Semakin ramai penduduk Singapura mengamalkan gaya hidup lebih sihat, sejajar dengan usaha negara yang semakin menekankan penjagaan kesihatan dan mengurangkan risiko penyakit sejak awal.

Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata seramai 1.5 juta penduduk, atau 61 peratus daripada golongan yang layak, telah menyertai gerakan SG Lebih Sihat sehingga akhir Ogos.

Sebahagian besar daripada jumlah itu telah melengkapkan Pelan Kesihatan dan menjalani semakan susulan.

Perkembangan positif itu, katanya, mencerminkan peralihan Singapura ke arah penjagaan kesihatan yang lebih menekankan pencegahan, sejak SG Lebih Sihat dilancarkan pada 2023.

Beliau berkongsi perkembangan itu ketika berucap pada acara Minggu Jantung Kebangsaan – Hari Jantung Sedunia di Heartbeat@Bedok pada 3 Oktober.

Turut hadir ialah Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Encik Tan Kiat How, yang juga penasihat pertubuhan akar umbi GRC East Coast.

Encik Ong, yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, menambah Tinjauan Kesihatan Penduduk Kebangsaan (NPHS) terkini turut menunjukkan peningkatan dalam tahap kegiatan fizikal penduduk.

“Kadar penduduk yang melakukan kegiatan fizikal yang mencukupi meningkat daripada 78.5 peratus pada 2023 kepada 87.3 peratus pada 2025.

“Tahap kegiatan fizikal merosot dengan ketara semasa pandemik Covid-19, namun berdasarkan dapatan terkini, kadarnya kini telah melepasi paras sebelum pandemik,” katanya.

Bagaimanapun, di sebalik perkembangan positif tersebut, Encik Ong akur tabiat pemakanan penduduk masih menjadi keprihatinan.

Kebanyakan penduduk Singapura mengambil natrium pada kadar dua kali ganda, berbanding had yang disarankan di peringkat antarabangsa.

Natrium ialah bahan daripada garam, makanan diproses, kicap, atau monoso­dium glutamat (MSG), yang diperlukan badan tetapi tidak boleh diambil secara berlebihan.

Lebih separuh penduduk pula mengambil kalori melebihi keperluan harian yang disarankan, ujar Encik Ong.

“Pengambilan natrium secara berlebihan boleh meningkatkan tekanan darah serta risiko penyakit jantung dan angin ahmar.

“Setiap hari, lebih 60 orang di Singapura mengalami serangan jantung dan angin ahmar, manakala satu daripada tiga kematian di negara ini berpunca daripada penyakit jantung,” jelasnya.

Sempena acara itu, Yayasan Jantung Singapura (SHF) turut memperkenalkan rutin tarian baharu, Spring to the Beat!, bagi menggalakkan masyarakat kekal aktif demi kesihatan jantung.

Dibangunkan bersama pensyarah dan pelajar Nitec Lanjutan dalam Pengurusan Sukan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Barat, rutin itu menampilkan gerakan asas yang mudah diikuti dan sesuai dijadikan kegiatan fizikal harian.

Rutin tersebut kini dirintis beberapa sekolah rendah terpilih.

SHF menyasarkan untuk memperluaskannya kepada sekitar 15,000 murid Darjah 1 dan 2 dalam tempoh lima tahun bagi memupuk gaya hidup aktif sejak usia muda.

Sementara itu, Penolong Profesor Muhammad Idu Jion, yang juga pakar kardiologi, berkata kesan penyakit kardiovaskular dapat dilihatnya sendiri setiap hari, dengan penyakit itu menyumbang kira-kira satu pertiga daripada kematian di Singapura.

Namun, katanya, sebahagian besar risiko penyakit tersebut boleh dicegah atau dikurangkan menerusi pilihan yang dibuat dalam kehidupan seharian.

“Penyakit jantung tidak berlaku dalam sekelip mata. Ia berkembang selama bertahun-tahun menerusi pilihan yang kita buat setiap hari.

“Pencegahan juga bermula dengan pilihan kecil, daripada makanan yang kita ambil hingga tabiat yang dibina untuk kekal cergas dan sihat,” katanya, yang juga Anggota Lembaga SHF merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Minggu Jantung Kebangsaan–Hari Jantung Sedunia 2026 itu.

Menurutnya, Spring to the Beat! merupakan sebahagian usaha mempertingkat program SHF di sekolah bagi membantu kanak-kanak membina kemahiran pergerakan asas menerusi gerakan tarian yang menyeronokkan.

“Apabila kanak-kanak membina keyakinan untuk melakukan kegiatan fizikal sejak usia muda, mereka lebih berkemungkinan mengamalkan gaya hidup aktif apabila meningkat dewasa,” katanya.