Sekumpulan saintis Singapura telah mencipta satu atlas terperinci mengenai ketumbuhan perut.
Ia merupakan satu pencapaian penting dalam bidang penyelidikan perubatan yang berpotensi mengubah cara barah perut dikesan dan dirawat.
Kajian dalam jurnal, Cancer Discovery, ini diketuai oleh Konsortium Barah Gastrik Singapura (SGCC), melibatkan pakar dari Sekolah Perubatan Duke-Universiti Nasional Singapura (NUS); Institut Barah Universiti Nasional Singapura (NCIS), dan Sekolah Perubatan Yong Loo Lin, NUS.
Kajian itu membabitkan analisis 226 contoh barah perut daripada 121 pesakit dalam tempoh tiga tahun, dari Januari 2022 hingga Disember 2024, menggunakan teknologi geospatial dan genomik canggih.
Pengarang Kanan Kajian yang juga Naib Dekan Kanan Penyelidikan di Duke-NUS, Profesor Patrick Tan, berkata:
“Penggabungan teknologi spatial dan alatan kejuruteraan genetik adalah seperti menaik taraf daripada peta lama kepada GPS (Sistem Penentu Kedudukan Sejagat) berteknologi tinggi.
“Kini kita dapat mengenal pasti dengan tepat di mana sel barah berada dalam tumor, bagaimana ia bertindak, dan apakah yang mendorong penyebarannya.”
Dengan menggunakan teknologi transkriptomik spatial, para penyelidik mengumpul data daripada 2,000 mikroregion dalam contoh ketumbuhan dan menganalisis 150,000 sel individu melalui kaedah penjujukan RNA sel tunggal (single-cell RNA sequencing).
Gabungan pendekatan itu membolehkan penciptaan peta beresolusi tinggi bagi tisu barah perut dan interaksi kompleks antara sel barah dengan sel normal seperti sel imun dan salur darah.
Antara penemuan utama kajian itu ialah kewujudan dua kumpulan kecil sel darah dalam satu ketumbuhan.
Sel di bahagian tengah tumor kekurangan oksigen dan kurang cenderung untuk merebak, manakala sel di bahagian pinggir menunjukkan sifat lebih agresif dan berpotensi tinggi menyerang bahagian lain tubuh.
“Kami dapati sel-sel di pinggir tumor dikelilingi oleh jenis sel bukan barah yang unik, dipengaruhi oleh molekul TGF-Beta (faktor pertumbuhan transformasi-beta),” jelas pasukan penyelidik.
Molekul itu diketahui memainkan peranan dalam pertumbuhan barah dan tindak balas imun tubuh.
Pendekatan rawatan masa depan yang menyasarkan isyarat TGF-Beta mungkin dapat menembusi pertahanan ketumbuhan dan mencegah penyebarannya.
Kajian itu turut mengenal pasti pelbagai laluan perkembangan barah perut yang mempengaruhi tahap kemajuan penyakit dan keberkesanan rawatan.
Penemuan itu membuka jalan ke arah rawatan lebih bersifat peribadi berdasarkan profil genetik unik setiap pesakit.
SGCC kini menguji sasaran terapeutik baru dalam model praklinikal, dengan matlamat menghasilkan rawatan lebih pintar dan berkesan.
Barah perut adalah antara penyebab kematian barah tertinggi di dunia, dengan lebih 770,000 kematian setiap tahun.
Di Singapura sahaja, penyakit itu berada dalam kelompok 10 penyebab kematian akibat barah, meragut kira-kira 300 nyawa setiap tahun.
SGCC merupakan peneraju antarabangsa dalam penyelidikan barah.
Ia menerima geran $25 juta di bawah program Geran Dana Terbuka – Kolaborasi Berskala Besar (OF-LCG) anjuran Majlis Penyelidikan Perubatan Nasional (NMRC), menjadikan SGCC kumpulan penyelidikan pertama di negara ini yang memperoleh empat geran penyelidikan pemerintah secara berturut-turut sejak 2007.
Sebahagian daripada geran itu akan digunakan untuk projek pengesanan awal barah perut yang diterajui oleh Dr Jonathan Lee dan Profesor Yeoh Khay Guan dari Hospital Universiti Nasional (NUH).
“Pengesanan awal kekal sebagai strategi paling berkesan untuk meningkatkan kadar kelangsungan hidup pesakit barah perut,” kata Dr Lee.
“Konsortium kami berhasrat mengubah pendekatan semasa dengan kaedah saringan kurang invasif dan penilaian risiko lebih tepat.”
Salah satu inovasi penting ialah ujian darah baru bernama, GASTROClear, berdasarkan 12 penanda mikroRNA dalam serum.
“GASTROClear mewakili kemajuan besar dalam menjadikan saringan barah perut lebih mudah diakses dan menjimatkan kos,” jelas Ketua Penyelaras Penyelidikan SGCC, Profesor Jimmy So.
Inovasi kedua melibatkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan ketepatan pengesanan awal melalui endoskopi.
Teknologi itu membolehkan pengenalpastian keadaan metaplasia usus (IM), yang merupakan petunjuk awal risiko barah.
“Penggunaan AI akan membantu kami mengenal pasti pesakit berisiko tinggi dengan lebih tepat dan mempertingkat hasil rawatan,” tambah Dr Lee.
SGCC terus membuktikan komitmennya dalam meningkatkan hasil rawatan pesakit melalui penyelidikan yang memberi kesan di peringkat sejagat dan aplikasi klinikal nyata.
Penemuan terkini meletakkan Singapura di barisan hadapan dalam usaha menangani beban kesihatan disebabkan barah perut.
Menurut Profesor So, penyelidikan SGCC dalam lima tahun akan datang bakal memberi tumpuan pada empat bidang utama.
Ia termasuk pemulihan kesihatan perut, peranan mikrobiom usus, rawatan bagi barah perut yang telah merebak ke peritoneum, dan penggunaan teknologi genomik sel tunggal untuk imunoterapi.
“Kami berhasrat menterjemah penemuan saintifik kepada strategi pengesanan awal, campur tangan terapeutik dan penemuan biopenanda baru,” kata Profesor So, yang juga Ketua dan Perunding Kanan di Jabatan Pembedahan Am (Pembedahan Gastrointestinal Atas), NUH, serta Bahagian Onkologi Pembedahan di NCIS.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg