat badannya tetap naik semula.

“Saya fikirkan soal berat badan setiap hari, ia seperti bayangan yang tidak pernah hilang,” tambahnya.

Masalah dari remaja

Cik Sarah yang membesar di Bedok, bersaiz normal sewaktu zaman kanak-kanak.

Namun, menjelang akhir sekolah rendah, perubahan akil baligh menyebabkan tubuhnya kelihatan berbeza daripada rakan sebaya.

Pada usia 16 tahun, beliau mula mencuba diet ekstrem dengan hanya mengambil makanan berasaskan susu sebanyak 800 kalori sehari.

Berat badannya memang turun mendadak, namun tidak lama kemudian naik semula.

Sejak itu, bermulalah episod ‘diet yoyo’ iaitu kitaran berulang turun naik berat badan akibat amalan diet ketat itu sukar dikekalkan, sehingga menghantui dirinya selama bertahun-tahun.

Semasa pengajian di politeknik, gaya hidup sebagai pelajar yang makan pada lewat malam, tidur tidak teratur dek tugasan dan peperiksaan, serta sering bergantung pada makanan segera, menyebabkan berat badannya naik mendadak.

“Dulu diet masih berkesan, tetapi kali ini tidak lagi. Apa pun yang saya cuba, badan saya seperti menolak,” katanya, yang mendirikan rumah tangga pada usia 26 tahun.

Faktor genetik dan biologi

Cik Sarah diberitahu oleh doktornya bahawa beliau mempunyai varian gen FTO, iaitu sejenis gen yang dikaitkan dengan kecenderungan untuk menyimpan lebih banyak lemak dalam badan dan meningkatkan selera makan.

Selain itu, beliau turut didapati mengalami mutasi pada reseptor MC4 (Melanocortin 4 Receptor), iaitu bahagian dalam otak yang mengawal rasa lapar dan kenyang.

Mutasi pada reseptor MC4 itu boleh menyebabkan isyarat untuk mengawal selera makan terganggu, sekali gus menjadikan kenaikan berat badan lebih sukar dikawal.

“Secara saintifik, tubuh saya memang diprogramkan untuk menyimpan lemak. Walaupun saya bersenam secara intensif, badan saya berusaha kembali ke berat asalnya,” jelas Cik Sarah.

Beliau diberitahu oleh pakar bahawa faktor genetik, psikologi dan persekitaran makanan saling mempengaruhi.

Kawasan kejiranannya di Bedok pula dipenuhi pelbagai pilihan makanan, manakala gaya hidup bandar yang sibuk mengurangkan masa untuk memasak makanan sihat.

Cik Sarah pernah bekerja dalam industri farmaseutikal sebagai jurujual ubat kencing manis.

Namun, kata-kata sinis ketuanya masih terngiang-ngiang hingga kini:

“Awak mesti jurujual yang sangat hebat, dengan penampilan macam ini cuba jual ubat diabetes.”

Bagi Sarah, komen itu bukan sahaja menyakitkan hati, malah mencerminkan stigma yang kerap dihadapi oleh individu dengan masalah kegemukan.

Baginya, komen seperti itu tidak sepatutnya berlaku di tempat kerja.

“Menghina seseorang kerana bentuk badan mereka adalah menyalahi undang-undang,” katanya, yang kini bertugas di sebuah syarikat farmasi lain.

Ketika berusia 30 tahun, Cik Sarah terus nekad mengubah hidupnya.

Beliau menyertai program latihan intensif bersama jurulatih peribadi selama setahun, sehingga berjaya menamatkan triatlon – berenang 1.5 kilometer, berbasikal 40 kilometer dan berlari 10 kilometer

Beliau berjaya menurunkan berat badan sebanyak 55 kilogram.

Namun, selepas beberapa tahun, berat badannya naik semula.

“Apa pun yang saya lakukan, tubuh saya tetap kembali ke berat asal. Ia amat mengecewakan,” katanya.

Cik Sarah diberitahu oleh doktor bahawa ramai pesakit obesiti teruk sebenarnya sukar mencapai berat normal melalui diet sahaja.

Badan mereka seolah-olah “mengingati” berat asal dan berusaha kembali kepadanya.

Cik Sarah menyedari, selepas seumur hidup menyalahkan dirinya, obesiti sebenarnya penyakit kompleks yang berpunca daripada gabungan faktor genetik, biologi, psikologi dan persekitaran.

“Saya rasa tubuh saya melawan saya, sesuatu yang berada di luar kawalan saya,” katanya.

Rawatan obesiti biasanya bermula dengan program gaya hidup sihat, diikuti sokongan klinikal termasuk ubat-ubatan, dan akhirnya pembedahan bariatrik bagi kes serius.

Namun, Cik Sarah enggan menjalani pembedahan. “Kalau saya jalani pembedahan dan kemudian berat naik semula, saya tidak akan mampu menanggung tekanan mental itu,” katanya.

Sebaliknya, harapannya kini terletak pada perkembangan ubat baru seperti ‘semaglutide’, yang mampu menurunkan berat sehingga 15 hingga 17 peratus.

“Saya diberitahu oleh doktor bahawa pada masa depan, mungkin akan ada ubat yang boleh menurunkan berat badan setara dengan pembedahan. Itu yang saya nantikan,” jelasnya.

Walaupun berdepan cabaran, Cik Sarah kini lebih memahami bahawa obesiti bukan sekadar soal disiplin diri.

Ia adalah penyakit kronik yang perlu dilihat dengan penuh empati.

Beliau juga bimbang akan masa depan anak perempuannya yang berusia dua tahun.

“Saya mahu dia faham, setiap orang diciptakan berbeza sama ada bentuk badan, warna rambut, tinggi atau rendah. Semua itu tidak penting.

“Yang paling utama, saya hanya mahu dia menerima dan menjadi dirinya sendiri,” katanya dengan penuh harapan.

Cik Sarah kini meneruskan perjuangannya melawan obesiti dengan pelbagai usaha, termasuk berpuasa.

Beliau juga mahu menyokong individu obesiti di Singapura yang sering disalah anggap dan dipinggirkan.

“Saya mungkin tidak pernah kurus. Tetapi saya mahu hidup lebih sihat, bebas daripada stigma, dan memastikan anak saya membesar dengan keyakinan diri,” katanya sambil memberitahu bahawa perang melawan kegemukan masih berterusan.

Laporan berkaitan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg