Topik diikuti
Pergi ke BHkuPeratusan Melayu S’pura capai tahap kegiatan jasmani mencukupi naik 5 tahun berturut
Peratusan Melayu S’pura capai tahap kegiatan jasmani mencukupi naik 5 tahun berturut
Bilangan individu Melayu berusia 18 hingga 74 tahun yang mencapai tahap kegiatan jasmani yang mencukupi demi mengekalkan kesihatan baik telah meningkat saban tahun sepanjang lima tahun kebelakangan ini.
Menurut perangkaan terkini Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional (NPHS) oleh Kementerian Kesihatan (MOH), yang diterbitkan pada 3 Oktober, 86.4 peratus orang Melayu di Singapura mencapai tahap kegiatan jasmani keseluruhan yang mencukupi pada 2025.
Peratusan ini adalah lebih tinggi berbanding 76.2 peratus yang dicatatkan dalam NPHS 2021, dan sejak itu, ia telah mencatatkan peningkatan tahun demi tahun.
Sungguhpun demikian, perangkaan terkini bagi golongan Melayu itu adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan perangkaan di peringkat nasional, dengan kadar penduduk Singapura yang melakukan kegiatan jasmani yang mencukupi adalah 87.3 peratus pada 2025.
Tahap kegiatan jasmani keseluruhan yang mencukupi ini merujuk kepada orang dewasa yang melakukan kegiatan jasmani bersifat intensif antara 75 minit dengan 150 minit setiap minggu.
Dapatan ini diketengahkan Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, sempena acara Minggu Jantung Kebangsaan – Hari Jantung Sedunia di Heartbeat@Bedok pada 3 Oktober.
Encik Ong menyambut baik kecenderungan semakin ramai penduduk Singapura mengamalkan gaya hidup lebih sihat, sambil menyifatkannya sebagai satu perkembangan positif, yang sejajar dengan usaha negara yang semakin menekankan penjagaan kesihatan dan mengurangkan risiko penyakit dari peringkat awal.
Namun, tabiat pemakanan penduduk masih menjadi keprihatinan, memandangkan sebahagian besar penduduk Singapura mengambil sodium pada kadar seganda lebih tinggi berbanding had yang disarankan di peringkat antarabangsa, ujarnya.
Sodium ialah bahan daripada garam, makanan diproses, kicap, atau monosodium glutamat (MSG), yang diperlukan badan tetapi tidak boleh diambil secara berlebihan.
Menukil Tinjauan Pemakanan Kebangsaan (NNS) 2025 oleh Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) yang diterbitkan seiring NPHS pada 3 Oktober, pengambilan sodium harian secara purata dalam kalangan rakyat Singapura telah meningkat daripada 3,480 miligram (mg) pada 2019 kepada 4,000 mg pada 2025.
Ini adalah dua kali lebih tinggi daripada purata pengambilan garam harian yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu di bawah 2,000 mg, atau lebih kurang satu sudu teh.
Selain itu, dapatan NPHS 2025 turut menunjukkan bahawa dalam kalangan warga Singapura berusia 18 hingga 74 tahun, golongan wanita Melayu mempunyai kadar penglibatan yang paling rendah dalam kegiatan menguatkan otot yang mencukupi.
Kegiatan menguatkan otot yang mencukupi merujuk kepada latihan atau aktiviti yang meningkatkan kekuatan, kuasa, daya tahan dan jisim otot seperti latihan angkat besi.
Dapatan menunjukkan 37.6 peratus, atau hampir empat daripada sepuluh warga Singapura, melakukan kegiatan menguatkan otot yang cukup.
Namun, perangkaan ini lebih rendah bagi golongan Melayu – iaitu 33.1 peratus, atau sekitar tiga dalam sepuluh individu Melayu, dengan perangkaan bagi golongan wanita Melayu adalah 26.6 peratus.