Menunaikan ibadah haji adalah satu perjalanan kerohanian yang penuh makna.
Namun dari sudut kesihatan, ia juga merupakan cabaran fizikal, mental dan logistik yang memerlukan persediaan rapi.
Dengan peranan saya sebagai doktor perubatan yang telah lama membimbing pesakit menghadapi ibadah ini, saya percaya persediaan kesihatan menyeluruh adalah komponen utama.
Ini bagi memastikan jemaah dapat menunaikan ibadah dengan sempurna dan selamat.
Berikut adalah panduan menyeluruh dari sudut perubatan untuk jemaah yang bakal berangkat ke tanah suci.
Pendaftaran haji di Singapura mengambil masa antara lima dengan 10 tahun sebelum giliran tiba.
Namun, sebaik sahaja anda mendaftar, proses persediaan kesihatan seharusnya bermula.
Ini termasuk mendapatkan saringan kesihatan berkala, menguruskan penyakit kronik dan mula membina stamina fizikal.
Ramai yang hanya memberi perhatian kepada aspek ini sebulan sebelum berangkat, sedangkan tubuh memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan perubahan fizikal dan mental.
Haji memerlukan banyak pergerakan. Jemaah dijangka berjalan sejauh tujuh hingga 15 kilometer setiap hari, khususnya semasa di Mina dan ketika melontar jamrah.
Latihan berjalan kaki secara berkala adalah penting.
Kami menyarankan agar bakal jemaah mula berjalan lima hingga tujuh kilometer seminggu, sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum berangkat.
Gunakan kasut bertapak tebal dan bertutup, yang telah dipakai dan tidak menyebabkan kaki melecet. Elakkan kasut baru.
Ingat, masalah kaki adalah antara sebab utama jemaah terpaksa mendapatkan rawatan perubatan di tanah suci.
Khemah jemaah di Mina tidak dilengkapi katil. Jemaah akan duduk dan tidur di atas tilam kecil atau tikar.
Oleh itu, saya menyarankan agar anda mula membiasakan diri tidur di permukaan rata tanpa tilam empuk untuk mengelakkan kekejangan otot atau sakit belakang yang mengejut.
Kemudahan tandas di Mina dan Muzdalifah kebanyakannya adalah jenis cangkung dan digunakan bersama.
Bagi jemaah yang tidak biasa, ini boleh mendatangkan kesukaran, terutama warga emas atau mereka yang mempunyai masalah sendi lutut.
Dalam satu deret 10 tandas, hanya satu mungkin tandas duduk.
Maka, biasakan diri menggunakan jamban cangkung sejak dari rumah. Latihan ini membantu mengurangkan kesulitan dan mengelakkan sembelit atau cedera ringan.
Selain itu, memandangkan bilik air lazimnya digunakan sebagai tempat mandi dan tandas secara serentak, disarankan agar anggota jemaah membawa beg mandi yang mempunyai cangkuk agar peralatan mandi tidak diletakkan di lantai yang basah.
Elakkan menggunakan beg plastik biasa untuk menyimpan barang keperluan kerana ia mudah koyak dan kurang praktikal.
Semasa berihram, penggunaan wangi-wangian adalah dilarang.
Maka, semua produk penjagaan diri seperti sabun, syampu dan losen mesti bebas bau.
Gunakan produk ini lebih awal di rumah bagi memastikan tiada reaksi alahan. Cuba dulu di rumah supaya badan anda serasi.
Lelaki perlu membiasakan diri memakai pakaian ihram tanpa seluar dalam dan mempelajari cara menjaga kebersihan diri tanpa merosakkan pakaian ihram.
Walaupun Covid-19 kini dianggap endemik, risiko penularan penyakit berjangkit seperti selesema, influenza dan radang paru-paru kekal tinggi semasa musim haji.
Jemaah berada dalam persekitaran sesak, tertutup dan padat – faktor yang memudahkan penyebaran virus.
Langkah pencegahan termasuk:
• Dapatkan vaksin Meningococcal ACYW (wajib) dan sah selama lima tahun.
• Vaksin tambahan seperti influenza, pneumokokus dan Boostrix (difteria, pertusis, tetanus) sangat digalakkan.
• Gunakan pelitup muka di tempat sesak.
• Bawa ubat selesema, lozeng tekak dan ubat demam.
• Amalkan etika semasa batuk dan bersin, serta kerap mencuci tangan.
Ramai jemaah mengalami darah tinggi, kencing manis, hiperkolesterolemia atau penyakit jantung.
Semua keadaan ini perlu dikawal dengan baik sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum keberangkatan.
Dapatkan nasihat doktor untuk memastikan:
• Dos ubat sesuai untuk iklim panas.
• Ubat cukup untuk sekurang-kurangnya enam minggu, termasuk lebihan jika berlaku kelewatan ketika pulang. Bawa senarai ubat dan salinan preskripsi.
• Surat pengesahan ubat disediakan untuk dibawa bersama ubat-ubatan ke luar negara.
• Pesakit dialisis pula perlu mendapatkan pengesahan hospital penerima di Makkah dan menjadualkan rawatan sebelum berangkat.
• Untuk jemaah wanita – dapatkan ubat penangguh haid jika perlu, supaya anda boleh menyempurnakan ibadah dengan tenang.
Musim haji biasanya jatuh pada musim panas dengan suhu mencecah 40 hingga 45 darjah Celsius.
Risiko penyahhidratan amat tinggi, lebih-lebih lagi jika berlaku cirit-birit akibat perubahan makanan atau air.
Jemaah perlu:
• Minum sekurang-kurangnya dua hingga tiga liter air sehari.
• Membawa garam penghidratan semula atau Oral Rehydration Salt (ORS) yang boleh dibancuh dalam air.
• Elak makanan berminyak dan terlalu pedas.
• Jika mula rasa pening atau mulut kering, berhenti sebentar dan rehat di tempat teduh.
Semasa sai, lelaki digalakkan berlari-lari anak antara lampu hijau.
Salah satu kes yang sering saya rawat adalah kecederaan akibat terlalu bersemangat ketika berlari-lari anak semasa sai.
Lakukan dengan tenang dan jangan paksa diri.
Bagi lelaki, adalah sunat untuk berlari-lari anak antara dua lampu hijau – tetapi lakukan dengan berhati-hati. Patah tulang atau terseliuh boleh menjejas seluruh ibadah anda.
Jangan tunggu hingga seminggu sebelum berangkat untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.
Sebaiknya, buat janji-temu dengan doktor sekurang-kurangnya empat hingga enam bulan lebih awal. Langkah ini membolehkan:
• Pemeriksaan kesihatan menyeluruh.
• Penilaian kecergasan fizikal.
• Pelan kawalan penyakit kronik.
• Suntikan vaksin.
• Penyediaan ubat tambahan termasuk ubat tahan sakit, penenang ringan dan ubat tidur jika perlu.
Islam tidak membebani seseorang melainkan mengikut kemampuannya.
Ramai jemaah sanggup mengambil risiko demi menyempurnakan ibadah haji.
Namun, perlu diingat menjaga kesihatan juga merupakan satu bentuk ibadah yang dituntut.
Tubuh badan yang dikurniakan kepada kita adalah amanah daripada Allah swt, dan menjaga amanah itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab kita sebagai hamba-Nya.
Maka, peliharalah kesihatan sebaik mungkin agar ibadah dapat dilaksanakan dengan sempurna dan selamat.
Kesedaran terhadap kebersihan, pematuhan jadual ubat, kawalan penyakit dan pemilihan makanan yang sesuai adalah ibadah juga.
Tidak perlu memaksa diri. Rehat jika perlu. Dan yang paling penting, dengar isyarat tubuh.
Sebagai doktor beragama Islam, saya faham keinginan untuk menunaikan haji itu membara dalam hati.
Namun, persediaan fizikal dan mental amat penting agar ibadah kita bukan sahaja sah di sisi syarak, bahkan juga selamat dari sudut kesihatan.
Bersedia dari awal, urus kesihatan dengan bijak dan insya-Allah, ibadah haji anda akan menjadi kenangan terindah yang membawa keberkatan sepanjang hayat.
Semoga anda semua dikurniakan haji mabrur dan kesihatan yang baik sepanjang perjalanan ke tanah suci.
Penulis ialah Pengurus Banyan Clinic@JW.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg