Pemerintah sedang membangunkan rangka kerja Skim Pembangunan Semula Awal Secara Sukarela (Vers) dan pelaksanaannya tidak akan berlaku dalam jangka masa terdekat, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat.
Beliau berkata pada peringkat ini, masih banyak yang perlu dipertimbangkan.
Antaranya termasuk mengenal pasti tapak Vers yang sesuai; nilai saksama bagi penduduk di bawah Vers; kesan sosial dan memastikan jumlah perumahan yang mencukupi bagi menempatkan semula penduduk yang terlibat dalam skim tersebut.
Mengambil kira pertimbangan sedemikian, pelaksanaan Vers akan hanya dapat dilakukan sekitar 2030 atau pada tahun-tahun berikutnya, tambah beliau.
Encik Chee berkata: “Selepas kami (pemerintah) menubuhkan batasan dan rangka kerja Vers, kami kemudian dapat mulakannya dengan beberapa tapak terpilih.
“Ini barangkali akan berlaku pada separuh pertama dekad seterusnya. Kami akan terus menilai proses kami secara berterusan dan mengembangkan Vers secara bertahap menjelang penghujung 2030-an.”
Diumumkan buat kali pertama semasa Rapat Hari Kebangsaan (NDR) 2018 oleh Perdana Menteri pada waktu itu, Encik Lee Hsien Loong, Vers adalah skim sukarela yang bertujuan membolehkan isi rumah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) meraih manfaat apabila flat dan estet HDB mereka dibangun semula sebelum tempoh pajakan 99 tahun luput.
Ia berhubung perbincangan berterusan mengenai tarikh luput flat HDB yang lebih berusia yang bersangkut paut dengan nilai flat tersebut.
Sebagaimana yang diumumkan pada 2018, pemilik rumah dijangka dibolehkan memilih sama ada untuk menjual flat HDB kepada pemerintah sebaik sahaja tempoh pajakan flat mencecah sekitar 70 tahun.
Encik Lee berkata pada ketika itu, skim tersebut hanya akan dilaksana dalam tempoh 20 tahun, namun, perancangan untuk melaksanakan skim tersebut akan dimulakan.
Ini sedang peratusan flat HDB yang semakin menua dijangka meningkat saban tahun – flat HDB terawal yang dibina sekitar 1960-an, 1970-an dan 1980-an kini sudah menjangkau lebih 40 tahun.
Menjawab soalan susulan berkenaan pelaksanaan Vers, Encik Chee berkata dasar itu bukan sahaja perlu saksama bagi pemilik flat generasi semasa, ia juga harus bersifat “mapan secara kewangan bagi generasi masa hadapan”.
“Kami tidak perlu memperluaskan Vers sehingga penghujung 2030-an, apabila flat lebih lama mencapai usia 70 tahun.
“Itu adalah tempoh lebih sedekad, tetapi agensi kami telah memulakan usaha terhadap Vers kerana kami tahu ini adalah dasar yang rumit dan bersifat jangka panjang,” katanya.
Encik Chee berkongsi demikian dalam sidang media pertamanya selaku Menteri Pembangunan Negara di bangunan Kementerian Pembangunan Negara (MND) pada 5 Ogos.
Sehingga Pilihan Raya Umum 2025 diadakan pada Mei, beliau menerajui Kementerian Pengangkutan (MOT) sebelum diumumkan sebagai Menteri Pembangunan Negara dalam Kabinet Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 21 Mei.
Beliau mengambil alih jawatan Encik Desmond Lee, yang kini Menteri Pendidikan (MOE).
Menurut Encik Chee, terdapat persamaan dari segi pekerjaan antara MOT dengan MND, iaitu keupayaan merancang bagi masa hadapan.
Kededua kementerian tersebut memerlukannya untuk berfikiran jauh dan menjangkakan keperluan masa hadapan agar persiapan dapat dibuat pada masa ini, ujarnya.
Beliau menjelaskan: “Pelbagai daya usaha di bawah MND, seperti MOT, akan mengambil masa yang lama untuk diselesaikan.
“Dari detik permulaan hinggalah penghabisan, kadangkala ada daripada projek sedemikian yang boleh mengambil berdekad lamanya dan menjangkau berbilang penggal pemerintah.
“Oleh itu, penting untuk kami rancang bagi jangka panjang, dan rancang bukan sekadar untuk generasi semasa warga Singapura, malah generasi masa hadapan.”
Beliau menyentuh tiga keutamaan kementeriannya – memastikan perumahan awam kekal mampu milik dan terjangkau; memastikan estet terus sesuai dihuni oleh segenap lapisan penduduk; dan meningkatkan persekitaran perniagaan yang pro-perusahaan.
Encik Chee berkata pemerintah akan terus memberi sokongan bagi memastikan persekitaran estet dan keadaan flat kekal selamat didiami.
Ini termasuk penduduk yang secara bersama menolak tawaran Vers apabila ia ditawarkan – mereka masih boleh menetap di flat masing-masing sehingga tempoh pajakan luput.
“Pemerintah akan menyokong penduduk melalui kaedah lain bagi memastikan flat dan estet mereka terus mekar dan dapat didiami menerusi program penambahbaikan seperti Program Peningkatan Rumah II (HIP II), Program Peningkatan Warga Emas (SUP) dan Program Pembaharuan Kejiranan (NRP),” katanya.
Berkenaan HIP II, Encik Chee berkata kerja peningkatan di bawah program itu “lebih meluas daripada HIP semasa” kerana flat yang melalui HIP II adalah lebih tua daripada HIP.
Secara umum, HIP dilakukan apabila flat HDB mencecah 30 hingga 40 tahun bagi membantu penduduk menangani isu penyelenggaraan biasa.
HIP II, kata beliau, adalah peningkatan peringkat kedua apabila flat HDB tersebut telah mencecah 60 hingga 70 tahun.
“Sebagai contoh, HIP II akan mengguna pakai penyelesaian yang dipertingkat untuk pengelupasan konkrit.
“Kami sedia maklum ini adalah suatu kebimbangan bagi sebahagian penduduk yang menetap di flat lebih lama,” ujarnya.
Menurutnya, butiran lanjut berkenaan HIP II akan diumumkan dalam Jawatankuasa Perbekalan (COS) pada 2026.
Sementara itu, Encik Chee turut menyentuh berkenaan Skim Pembangunan Semula Yang Terpilih Secara Berkelompok (Sers), yang katanya tidak akan diperluas ke mana-mana kejiranan buat masa ini.
Berdasarkan laman web rasmi HDB, Blok 562 hingga 565 di Ang Mo Kio Avenue 3, merupakan kelompok terakhir yang melalui Sers selepas pelaksanaannya diumumkan kepada penduduk pada April 2022.
Penduduk terlibat dijangka menerima kunci rumah baru pada suku keempat 2027 atau suku pertama 2028.
Dilancarkan pada Ogos 1995, penyertaan penduduk flat HDB yang dikenal pasti untuk Sers adalah mandatori – penduduk harus menjual flat kepada pemerintah.
Sejak pelancaran Sers, 80 projek Sers telah diselesaikan, manakala dua tapak masih sedang dibangunkan semula, berdasarkan laman web rasmi HDB.
Penduduk yang terlibat menerima pampasan berdasarkan nilai pasaran semasa flat, serta geran lain dan berpindah ke flat baru dari blok terjejas.
Menurut HDB, ia memberi ruang kepada kerja pembangunan semula flat dan kejiranan HDB terbabit.
Sebanyak 12 daerah kejiranan di Ang Mo Kio, Bukit Merah dan Toa Payoh akan menjalani SUP pada 2025, yang dijangka memanfaatkan sekitar 11,000 isi rumah, kata Encik Chee.
Di samping itu ujar beliau, MND akan memulakan Program Peningkatan Estet (EUP) (Estet Warga Emas) bagi estet kumpulan pertama di kawasan perumahan swasta.
Program sedemikian, katanya, bertujuan membantu warga senja meniti usia secara sihat dan selamat, sedang masyarakat Singapura kian menua, dengan seperlima penduduk di sini dijangka mencapai usia 60 tahun dan ke atas pada 2026.
Menyifatkan masyarakat menua sebagai salah satu daripada tiga perubahan ketara yang perlu diberi perhatian – selain estet semakin berusia dan tempoh pajakan hampir luput – Encik Chee berkata:
“EUP akan meningkatan persekitaran kehidupan di estet swasta melalui peningkatan prasarana dan kemudahan riadah.
“Dengan kemudahan yang dipertingkat seperti taman dan taman permainan, penduduk mempunyai persekitaran lebih kondusif bagi kegiatan berteraskan kemasyarakatan dalam estet… yang akan menggalakkan masyarakat dan penduduk untuk terlibat dalam lebih banyak kegiatan, kekal aktif dan sihat.”
Berdasarkan kenyataan MND pada Februari, estet di Hillview, Hong Leong Gardens dan Pasir Panjang, MacPherson Gardens, Mayfair Park, Teachers’ Housing serta Thomson dan Yew Lian Park dikenal pasti sebagai kumpulan pertama EUP (Estet Warga Emas).
Skim Penambahbaikan Kediaman bagi Warga Emas Aktif (Ease) juga akan diperluas ke estet privet bermula April 2026.
Sejauh ini, program Ease hanya tertumpu pada isi rumah HDB sahaja.
Digelar Ease (Private), skim itu tersedia bagi isi rumah privet yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang warga emas berusia 65 tahun ke atas bagi membantu isi rumah memasang kelengkapan asas mesra warga emas.
Ia pertama kali diumumkan Encik Lee, yang ketika itu Menteri Pembangunan Negara, di Parlimen semasa perbahasan COS MND pada Mac.
Semasa perbahasan itu, beliau berkata pemerintah akan menanggung 75 peratus daripada kos pemasangan kelengkapan, dengan subsidi dihadkan pada $1,200.
Ia dijangka memanfaatkan lebih 70,000 isi rumah menerusi subsidi tersebut, yang dapat membantu dalam pemerolehan khidmat kontraktor bagi memasang kelengkapan asas mesra warga emas, seperti palang sokongan.
Encik Chee berkata: “Dengan usia penduduk yang kian menua, kami perlu menggiatkan lagi usaha untuk membantu warga emas menua dengan baik dan selamat dalam masyarakat kita.”
“
Selepas kami (pemerintah) menubuhkan batasan dan rangka kerja Skim Pembangunan Semula Awal Secara Sukarela (Vers), kami kemudian dapat mulakannya dengan beberapa tapak terpilih. Ini barangkali akan berlaku pada separuh pertama dekad seterusnya. Kami akan terus menilai proses kami secara berterusan dan mengembangkan Vers secara progresif menjelang penghujung 2030-an.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg