Industri penjagaan kesihatan yang terus berkembang bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin menua boleh membuka lebih banyak laluan kerjaya untuk diterokai karyawan Muslim, sama ada yang masih belia mahupun mereka yang ingin membuat pertukaran kerjaya pertengahan usia.

Mengamati perkembangan tersebut, pada 9 Mei lalu, AMP Singapura menganjurkan satu acara yang bertujuan menghubungkan karyawan Muslim yang ingin menceburi atau beralih kepada industri jagaan kesihatan, dengan maklumat berguna yang dikongsi pengamal sektor tersebut.

Sesi sembang Kopi With Healthcare, dengan tema ‘Dari Langkah Pertama ke Kerjaya Jangka Panjang dalam Jagaan Kesihatan’ itu berlangsung di Pusat Ng Teng Fong bagi Inovasi Jagaan Kesihatan di Jalan Tan Tock Seng.

Seramai 70 orang hadir pada sesi ini, yang merupakan sebahagian siri sembang yang dianjurkan AMP Singapura, menyusuli pelancaran Kolektif Karyawan Muslim (MPC) pada Oktober 2024.

Siri ini merupakan jambatan antara program rasmi MPC dengan usaha menyediakan ruang santai untuk karyawan berhubung, berkongsi idea, dan meneroka peluang berkembang dan bekerjasama.

Dalam satu kenyataan AMP, badan itu menjelaskan, memandangkan sektor penjagaan kesihatan merupakan tonggak utama pekerjaan dan kestabilan ekonomi, acara ini bertujuan menangani salah faham umum bahawa sektor jagaan kesihatan ini bersifat eksklusif atau sukar dicapai oleh mereka yang memulakan kerjaya lewat dalam kehidupan.

Sesi ini turut mengetengahkan laluan peralihan kerjaya pertengahan yang berstruktur serta tahap komitmen yang diperlukan untuk melatih semula kemahiran dan menyertai industri ini.

Selain itu, ia telah memaparkan pelbagai prospek pekerjaan dalam sektor ini, melebihi peranan yang sedia ada, termasuk kesihatan bersekutu, operasi, penjagaan kemasyarakatan dan fungsi sokongan.

Kata Anggota Lembaga AMP, Cik Siti Zubaidah Yusoff, dalam ucaptama pada acara tersebut: “Permintaan terhadap penjagaan kesihatan bukan sahaja semakin meningkat, malah ia juga sedang berubah.

“Maksud ‘penjagaan’ kini semakin meluas. Ia tidak lagi tertumpu kepada rawatan di hospital atau klinik sahaja, tetapi turut merangkumi sokongan berasaskan masyarakat, penjagaan pencegahan, pemulihan, kesihatan mental serta penjagaan jangka panjang yang mengiringi individu pada pelbagai peringkat kehidupan.”

Panel penceramah terdiri daripada Felow Penyelidik di Hospital Besar Singapura (SGH), Dr Humairah Zainal; ahli farmasi dan Pengarah Urusan Alami Clinic, Encik Imran Shah; serta Ketua dan Pekerja Sosial Perubatan Utama di Hospital Thye Hua Kwan, Cik Mardiana Sabtu.

Panel perbincangan ‘Kopi With Healthcare’ pada 9 Mei lalu terdiri daripada (dari kanan) Cik Mardiana Sabtu, Encik Imran Shah, dan Dr Humairah Zainal. Di kiri ialah Cik Nessa Anwar yang bertindak sebagai moderator. Mereka berkongsi tentang laluan kelayakan yang realistik, pertimbangan ekonomi bagi mereka yang ingin bertukar kerjaya, serta bagaimana golongan karyawan daripada latar belakang bukan kesihatan masih boleh memainkan peranan dalam ekosistem penjagaan kesihatan.
Panel perbincangan ‘Kopi With Healthcare’ pada 9 Mei lalu terdiri daripada (dari kanan) Cik Mardiana Sabtu, Encik Imran Shah, dan Dr Humairah Zainal. Di kiri ialah Cik Nessa Anwar yang bertindak sebagai moderator. Mereka berkongsi tentang laluan kelayakan yang realistik, pertimbangan ekonomi bagi mereka yang ingin bertukar kerjaya, serta bagaimana golongan karyawan daripada latar belakang bukan kesihatan masih boleh memainkan peranan dalam ekosistem penjagaan kesihatan. - Foto AMP

Mereka berkongsi tentang laluan kelayakan yang realistik, pertimbangan ekonomi bagi mereka yang ingin bertukar kerjaya, serta bagaimana golongan karyawan daripada latar belakang bukan kesihatan masih boleh memainkan peranan dalam ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih luas.

Mengulas tentang acara ini, Pengarah Eksekutif AMP Singapura, Encik Mohksin Rashid, berkata:

“Memandangkan sektor penjagaan kesihatan Singapura terus berkembang, ia bukan sekadar menawarkan pekerjaan, malah menyediakan laluan kerjaya bermakna dan mampan bagi masyarakat kita.

“Di AMP, usaha memperkukuh kesejahteraan ekonomi masyarakat Islam bermakna membantu individu mengakses peluang dalam sektor yang mempunyai kestabilan dan pertumbuhan jangka panjang.

“Melalui inisiatif seperti Kopi with Healthcare, kami menetapkan sasaran memperkasa golongan karyawan muda dan mereka yang berada di pertengahan kerjaya, agar mereka menyedari bahawa masih belum terlambat untuk beralih arah, melatih semula kemahiran, dan membina masa depan dalam industri penting yang memenuhi keperluan mata pencarian serta masyarakat.”