Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pusat Muhammadiyah kumpul dana sambil galak penuaan sihat

Oct 6, 2025 | 1:13 AM
Ong Ye Kung, Muhammadiyah, penuaan
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, (barisan depan, kiri) dan Presiden Persatuan Muhammadiyah, Ustaz Muhammad Azri Azman (dua dari kiri), ikut serta senaman beramai-ramai bersama peserta pada pagi 4 Oktober. - Foto BH oleh DESMOND WEE

Dengan semangat yang tidak mengenal erti penat, Cik Rokiah Saini, 72 tahun, menolak tongkat berodanya secara perlahan-lahan, walaupun kakinya lemah untuk menyertai orang ramai yang berhimpun bagi acara Walk and Wheelathon 2025’yang diadakan di The Promenade, Hab Sukan Singapura, pada 4 Oktober.

Lebih 700 orang menyertai acara anjuran Pusat Kesihatan dan Jagaan Siang Muhammadiyah (MHCC).

“Saya datang untuk bersenam bersama rakan-rakan, tetapi tak dapat berjalan jauh kerana kaki saya sakit,” kata Cik Rokiah, warga emas dari Pusat MHCC di Eunos.

Acara yang diadakan sebagai sebahagian usaha mengumpul dana meneruskan tema 2024, iaitu Everyone’s Got a Roll in Active Ageing (Setiap Orang Terus Meraih Jaya dalam Penuaan Sihat), dan menegaskan komitmen MHCC dalam memperkasa warga emas agar kekal aktif, sambil mengajak seluruh masyarakat berganding bahu dalam menjayakan usaha ini.

Tahun ini (2025), MHCC menyasarkan untuk mengumpul $430,000 bagi menyokong kelangsungan perkhidmatan penjagaan warga emas.

Dana yang dikumpulkan akan membantu menampung kos operasi serta memastikan warga emas terus mendapat penjagaan bermutu dan penuh belas ihsan.

Acara di Hab Sukan Singapura itu dihadiri tetamu terhormat, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial.

Beliau dan Presiden Persatuan Muhammadiyah, Ustaz Muhammad Azri Azman, juga mengikuti hadirin dalam senaman beramai-ramai sebelum memulakan perjalanan mengelilingi kawasan Promenade.

Ketika ditemui Berita Harian (BH), Encik Ong menekankan kepentingan warga emas meneruskan kegiatan dan gaya hidup sihat untuk bertahan lama.

“Kita tak boleh kata, umur itu hanyalah angka. Semakin umur kita meningkat, kegiatan kita berubah, tetapi itu tidak bermakna kita tidak boleh kekal hidup sihat.

“Perubahan minda dan gaya hidup akan membawa perbezaan yang besar. Kesihatan bergantung kepada perkara yang kita lakukan setiap hari. Jika tabiat harian baik, pergerakan, tidur yang cukup, pemakanan yang baik, seseorang boleh kekal sihat, tidak kira umurnya,” jelas Encik Ong.

Sementara itu, satu usaha mengumpul dana bagi MHCC digerakkan menerusi buku masak dengan resipi mesra warga emas, 60 Plates, 1 Purpose, yang dihasilkan sempena ulang tahun kemerdekaan Singapura yang ke-60 (SG60).

Buku ini menghimpunkan 60 resipi yang mudah disediakan untuk warga emas, menggunakan bahan dengan harga bajet dan menitikberatkan keperluan pemakanan golongan berusia di samping mencerminkan kepelbagaian budaya kulinari Singapura.

Ia adalah kerjasama antara MHCC dan beberapa cef Singapura atau yang memiliki kelulusan kulinari, seperti personaliti televisyen dan usahawan, Huda Ali dan cef selebriti, Cef Mel Dean serta pempengaruh, pegawai kanan MHCC dan ahli terapi.

Hasil jualan buku tersebut akan disalurkan kepada Dana MHCC.

Ustaz Muhammad Azri menekankan kepentingan pemakanan untuk kehidupan yang seimbang.

“Perkara pertama yang kita harus pertimbangkan ialah pemakanan dan khasiat. Kita adalah apa yang kita makan. Konsep buku ini adalah untuk menggalak amalan makanan sihat dan resipi berkhasiat, tetapi tetap sedap dan tidak terlalu asing bagi selera kita,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg