Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Projek Kejiranan Sihat Menua dirintis bagi sokong warga emas

Inisiatif dimula di estet Toa Payoh yang hampir seperempat penduduknya berusia 65 tahun dan ke atas
Aug 17, 2025 | 9:30 PM
Warga emas melibatkan diri dalam kegiatan fizikal di salah satu Pusat Penuaan Aktif (AAC) di Toa Payoh sambil dipantau oleh kakitangan AAC.
Warga emas melibatkan diri dalam kegiatan fizikal di salah satu Pusat Penuaan Aktif (AAC) di Toa Payoh sambil dipantau oleh kakitangan AAC. - Foto MDDI

Pemerintah akan merintiskan satu inisiatif baru iaitu Kejiranan Sihat Menua atau Age Well Neighbourhood, yang menggabungkan skim sokongan sedia ada bagi warga tua dan juga wadah menguji idea baru.

Ini agar warga emas dapat meniti usia senja selancar mungkin dan penuh bermaruah di kejiranan masing-masing.

Semasa menyampaikan ucapan Rapat Hari Kebangsaan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central pada 17 Ogos, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan inisiatif itu akan bermula di estet Toa Payoh – dengan hampir seperempat daripada penduduk di estet ini berusia 65 tahun dan ke atas.

Sekurang-kurangnya satu lagi kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk warga senja yang tinggi akan menjalani projek perintis ini, tambah beliau, tanpa memperincikan kawasan yang telah dikenal pasti itu.

Di bawah inisiatif ini, warga emas boleh menjangkakan, antara lain, khidmat seperti mengemas atau membaiki rumah; lebih banyak kegiatan dan kemudahan seperti pertukangan, dan akses lebih mudah kepada penjagaan kesihatan, tambah beliau.

Ia dilakukan sedang peratusan warga emas di Singapura terus meningkat, dengan seperlima penduduk di sini dijangka mencapai usia 60 tahun dan ke atas pada 2026.

Encik Wong berkata: “Melalui usaha ini, kita akan membina Singapura dengan setiap warga emas – tidak kira di mana mereka tinggal – dapat meniti usia dengan bermaruah, bermatlamat dan rasa girang.

“Ini di samping Singapura yang saling menyokong antara satu sama lain, sama ada sebagai jiran dan sahabat dalam masyarakat.

“Itulah caranya kita akan menua – bukan secara sendiri, tetapi secara bersama sebagai satu keluarga Singapura.”

Beliau berkata lebih ramai warga emas kini menetap di estet perumahan lebih tua, dengan Toa Payoh sebagai salah satu bandar tertua di sini, merupakan estet perumahan terawal yang dibangunkan pada 1960-an.

Sebahagian besar dalam kalangan warga senja menetap dengan penjaga, sama ada anak mereka atau pembantu.

Namun, lebih ramai yang tinggal sendiri, ujarnya.

Ini menunjukkan perubahan demografi, katanya, dengan lebih ramai warga senja memilih untuk tinggal secara bersendirian atau secara bebas kerana tidak ingin membebankan penjaga atau si anak.

Justeru, beliau menggariskan beberapa idea yang boleh dilaksanakan di bawah Kejiranan Sihat Menua, dengan bersandarkan pada beberapa inisiatif sedia ada bagi warga emas, seperti skim Apartmen Penjagaan Masyarakat (CCA).

Kali pertama dilancarkan pada 2021 melalui projek Harmony Village @ Bukit Batok, CCA ini dibangunkan secara bersama oleh Kementerian Pembangunan Negara (MND), Kementerian Kesihatan (MOH) dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Harmony Village @ Bukit Batok merupakan projek pertama di bawah skim Apartmen Penjagaan Masyarakat (CCA) yang dilancarkan pada 2021.
Harmony Village @ Bukit Batok merupakan projek pertama di bawah skim Apartmen Penjagaan Masyarakat (CCA) yang dilancarkan pada 2021. - Foto HDB

Ia bertujuan menyediakan lebih banyak pilihan perumahan untuk warga emas di tengah-tengah penduduk yang semakin menua.

Flat sedemikian dibina dengan ciri dan kelengkapan mesra warga emas, serta mempunyai perkhidmatan penjagaan bersepadu.

Encik Wong berkata beberapa aspek CCA boleh diterapkan dalam sesebuah estet kejiranan secara meluas di bawah Kejiranan Sihat Menua, yang akan berteraskan kepada tiga tonggak utama.

Ia meliputi peningkatan akses kepada kemudahan dan perkhidmatan seperti Pusat Penuaan Aktif (AAC), peluasan bagi khidmat di rumah dan akses lebih dekat terhadap penjagaan kesihatan.

Menyentuh mengenai akses kepada AAC, beliau berkata masih ada ruang bagi meningkatkan jumlah AAC agar ia lebih dekat untuk warga emas.

Beliau memberi contoh estet Toa Payoh yang kini mempunyai 13 AAC, namun masih ada segelintir warga emas yang perlu berjalan sejauh lebih satu kilometer untuk ke AAC terdekat.

Peningkatan bilangan AAC ini juga bermakna lebih banyak kemudahan dan kegiatan dapat dimanfaatkan warga emas bersama penduduk sekitar, katanya.

“Kami ingin pusat sedemikian menjadi lokasi bagi warga emas dapat bertemu secara kerap, kekalkan hubungan dan menjalinkan persahabatan erat,” tambah beliau.

Perkhidmatan di rumah juga akan diperluaskan kepada warga senja di estet di bawah inisiatif ini, kata Encik Wong, dengan penduduk dapat memilih perkhidmatan yang diperlukan seperti pemeriksaan kesihatan asas.

Kakitangan khas akan menyelaras perkhidmatan ini dan akan mengunjungi warga senja sedemikian secara kerap, tambahnya.

Berkenaan akses lebih dekat penjagaan kesihatan bagi warga emas, Encik Wong berkata lebih banyak kemudahan penjagaan akan dibina berdekatan perumahan warga emas yang memerlukan pemulihan dan fisioterapi.

Seorang warga emas mendapatkan pemeriksaan kesihatan di salah satu pos kesihatan di TOUCHpoint@Wellington 513.
Seorang warga emas mendapatkan pemeriksaan kesihatan di salah satu pos kesihatan di TOUCHpoint@Wellington 513. - Foto TOUCH COMMUNITY SERVICES

Ini di samping pos kesihatan yang akan dibangunkan hospital awam dalam masyarakat – pos sedemikian akan dikendali oleh jururawat hospital berkenaan.

Beliau berkata perincian lanjut mengenai inisiatif ini akan dikongsi oleh MND dan MOH kelak.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg