Diet karnivor ialah satu corak pemakanan yang hanya membenarkan pengambilan makanan berasaskan haiwan seperti daging, ayam, telur, makanan laut, produk tenusu, dan air.
Semua makanan berasaskan tumbuhan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, bijirin, kekacang, biji-bijian dan kacang dilarang sepenuhnya.
Oleh itu, ia sering dikenali sebagai diet ‘sifar karbohidrat’.
Oleh kerana diet ini melibatkan sekatan pengambilan karbohidrat, ia menyerupai diet ketogenik (keto).
Tanpa karbohidrat sebagai sumber tenaga, tubuh akan memecahkan lemak yang tersimpan kepada keton untuk digunakan sebagai tenaga.
Keadaan metabolik itu yang dikenali sebagai ketosis, telah dikaitkan dengan kehilangan lemak, justeru itulah mengapa sesetengah individu mengalami penurunan berat badan melalui diet ini.
Namun begitu, produk haiwan masih mengandungi kalori, dan jika diambil secara berlebihan, kalori itu akan disimpan sebagai lemak.
Oleh itu, untuk menurunkan berat badan secara berkesan melalui diet karnivor, seseorang mesti berada dalam keadaan defisit kalori iaitu mengambil lebih sedikit kalori daripada produk haiwan berbanding jumlah tenaga yang digunakan oleh tubuh melalui fungsi harian dan kegiatan fizikal.
Diet karnivor menjadi trend di media sosial, terutama disebabkan oleh beberapa manfaat yang dianggap berkesan, termasuk:
+ Penurunan berat badan akibat pembakaran sel lemak
+ Kawalan gula darah yang lebih baik, hasil penghapusan gula dan karbohidrat terproses
+ Kurang keradangan, dikaitkan dengan penyakit kronik seperti kencing manis, sakit jantung, barah dan;
+ Kejelasan mental dan mood lebih baik, dengan beberapa kajian menunjukkan kaitan antara pengambilan daging yang lebih rendah dengan penurunan gejala kebimbangan dan kemurungan.
Namun begitu, terdapat juga beberapa kebimbangan kesihatan yang berkaitan dengan pengambilan diet tinggi protein/rendah karbohidrat dalam jangka panjang, antaranya:
+ Kolesterol tinggi: Pengambilan tinggi lemak tepu daripada haiwan boleh meningkatkan paras lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) atau kolesterol ‘jahat’, sekali gus meningkatkan risiko penyakit jantung.
+ Risiko osteoporosis: Penghasilan keton yang berlebihan boleh meningkatkan keasidan darah yang mungkin mendorong kehilangan kalsium daripada tulang.
+ Batu karang: Diet tinggi protein haiwan boleh meningkatkan paras asid urik dan kalsium, yang boleh meningkatkan risiko pembentukan batu karang.
+ Kesihatan usus yang lemah: Kekurangan serat dalam diet boleh menjejas kelancaran pergerakan usus, meningkatkan keradangan dan risiko barah usus atau kolorektum.
Data jangka panjang dan kesan kesihatan diet ini masih dalam peringkat perkembangan, memandangkan ia merupakan diet yang agak baru dan tahap pematuhan dalam jangka panjang juga berbeza.
Diet karnivor mungkin tidak sesuai untuk semua orang.
Sebelum memulakan sebarang diet baharu, khususnya yang mengecualikan keseluruhan kumpulan makanan, adalah wajar mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.
Walau ketiga-tiga diet itu mengehadkan pengambilan karbohidrat, terdapat perbezaan ketara dalam jenis makanan yang dibenarkan dan tumpuan terhadap makronutrien:
Diet Keto: Seperti diet karnivor, diet keto mendorong keadaan ketosis dengan mengehadkan pengambilan karbohidrat, namun tidak menghapuskannya sepenuhnya. Ia membenarkan antara 20 antara 50 gram karbohidrat sehari, yang lazimnya diperoleh daripada sayur bukan berkanji atau buah-buahan rendah gula.
Diet ini turut menekankan pengambilan lemak yang tinggi (sekitar 60 peratus daripada jumlah kalori harian) dan protein pada tahap sederhana (antara 30 dengan 35 peratus).
Ia juga membawa risiko serupa dengan diet karnivor, termasuk paras kolesterol yang tinggi, pembentukan batu karang, serta kehilangan jisim otot jika pengambilan protein terlalu rendah.
Diet Paleo: Diilhamkan oleh corak pemakanan manusia purba, diet paleo menekankan pengambilan makanan semula jadi yang tidak diproses seperti daging, makanan laut, telur, buah-buahan, sayur-sayuran, kekacang dan biji-bijian. Ia mengecualikan produk tenusu, bijirin, kekacang berkanji, serta gula dan makanan yang telah diproses.
Berbanding diet keto atau karnivor, diet paleo lebih seimbang dari segi pemakanan dan cenderung lebih mudah untuk diamalkan.
Ia sering dikaitkan dengan manfaat seperti penurunan berat badan, pengurangan tekanan darah, dan peningkatan kesihatan jantung.
Namun begitu, diet ini masih dianggap agak ketat dan boleh menjadi mahal untuk diamalkan secara tekal dalam jangka panjang.
Penulis Pengarah Perubatan di Aelius Surgical Centre, Mount Elizabeth Orchard, Singapura


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg