Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perlukah ‘telan’ suplemen tiap hari?

Oct 27, 2025 | 5:30 AM
Kesihatan, vitamin, diet seimbang
Kajian saintifik menunjukkan suplemen vitamin hanya memberi manfaat kepada kumpulan tertentu, bukan semua orang. Pakar menegaskan suplemen tidak menggantikan diet seimbang dengan makanan segar tetap menjadi sumber utama nutrisi. - Foto ISTOCKPHOTO

NEW YORK: Pasaran suplemen vitamin dan mineral sejagat kini dianggarkan bernilai lebih AS$32.7 bilion ($42.4 bilion) dengan tujuh daripada 10 rakyat Amerika Syarikat dan dua pertiga rakyat Britain mengaku mengambilnya setiap hari demi menjaga kesihatan.

Namun di sebalik populariti itu, timbul persoalan besar: Adakah suplemen benar-benar membantu, atau sekadar ilusi kesihatan moden?

Vitamin dan mineral ialah mikronutrien penting yang tidak dihasilkan oleh tubuh tetapi perlu untuk fungsi fisiologi – vitamin A penting untuk penglihatan; vitamin C bagi sistem imun; dan vitamin K untuk pembekuan darah.

Mineral seperti kalsium, magnesium dan kalium pula memainkan peranan dalam kesihatan tulang dan jantung.

Namun begitu, saintis sepakat bahawa tiada pil yang mampu menggantikan diet seimbang.

Cara terbaik memenuhi keperluan vitamin adalah melalui makanan semula jadi seperti sayur-sayuran hijau, buah-buahan, kekacang, tenusu dan ikan.

Tetapi gaya hidup moden menyebabkan ramai gagal mematuhinya.

“Rata-rata rakyat Amerika hanya mengambil separuh jumlah buah-buahan dan sayur yang disyorkan setiap hari,” kata Pakar Pemakanan dari Universiti Tufts, di Massachusetts, Amerika, Profesor Bess Dawson-Hughes.

“Jika corak pemakanan seperti itu berterusan, mereka pasti kekurangan nutrien penting.”

Apabila vitamin bertukar jadi racun

Kecenderungan mengambil suplemen melonjak sejak 1970-an, selepas pemenang Hadiah Nobel, Encik Linus Pauling, mendakwa dos tinggi vitamin C mampu menghalang selesema, malah mencegah barah.

Namun, dakwaan itu kini dibuktikan tidak benar.

Kajian menunjukkan pengambilan vitamin C melebihi had disyorkan tidak mengurangkan risiko jangkitan.

Lebih membimbangkan, trend mega-dosing iaitu pengambilan vitamin melebihi 500 peratus daripada dos harian semakin meluas dalam kalangan pengguna yang terpengaruh dengan promosi media sosial.

Suplemen jenis itu tidak dikawal rapi, dan ada kes pesakit dimasukkan ke hospital akibat keracunan vitamin D.

Menurut Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH) di Amerika, lebihan vitamin A boleh menyebabkan pening, penglihatan kabur, sakit otot, malah koma dan kematian.

Kajian turut menunjukkan dos berlebihan vitamin E meningkatkan risiko angin ahmar pendarahan kerana vitamin itu mencairkan darah.

“Vitamin E menjadikan darah kurang pekat, jadi jika diambil secara berlebihan, risiko pendarahan otak meningkat,” jelas Profesor JoAnn Manson dari Universiti Harvard.

Walaupun antioksidan seperti beta-karotena dan vitamin E dipercayai melindungi sel daripada kerosakan radikal bebas, kajian terkawal mendapati tiada bukti ia mengurangkan risiko barah atau penyakit jantung.

Malah, beta-karotena dalam dos tinggi meningkatkan risiko barah paru-paru dalam kalangan perokok.

“Antioksidan dalam dos terlalu tinggi boleh bertukar menjadi pro-oksidan bermakna ia sendiri menyebabkan kerosakan sel,” kata Profesor Manson.

Selain itu, pengambilan satu jenis mikronutrien berlebihan boleh mengganggu penyerapan nutrien lain.

Contohnya, beta-karotena berlebihan boleh mengurangkan penyerapan lutein – nutrien penting dalam bayam dan sayur hijau lain.

Vitamin D: Pengecualian yang penting

Daripada semua jenis vitamin, vitamin D merupakan yang paling kerap disarankan untuk diambil sebagai suplemen tambahan.

Ia penting bagi pembentukan tulang dan penyerapan kalsium.

Walaupun tubuh boleh menghasilkan vitamin D melalui cahaya matahari, kekurangan pendedahan menyebabkan ramai mengalami defisit.

Kajian Vital Trial oleh Profesor Manson melibatkan 25,000 peserta dewasa di Amerika mendapati pengambilan vitamin D secara tetap dapat menurunkan kadar kematian akibat barah sebanyak 17 peratus dan mengurangkan risiko penyakit autoimun seperti artritis dan psoriasis.

“Vitamin D mungkin mempengaruhi biologi sel barah supaya tidak mudah merebak,” kata Profesor Manson.

Namun, beliau menegaskan vitamin D tidak menghalang barah daripada berlaku, sebaliknya mungkin mengurangkan kadar kematian selepas diagnosis.

Namun, tidak semua hasil kajian menyokong dapatannya.

Beberapa kajian besar seperti Kajian Penilaian Vitamin D (Vida) dan D-Health memberikan gambaran bercampur tentang keberkesanan suplemen vitamin D terhadap kesihatan tulang.

Kajian Vida yang dijalankan di New Zealand melibatkan lebih 5,000 peserta dewasa untuk menilai sama ada pengambilan dos tinggi vitamin D setiap bulan dapat mengurangkan risiko patah tulang dan jatuh.

Hasilnya menunjukkan tiada perbezaan ketara antara kumpulan yang mengambil vitamin D dengan kumpulan plasebo, sekali gus mencabar tanggapan bahawa vitamin D semata-mata mampu mencegah patah tulang.

Sementara itu, kajian D-Health di Australia melibatkan lebih 20,000 peserta warga emas mendapati keputusan serupa.

Kajian itu menilai kesan pengambilan vitamin D dalam jangka panjang terhadap kadar patah tulang, kematian dan penyakit kronik.

Hasilnya menunjukkan suplemen vitamin D tidak memberi manfaat tambahan kepada individu yang sudah mempunyai tahap vitamin D mencukupi dalam darah.

Dalam menjelaskan keputusan itu, Profesor Dawson-Hughes, seorang pakar endokrinologi dan saintis kanan di Pusat Penyelidikan Pemakanan Manusia Jabatan Pertanian Amerika (Usda) serta Profesor Perubatan di Universiti Tufts, berkata keputusan tidak signifikan itu berpunca daripada keadaan peserta yang sudah berada pada paras optimum sebelum kajian dimulakan.

“Ramai peserta sudah mempunyai paras vitamin D yang baik ketika mereka direkrut ke dalam kajian, jadi kesan tambahan daripada suplemen tidak begitu ketara,” jelas Profesor Dawson-Hughes.

Adakah multivitamin membantu?

Kajian jangka panjang Kajian Kesihatan Doktor II yang diketuai Profesor Manson mendapati individu yang mengambil multivitamin setiap hari selama 11 tahun mempunyai risiko barah 8 peratus lebih rendah, dan bagi mereka berusia lebih 70 tahun, pengurangan mencecah 18 peratus.

“Diet golongan warga emas sering kurang seimbang,” katanya. “Selain itu, penyerapan vitamin dalam badan mereka berkurang. Maka, kumpulan ini mungkin mendapat manfaat lebih besar.”

Kajian terbaru Cosmos 2023 turut menunjukkan pengambilan multivitamin harian mengurangkan kemerosotan kognitif sebanyak 60 peratus dalam tempoh tiga tahun.

Multivitamin turut dikaitkan dengan penurunan risiko katarak dan masalah ingatan.

Namun, bagi kebanyakan orang dewasa sihat, pakar tidak mengesyorkan pengambilan rutin suplemen.

“Lebih baik mendapatkan nutrien daripada makanan sebenar kerana tubuh menyerapnya lebih baik dan mendapat manfaat serat serta fitonutrien,” jelas Profesor Dawson-Hughes.

Walaupun majoriti tidak memerlukan suplemen, ada kumpulan tertentu yang mungkin mendapat manfaat – warga emas, terutama penghuni rumah jagaan, disarankan mengambil gabungan vitamin D dan kalsium bagi mengurangkan risiko kerapuhan tulang atau osteoporosis.

Beberapa kajian antarabangsa memberikan bukti kukuh bahawa pengambilan suplemen tertentu hanya bermanfaat untuk kumpulan tertentu – bukan semua orang.

Sebagai contoh, kajian besar di Perancis mendapati bahawa gabungan suplemen vitamin D dan kalsium mampu mengurangkan risiko patah tulang pinggul sehingga 40 peratus, khususnya dalam kalangan warga emas yang tinggal di rumah penjagaan dan mempunyai kekurangan nutrien tersebut.

Sementara itu, bagi wanita hamil, pengambilan asid folik amat penting kerana ia terbukti secara klinikal mengurangkan risiko kecacatan tiub saraf pada janin.

Bagi golongan vegetarian atau individu yang jarang mengambil ikan, pakar menyarankan suplemen minyak ikan omega-3.

Pesakit dengan masalah usus seperti penyakit Crohn’s atau ulcerative colitis, serta pengguna ubat metformin untuk diabetes juga disaran menilai tahap vitamin mereka.

Walaupun vitamin dan mineral penting untuk kesihatan, pengambilan berlebihan tidak menjadikan kita lebih sihat.

Apa yang penting adalah keseimbangan, bukan jumlah.

“Lebih banyak tidak semestinya lebih baik,” tegas Profesor Manson.

“Tetapi mengambil multivitamin harian boleh dianggap sebagai bentuk insurans kesihatan jika anda bimbang tidak mendapat nutrien yang mencukupi daripada diet.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg