Dalam Syawal yang diberkati, masyarakat Melayu/Islam di Singapura meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan kegembiraan dan harapan.
Acara istimewa itu menandakan berakhirnya Ramadan yang suci dan merupakan masa untuk keluarga dan rakan-rakan bertemu.
Tentu sahaja, pelbagai hidangan tradisional dan kuih-muih turut disaji.
Namun, bagi mereka yang menghidapi kencing manis atau berusaha mengelakkan penyakit ini, ia juga merupakan masa penting untuk mengamalkan tabiat pemakanan lebih sihat.
Kencing manis adalah penyakit kronik yang berlaku apabila tubuh tidak dapat mengawal tahap gula dalam darah dengan berkesan.
Terdapat dua jenis utama penyakit itu.
Kencing manis Jenis 1 berlaku apabila sistem imun seseorang menyerang sel-sel yang menghasilkan insulin di pankreas, mengakibatkan tubuh kekurangan insulin. Pesakit kencing manis Jenis 1 memerlukan suntikan insulin sepanjang hayat.
Kencing manis Jenis 2 pula lebih umum. Ia kerap dikaitkan dengan faktor gaya hidup. Badan tidak menghasilkan insulin yang mencukupi atau sel badan menjadi kurang sensitif terhadap insulin, menyebabkan peningkatan kadar gula dalam darah.
Rawatan untuk kencing manis berbeza bergantung mengikut jenisnya.
Untuk kencing manis Jenis 2, pilihan rawatan termasuk ubat-ubatan seperti metformin yang membantu mengawal kadar gula dalam darah.
Selain itu, pengubahsuaian gaya hidup seperti pemakanan sihat, meningkatkan kegiatan fizikal, dan penurunan berat badan adalah penting bagi mencegah dan menguruskan kencing manis dengan berkesan.
Makanan memainkan peranan penting dalam budaya masyarakat Melayu – sebagai cara melahirkan kasih sayang, tradisi, dan identiti.
Perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri memberi peluang kepada keluarga dan rakan-rakan menguatkan silaturahim, berkongsi resipi warisan dan makanan dengan insan tersayang.
Namun, dengan meningkatnya kencing manis dalam masyarakat Melayu/Islam, terdapat keperluan
mendesak untuk menyesuaikan budaya kita bagi menggalak kesihatan tanpa mengorbankan keseronokan atau tradisi.
Dengan limpahan hidangan tradisional dan kuih perayaan, mengamalkan kesederhanaan adalah penting untuk menikmati sambutan tanpa membahayakan kesihatan.
Berikut enam langkah mudah:
1. Makan dengan kesedaran: Kumpulkan anggota keluarga di sekitar meja makan untuk menikmati hidangan lazat. Amalkan cara makan dengan penuh kesedaran dengan merasai setiap suapan dan menghargai usaha yang diambil untuk menyediakannya. Ini membantu melahirkan rasa syukur dan kawalan, sambil mengurangkan risiko makan secara berlebihan.
2. Kawal hidangan: Hidangkan dengan saiz kecil bagi mengelakkan pinggan terlalu penuh dan dorong rakan-rakan dan keluarga agar sedar tentang saiz hidangan mereka. Kita boleh mengamalkan pendekatan, My Healthy Plate, dengan pecahan suku-suku-separuh untuk setiap kumpulan makanan.
Pinggan seimbang boleh merangkumi suku protein (seperti ayam bakar); suku karbohidrat (nasi atau ketupat); dan separuh diisi dengan sayur-sayuran berwarna (sayur lodeh).
3. Rancang hidangan: Jika anda merancang untuk menghadiri pelbagai perjumpaan dalam sehari, cuba ambil tahu apakah yang akan dihidangkan terlebih dahulu. Anda kemudian boleh merancang hidangan anda agar tidak makan berlebihan.
4. Bahan yang lebih sihat: Resipi tradisional boleh disesuaikan dengan menggunakan daging tanpa lemak. Sebagai contoh, daripada menggunakan potongan daging lembu berlemak untuk rendang, cuba gunakan potongan daging tanpa lemak atau buang lemaknya.
Kurangkan penggunaan santan apabila menyediakan hidangan lazat seperti sayur lodeh.
5. Minum air mencukupi: Minum banyak air daripada minuman manis. Anda boleh menikmati kegemaran ramai seperti teh tarik dan minuman berkarbonat, tetapi pastikan dalam kadar sederhana dan jumlah yang terhad.
6. Beri sentuhan sihat kepada kemanisan: Kecenderungan masyarakat Melayu kepada kuih pada musim perayaan boleh diterima, tetapi berikan sentuhan lebih sihat.
A. Buah-buahan segar: Hidangkan pinggan buah-buahan yang membolehkan tetamu menikmati hidangan seperti tembikai, mangga, dan kiwi. Snek semula jadi ini menyegarkan, memberikan penghidratan, dan kaya dengan serat tanpa tambahan gula.
B. Pilihan berkhasiat: Gantikan snek tradisional yang tinggi gula dengan campuran kacang dan biji. Kacang panggang memberikan rasa lemak dan mengekalkan tahap tenaga yang stabil.
C. Hadkan manisan: Walaupun ada godaan untuk menikmati setiap pilihan manis, mengurangkan pengambilan kuih yang manis kepada saiz hidangan kecil dapat membantu mengekalkan keseimbangan tanpa berasa terpinggir.
Bagi ramai individu dalam masyarakat yang menghidapi kencing manis, mematuhi kawalan pemakanan adalah penting bagi mengelakkan tahap gula dalam darah yang tinggi.
Selain daripada pengambilan pemakanan yang seimbang, pematuhan kepada ubat yang ditetapkan adalah penting.
Dalam suasana perayaan, adalah penting untuk mengikut rutin ini bagi mengelakkan turun naik gula dalam darah.
Kembali kepada dos ubat atau insulin seperti sebelum Ramadan.
Jika kurang pasti, lebih baik bertemu dan berbincang dengan doktor.
Sentiasa pastikan anda membawa ubat terutama ketika menghadiri acara. Ini akan membantu mengurangkan godaan untuk menyimpang daripada rutin kesihatan.
Semasa bertemu dan mengukuhkan persahabatan dengan rakan taulan dan keluarga, cuba sertakan kegiatan fizikal dalam hari anda.
Pertimbangkan untuk berjalan kaki singkat di antara perjumpaan, menggunakan tangga daripada lif.
Sambil masyarakat Melayu di Singapura berkumpul untuk meraikan nilai dan amalan budaya yang dikasihi dalam Hari Raya Aidilfitri, adalah penting untuk menggabungkan tradisi ini dengan amalan sihat, terutama bagi mereka yang menguruskan atau berusaha untuk mengelakkan kencing manis.
Dengan mengamalkan panduan mudah yang dijelaskan seperti menekankan kesederhanaan, membuat pilihan hidangan yang bijak, dan mengekalkan rutin ubat, kita dapat menghormati warisan dan budaya sambil mengutamakan kesihatan.
Ketika musim perayaan ini, marilah kita merayakannya dengan penuh keceriaan, menjaga tubuh di samping mengekalkan tradisi yang dikasihi.
Dr Faisal Johandi merupakan Residen Kanan (Pendaftar) dalam bidang Perubatan Geriatrik. Beliau juga memegang jawatan sebagai Pengerusi M³@Marsiling-Yew Tee.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg