Topik diikuti
Pergi ke BHkuRamai wanita lewat dapatkan pemeriksaan sakit puan
Usia 13 hingga 15 tahun sesuai mula jumpa pakar sakit puan
Dalam masyarakat Asia yang konservatif, keputusan wanita muda untuk mendapatkan rawatan daripada pakar sakit puan sering dibelenggu mitos dan stigma.
Kepercayaan salah itu kebanyakannya diwarisi secara turun-temurun daripada sikap serta pandangan ibu mereka sendiri.
Kajian mendapati terdapat kepercayaan lazim bahawa seseorang perempuan hanya menemui pakar sakit puan selepas berkahwin atau mula aktif secara seksual.
Ia bukan sebagai sebahagian daripada penjagaan kesihatan secara rutin dan pencegahan.
Tanggapan itu sering diperkukuh dalam keluarga apabila ibu yang dibesarkan dengan norma sedemikian lalu berkongsi kepercayaan tersebut kepada anak perempuan mereka.
TANGGAPAN SALAH YANG MELUAS
Satu lagi tanggapan salah yang meluas ialah kebimbangan bahawa kunjungan ke pakar sakit puan akan melibatkan prosedur dalaman, seperti pemeriksaan pelvis, yang mungkin dianggap menyakitkan, memalukan atau tidak sesuai bagi wanita yang belum berkahwin.
Kajian menunjukkan kebimbangan seperti itu sering disampaikan daripada satu generasi kepada generasi seterusnya, sekali gus menyebabkan rasa takut dan kecenderungan untuk mengelakkan pemeriksaan.
Nilai budaya berkaitan kesopanan dan seksualiti turut memainkan peranan penting.
Dalam banyak masyarakat, kesihatan reproduktif masih dianggap sebagai topik sensitif atau tabu, menyebabkan perbincangan secara terbuka antara ibu dengan anak perempuan mengenai perkara itu agak terbatas.
Akibatnya, anak perempuan mungkin membesar dengan tanggapan bahawa mendapatkan pemeriksaan sakit puan lebih awal adalah tidak perlu atau tidak sesuai selagi mereka tidak mengalami sebarang masalah.
Keadaan itu menyebabkan mereka mengambil pendekatan lebih bersifat reaktif terhadap penjagaan kesihatan, iaitu menangguhkan kunjungan sehingga gejala menjadi serius.
Sesetengah ibu juga mungkin mempunyai akses yang terhad kepada pendidikan atau perkhidmatan kesihatan reproduktif ketika mereka masih muda, dan pengalaman itu mempengaruhi pandangan mereka terhadap penjagaan kesihatan.
Tanpa pendedahan kepada pendekatan penjagaan kesihatan yang memberi tumpuan kepada pencegahan, mereka mungkin memberitahu anak bahawa rawatan sakit puan hanya diperlukan bagi perkara berkaitan kehamilan atau apabila mengalami penyakit serius.
Masalah Haid dan Hormon Sering Tidak Disedari
Beberapa masalah haid, reproduktif dan hormon yang biasa dialami dalam kalangan wanita muda sering tidak dikesan atau dirawat apabila mereka tidak berjumpa pakar sakit puan lebih awal.
Gejala yang dialami dianggap sebagai perkara biasa atau disalahertikan.
Sebagai contoh, endometriosis, iaitu keadaan apabila tisu yang menyerupai lapisan dalam rahim tumbuh di luar rahim. Ia menjejas kira-kira 10 peratus wanita di seluruh dunia.
Keadaan itu kerap bermula ketika usia remaja tetapi boleh mengambil masa bertahun-tahun untuk dikenal pasti kerana sakit haid yang teruk sering dianggap sebagai sesuatu yang biasa atau ‘normal’.
Begitu juga dengan sindrom ovari polisistik (PCOS), iaitu gangguan hormon yang boleh menyebabkan haid tidak teratur, pertumbuhan bulu berlebihan, jerawat serta masalah kesuburan, yang dianggar menjejas sekitar 10 hingga 13 peratus wanita di seluruh dunia.
Namun, sehingga 70 peratus kes masih tidak dikenal pasti, kerana gejala awal seperti haid tidak teratur atau masalah jerawat sering tidak diberi perhatian.
Masalah lain termasuk pendarahan haid yang banyak, yang menjejas sehingga seorang daripada tiga wanita.
Namun, keadaan itu kerap tidak dilaporkan atau dirawat kerana ramai wanita muda menganggap gejala tersebut sebagai perkara biasa ketika haid.
Selain itu, masalah seperti fibroid rahim, ketidakseimbangan hormon dan kitaran haid tidak teratur mungkin tidak dapat dikesan tanpa pemeriksaan perubatan lebih awal.
Secara keseluruhan, kelewatan mendapatkan rawatan sakit puan boleh menyebabkan diagnosis dibuat lewat.
Ia sekali gus membolehkan masalah yang sebenarnya boleh dirawat menjadi lebih serius, termasuk sakit berpanjangan, masalah kesuburan dan komplikasi hormon dalam jangka panjang.
Ruang Selamat Bincang Kesihatan Reproduktif
Ibu bapa dan pakar kesihatan boleh menggalakkan penjagaan kesihatan reproduktif lebih awal dengan mewujudkan suasana yang selamat, terbuka dan tidak bersifat menghakimi.
Ibu bapa harus memulakan perbincangan yang sesuai dengan usia anak sejak awal dan menjadikan topik seperti haid sebagai perkara biasa untuk dibincangkan.
Pendekatan itu dapat mengurangkan stigma dan terbukti membantu meningkatkan kesediaan remaja untuk mendapatkan nasihat serta rawatan.
Penyedia khidmat kesihatan pula boleh membantu dengan menggunakan cara komunikasi yang mesra golongan muda serta menyediakan masa untuk remaja berbincang secara peribadi dengan doktor.
Ini dapat membina kepercayaan dan menggalakkan mereka bercakap secara terbuka dan jujur.
Tanggapan salah, seperti kebimbangan bahawa kunjungan ke pakar sakit puan akan melibatkan pemeriksaan dalaman, juga perlu diperbetulkan kerana kunjungan pertama biasanya lebih tertumpu kepada pendidikan dan penerangan mengenai kesihatan.
Penulis ialah Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Uroginekologi di Pusat Perbidanan & Sakit Puan Asia (AOGC).

