Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rahayu: Skim label gred khasiat ‘Nutri-Grade’ jaya kurangi pengambilan gula

Nov 6, 2025 | 7:47 PM
Nutri Grade, gula, pengambilan
Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam. - Foto MDDI

Kementerian Kesihatan (MOH) mendapati hasil yang amat menggalakkan selepas memperkenalkan skim label gred khasiat atau ‘Nutri-Grade’, dengan kadar pengambilan gula setiap hari oleh penduduk Singapura mencatatkan penurunan.

Demikian kata Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam, sebagai menjawab pertanyaan Encik Ang Wei Neng (GRC West Coast-Jurong West) di Parlimen pada 6 November.

Encik Ang bertanya sama ada skim label gred khasiat tersebut telah memberi kesan terhadap tahap pemakanan bagi makanan sudah siap yang tinggi dengan kadar gula dan lemak tepu.

Cik Rahayu berkata: “Tahap gula median bagi minuman (dalam bungkusan, botol atau kotak) telah mencatatkan penurunan daripada 7.1 peratus pada 2017 kepada 4.6 peratus pada 2023.

“Purata pengambilan gula harian oleh penduduk di sini juga telah mencatat penurunan daripada 60 gram pada 2018 kepada 56 gram pada 2022.”

Skim label ‘Nutri-Grade’ merupakan antara langkah yang diperkenal MOH dan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) demi mengurangkan pengambilan gula daripada minuman.

Ia berkuatkuasa pada 2020, bermula dengan minuman ringan menerusi empat gred iaitu A, B, C dan D – D gred terendah, iaitu paling kurang sihat, memandangkan produk itu mempunyai kadar gula dan lemak tepu tinggi.

Skim itu kemudian diperluaskan kepada kedai makanan dan minuman (F&B) yang perlu meletakkan label pemakanan pada menu bagi minuman yang baru disediakan, seperti minuman teh buih atau ‘bubble-tea’.

Cik Rahayu berkata skim ini akan dilanjutkan kepada produk barangan runcit yang mengandungi kadar sodium yang tinggi – seperti garam, perasa dan mi segera – menjelang pertengahan 2027.

Ini di samping produk yang mengandungi lemak tepu tinggi.

Beliau berkata ia adalah sebahagian usaha pemerintah bagi menggalakkan orang ramai membuat pilihan lebih sihat.

Produk yang mempunyai gred D tidak akan dibenarkan untuk dijual, tambahnya.

“Kami akan terus memantau keberkesanan langkah Nutri-Grade terhadap tabiat pemakanan penduduk Singapura, serta perkembangan di sekitar rantau ini dan di peringkat antarabangsa, sebelum mempertimbangkan sebarang langkah selanjutnya,” ujarnya.

Pada akhir 2021, semua minuman ringan berpaket yang mengandungi kadar gula atau lemak tepu yang tinggi mempunyai label khasiat gred A hingga D, dengan D menandakan minuman paling kurang sihat.

Penjual juga dilarang mengiklankan minuman gred D di semua wadah media.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg