Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Skim Apartmen Penjagaan Masyarakat model jaga, atur hidup warga emas

Aug 17, 2025 | 9:30 PM
kim Apartmen Penjagaan Masyarakat (CCA), Harmony Village @ Bukit Batok
Projek pertama di bawah Skim Apartmen Penjagaan Masyarakat (CCA), Harmony Village @ Bukit Batok, terletak di persimpangan Bukit Batok West Avenue 9 dan Bukit Batok Street 41. Setiap tingkat mempunyai bilik aktiviti, dengan penduduk boleh membaca surat khabar atau berbual dengan jiran. - Foto fail

Skim Apartmen Penjagaan Masyarakat (CCA), yang buat julung-julung kalinya dilancarkan pada 2021 melalui projek Harmony Village @ Bukit Batok, memberi gambaran terhadap model penjagaan jangka panjang dan pengaturan kehidupan bagi warga emas pada masa hadapan.

Ini lebih-lebih lagi sedang masyarakat Singapura kian menua, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Namun demikian, beliau berkata CCA tidak boleh menjadi satu-satunya huraian utama kerana ia tidak mampan untuk terus membina lebih banyak CCA.

Berucap pada Rapat Hari Kebangsaan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central pada 17 Ogos, beliau berkata:

“Terdapat had terhadap bilangan CCA yang kami dapat bina. Lagipun, sebahagian besar warga senja tidak mahu berpindah (dari rumah mereka).

“Mereka telah menetap di rumah tersebut sejak sekian lama. Mereka telah terbiasa dengan jiran-jiran dan persekitaran semasa.

“Oleh itu, mereka lebih cenderung untuk meniti usia di persekitaran mereka, dan kami (pemerintah) perlu membuat persiapan bagi mereka.”

Menurut laporan Berita Harian pada Mac 2024, sehingga 30 CCA akan dilancarkan menjelang 2030 sekiranya model penjagaan itu terbukti berkesan dan boleh diperluaskan.

CCA dibangunkan secara bersama oleh Kementerian Pembangunan Negara (MND), Kementerian Kesihatan (MOH) dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Ia bertujuan menyediakan lebih banyak pilihan perumahan untuk warga emas di tengah-tengah penduduk yang semakin menua, yang dibina dengan ciri dan kelengkapan mesra warga emas, serta mempunyai perkhidmatan penjagaan bersepadu.

Sebagai contoh, setiap unit akan dilengkapi dengan, antara lain, bilik mandi yang boleh diakses kerusi roda dan lantai antigelincir serta palang pemegang.

Penduduk juga perlu melanggan pakej perkhidmatan asas, termasuk pemantauan kecemasan 24 jam dan pemeriksaan kesihatan asas.

Encik Wong berkata demikian sebelum mengumumkan inisiatif rintis baru, Kejiranan Sihat Menua, yang menggabungkan skim sokongan sedia ada bagi warga tua dan juga wadah menguji idea baru.

Ini diusahakan bagi warga emas meniti usia senja selancar mungkin dan penuh bermaruah di kejiranan masing-masing.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg