Apabila Aifa Yusrah Muhammad Aidil, lapan tahun, melangkah masuk ke bilik rawatan di hospital, dia hanya membawa anak patung pilihannya.
Santapan halwa telinganya pula merupakan lagu-lagu kegemaran yang dapat menenangkannya sewaktu menjalani rawatan.
Pada awal 2025, Aifa Yusrah, anak bongsu dua beradik, disahkan menghidap pineoblastoma, sejenis barah otak yang jarang berlaku dan sangat ganas dalam menyerang sel-sel dalam badan.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), ibunya, Cik Siti Nuraisyah Abdullah, 35 tahun, seorang eksekutif operasi lapangan terbang, mengimbau detik permulaan nasib Aifa berubah ketika mereka bercuti bersama keluarga ke Kuala Lumpur pada hujung 2024.
“Aifa sering mengadu sakit kepala, kemudian katanya penglihatannya berganda. Dia mula muntah dan mengalami keletihan yang melampau.
“Kami sangka ia cuma virus biasa,” singkap Cik Siti Nuraisyah, yang mempunyai seorang lagi anak perempuan berusia sembilan tahun.
“Tetapi apabila doktor... meneliti hasil imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) Aifa dan meminta rundingan lanjut, hati saya terus berkecai.
“Beberapa hari kemudian, kami diberitahu dia ada ketumbuhan otak malignan,” kata Cik Siti Nuraisyah, yang menggambarkan dunianya bak runtuh ketika itu.
Dalam bulan-bulan mencabar yang menyusul, Aifa membina kekuatan, meskipun usianya masih muda.
Anak patung kesayangannya didakap erat pada setiap sesi dan lagu-lagu ceria yang dipilihnya, bagi membantu mengawal pernafasan sepanjang terapi proton.
Terapi proton dilakukan untuk merawat barah dan beberapa ketumbuhan bukan barah dengan menyasarkan radiasi secara tepat pada tumor sambil mengurangkan seberapa mungkin kerosakan pada tisu sihat di sekelilingnya.
Ia amat bermanfaat apabila merawat ketumbuhan berhampiran kawasan sensitif seperti otak, saraf tunjang atau mata, serta dalam kes pesakit kanak-kanak, terapi proton boleh mengurangkan kesan sampingan jangka panjang.
“Pada mulanya, pelitup rawatan yang agak ketat itu menakutkannya sehingga pasukan perubatan mempertimbangkan menggunakan ubat bius.
“Namun, dengan sokongan Yayasan Barah Kanak-Kanak (CCF), doktor dan jururawat yang bertugas, Aifa menemukan keberaniannya,” ujar Cik Siti Nuraisyah.
Salah satu cabaran terbesar dalam rawatan Aifa ialah berjauhan daripada kakaknya, Auni Yushayrah.
Hampir dua bulan adik-beradik itu hanya dapat berhubung melalui panggilan video.
“Mereka menangis sebab rindukan satu sama lain. Mereka buat kad dan lipat burung origami untuk mengubat rasa rindu,” tambah Cik Siti Nuraisyah.
Sokongan CCF, satu-satunya agensi khidmat sosial di Singapura yang menyediakan perkhidmatan Child Life di Hospital Universiti Nasional (NUH) dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH), juga penting bagi membimbing keluarga mengharungi cabaran baru, selain membantu Aifa memahami dan mengurus semangat bingkasnya.
Khidmat Child Life adalah bidang khusus dalam jagaan kesihatan yang tertumpu pada usaha membantu kanak-kanak dan keluarga mereka menangani tekanan dan kegelisahan berurusan dengan pelbagai perihal rawatan yang dijalani.
“CCF bukan sahaja menyokong Aifa. Mereka sokong kami sekeluarga. Saya tak perlu pikul beban ini seorang diri,” tambah Cik Siti Nuraisyah.
Harapan keluarganya hanya satu, iaitu tiada lagi barah pada Aifa.
“Cukup dengan senyumannya, dan keluarga kami kembali bersatu,” kata Cik Siti Nuraisyah, penuh harapan.
Sejajar dengan usaha CCF membantu Aifa dan kanak-kanak sepertinya, sebuah kempen untuk meningkatkan kesedaran tentang barah dalam kalangan kanak-kanak, Hair for Hope, akan kembali pada 26 dan 27 Julai di VivoCity dengan tema, ‘Bersama, Kita Boleh’ (Together, We Can).
Pada dua hari kempen berlangsung, orang ramai yang menyokong dipelawa memotong atau mencukur rambut, menyumbangkan kata-kata semangat atau menyalurkan derma bagi membantu membiayai perkhidmatan penting yang menyokong bukan sahaja pesakit barah kanak-kanak bahkan juga keluarga mereka.
CCF dalam kenyataannya menjelaskan mereka yang belum bersedia untuk mencukur atau memotong rambut masih boleh mengambil bahagian dengan menderma dan menyokong inisiatif itu.
Semua dana yang dikumpulkan bagi kempen, Hair for Hope, akan disalurkan kepada lima teras sokongan CCF, iaitu penjagaan psikososial, bantuan kewangan, sokongan pendidikan, penglibatan keluarga dan penjagaan paliatif dan kehilangan nyawa.
Mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman web, hairforhope.org.sg.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg