Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Punca dan pencetus serangan batuk lelah

Pesakit alami batuk berpanjangan tanpa gejala semput biasa seperti sesak nafas, dada rasa ketat dan berdehit
May 5, 2025 | 5:30 AM
Dr Akash Verma, mount elizabeth
Dr Akash Verma, Pakar Perubatan Pernafasan dan Penjagaan Kritikal, Klinik Campur Tangan Pulmonologi dan Paru-paru, Pusat Perubatan Mount Elizabeth. - Foto ihsan DR AKASH VERMA

Sesetengah pesakit mungkin mengalami gejala utama seperti batuk berpanjangan.

Namun dalam masa yang sama, mereka tidak mengalami gejala biasa seperti sesak nafas.

Keadaan itu disebut sebagai, cough variant asthma, iaitu sejenis semput yang kadangkala dikenali sebagai batuk lelah atau batuk asma.

Pemeriksaan dan penilaian lanjut biasanya membawa kepada diagnosis asma sebagai punca utama batuk tersebut.

Biasanya, batuk menjadi lebih ketara pada waktu malam, dan boleh mengganggu tidur serta mutu hidup pesakit.

 Beza Semput Biasa dan Batuk Lelah

Pesakit semput lazimnya mengalami lima gejala utama – batuk berpanjangan, penghasilan kahak secara berterusan, sesak nafas, dada terasa ketat, dan nafas berdehit.

Namun, bagi penghidap batuk lelah, pesakit mengalami batuk kering berpanjangan dan ia merupakan satu-satunya gejala ketara, tanpa kehadiran simptom klasik lain.

Ujian biasa untuk mengesan semput, iaitu ujian pra dan pasca spirometri – yang menilai perubahan jumlah udara keluar masuk paru-paru selepas penggunaan alat sedutan (bronchodilator) – biasanya menunjukkan keputusan negatif dalam kes pesakit batuk lelah.

Sebaliknya, diagnosis batuk lelah dapat dikesan melalui ujian, cabaran methacholine.

Dalam ujian itu, pesakit menyedut bahan kimia, methacholine, yang merangsang saluran pernafasan.

Bagi pesakit batuk lelah, penyedutan, methacholine, akan menyebabkan penurunan ketara dalam jumlah udara yang dihembus keluar dari paru-paru, sekali gus memberikan keputusan positif dalam ujian ini.

Tahap Serius Batuk Lelah

Batuk lelah secara umum tidak dianggap penyakit serius atau mengancam nyawa.

Namun begitu, batuk berpanjangan yang dialami boleh membawa kepada komplikasi lain.

Ia termasuk seperti patah tulang rusuk akibat tekanan berterusan semasa batuk, atau ketakupayaan mengawal pembuangan air kencing ketika batuk.

Dalam sesetengah kes, pesakit yang pada mulanya hanya mengalami batuk lelah, mungkin akhirnya mengalami semput klasik dengan kelima-lima gejala utama yang mula muncul.

Masa Sesuai Temui Doktor

Pesakit hendaklah berjumpa doktor jika mengalami batuk melebihi tiga minggu, terutama jika batuk itu berlarutan lebih dari lapan minggu.

Rawatan dan Tempoh Pemulihan

Batuk lelah biasanya dirawat menggunakan ubat sedut yang mengandungi steroid.

Kebanyakan pesakit akan mula rasakan kelegaan dalam tempoh sekitar seminggu selepas memulakan rawatan.

Golongan Berisiko

Mereka yang mempunyai sejarah rinitis alahan (alahan hidung), semput atau ekzema dalam keluarga – terutama jika ibu mereka pernah mengalami keadaan tersebut mempunyai risiko lebih tinggi mendapat batuk lelah.

Selain itu, individu yang sudah menghidap rinitis alahan atau ekzema turut berisiko mengalami penyakit itu.

Punca dan Pencetus

Selesema yang baru dialami, pendedahan kepada haiwan berbulu, hama habuk, kulapuk, bau yang kuat, cuaca hujan, serta udara dingin boleh menjadi pencetus serangan batuk lelah.

Pencegahan

Mengelakkan diri daripada pencetus yang disebutkan di atas mungkin dapat membantu mengurangkan risiko serangan.

Namun, jangkitan selesema selalunya berlaku di luar kawalan.

Kes Pesakit dan Panduan

Seorang lelaki Melayu berusia 35 tahun telah berjumpa saya dua tahun lalu kerana mengalami batuk berpanjangan selama dua bulan.

Doktor beliau memberikannya tiga kitaran antibiotik, namun rawatan tersebut tidak mendatangkan apa-apa manfaat.

Pesakit itu juga telah menjalani ujian x-ray dada, namun keputusannya normal.

Batuknya semakin kuat pada waktu malam.

Beliau juga mempunyai sejarah batuk berpanjangan pada masa lalu, terutama selepas sembuh daripada selesema.

Tiada sejarah kahak, sesak nafas, dada terasa ketat, atau nafas berdehit.

Oleh sebab itu, saya mengesyaki asma dan telah meminta beliau menjalani ujian spirometri.

Keputusannya didapati normal. Saya kemudian menjalankan ujian cabaran, methacholine, dan ujian tersebut menunjukkan keputusan positif.

Oleh itu, saya telah mendiagnosis beliau dengan batuk lelah.

Batuknya hilang selepas dua minggu beliau memulakan rawatan menggunakan ubat sedut, budesonide/formoterol.

Penulis ialah Pakar Perubatan Pernafasan dan Penjagaan Kritikal, Klinik Campur Tangan Pulmonologi dan Paru-paru, Pusat Perubatan Mount Elizabeth.

Laporan berkaitan
Buang tabiat merokokJul 26, 2024 | 11:07 AM
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg