Topik diikuti
Pergi ke BHkuWanita perlu kenali tubuh daripada haid hingga kesuburan
Ramai wanita muda di Asia masih menunggu sehingga mengalami masalah haid, merancang untuk berkahwin atau mahu mendapatkan zuriat sebelum berjumpa pakar sakit puan buat kali pertama.
Kebimbangan terhadap pemeriksaan yang dianggap menyakitkan, rasa malu serta tanggapan bahawa kunjungan ke pakar sakit puan hanya diperlukan selepas seseorang wanita aktif secara seksual turut menyebabkan pemeriksaan kesihatan reproduktif ditangguhkan.
Menurut Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Uroginekologi di Pusat Perbidanan & Sakit Puan Asia (AOGC), Dr Harvard Lin, keadaan itu lebih ketara dalam masyarakat Asia yang masih menganggap perbincangan mengenai kesihatan seksual dan reproduktif sebagai perkara sensitif.
Berdasarkan pengalamannya, Dr Lin berkata kesedaran untuk mendapatkan penjagaan ginekologi di peringkat pencegahan iaitu sejak usia muda masih belum menjadi kebiasaan dalam kalangan wanita Asia.
“Di banyak bahagian Asia, wanita biasanya berjumpa pakar sakit puan buat kali pertama pada awal hingga pertengahan usia 20-an, atau kadangkala lebih lewat.
“Mereka selalunya datang apabila terdapat keperluan tertentu seperti membuat persiapan untuk berkahwin, mengalami masalah haid atau cuba mendapatkan zuriat,” katanya.
Budaya antara punca pemeriksaan lewat
Menurut Dr Lin, kecenderungan wanita Asia mendapatkan pemeriksaan lebih lewat berbanding wanita di kebanyakan negara Barat banyak dipengaruhi norma budaya dan sosial.
Perbincangan mengenai kesihatan reproduktif dan seksual masih dianggap sensitif atau tabu dalam sesetengah keluarga dan masyarakat.
Keadaan itu boleh menyebabkan wanita muda, termasuk ibu bapa mereka, berasa kurang selesa untuk membincangkan isu berkaitan haid, perubahan tubuh atau kesihatan seksual, sekali gus menyebabkan mereka keberatan mendapatkan nasihat profesional lebih awal.
Menurut Dr Lin, persepsi sedemikian perlu diubah kerana penjagaan ginekologi bukan semata-mata berkaitan kegiatan seksual, kehamilan atau kesuburan, sebaliknya sebahagian daripada penjagaan kesihatan wanita secara menyeluruh.
Kebimbangan terhadap pemeriksaan dalaman turut menjadi penghalang.
Sebahagian wanita muda membayangkan bahawa setiap kunjungan ke pakar sakit puan akan melibatkan penggunaan spekulum, iaitu alat perubatan yang digunakan untuk membuka dinding faraj supaya doktor dapat menjalankan pemeriksaan, atau prosedur lain yang mungkin menyebabkan rasa tidak selesa.
Hakikatnya, kunjungan awal tidak semestinya memerlukan pemeriksaan sedemikian.
Konsultasi boleh bermula dengan perbincangan mengenai kitaran haid, perubahan tubuh, kesihatan reproduktif dan sebarang gejala yang dialami, bergantung kepada usia, keadaan serta keperluan pesakit.
Dr Lin berkata, kekurangan perkhidmatan kesihatan yang mesra golongan muda serta kesedaran mengenai manfaat penjagaan pencegahan turut menyumbang kepada kelewatan mendapatkan pemeriksaan.
Akibatnya, ramai wanita mengambil pendekatan reaktif dengan hanya mendapatkan rawatan selepas mengalami gejala, berbanding mendapatkan maklumat dan nasihat lebih awal sebagai langkah pencegahan.
Usah anggap sakit itu normal
Kelewatan mendapatkan pemeriksaan boleh memberi kesan pada kesihatan dan kesuburan dalam jangka panjang, terutama apabila gejala yang sepatutnya diperiksa dianggap sebagai perkara biasa.
Antaranya termasuk pendarahan haid yang berpanjangan atau terlalu banyak, sakit haid yang teruk, sakit ketika melakukan hubungan seks dan kekeringan faraj yang berterusan.
Gejala sedemikian tidak semestinya menandakan penyakit serius, tetapi tidak seharusnya diabaikan jika berlarutan atau mengganggu kehidupan harian.
Ia boleh dikaitkan dengan masalah seperti ketidakseimbangan hormon atau endometriosis, iaitu keadaan apabila tisu yang menyerupai lapisan dalam rahim tumbuh di luar rahim.
Kelewatan mendapatkan pemeriksaan juga boleh menyebabkan sesetengah penyakit hanya dikenal pasti pada peringkat lebih lewat.
TINGKAT PENGETAHUAN, DAPATKAN KEPASTIAN
Pendekatan dalam penjagaan kesihatan wanita perlu beralih daripada hanya mendapatkan rawatan apabila sakit kepada usaha meningkatkan pengetahuan, mendapatkan kepastian dan pencegahan awal.
Bagi remaja perempuan yang pertama kali berjumpa pakar sakit puan, kehadiran ibu juga boleh membantu mengurangkan kebimbangan.
Dr Lin berkata, wanita muda, terutama remaja, sering datang bersama ibu atau salah seorang ibu bapa ketika kunjungan pertama.
Ibu bapa boleh membantu memberikan sejarah perubatan keluarga, sokongan emosi dan memudahkan anak mendapatkan rawatan.
Pada masa sama, doktor biasanya akan memberikan peluang kepada pesakit muda untuk bercakap secara bersendirian tanpa kehadiran ibu bapa bagi sebahagian daripada sesi konsultasi.
Langkah itu penting kerana remaja mungkin lebih selesa membincangkan perkara sensitif seperti haid, kegiatan seksual atau kebimbangan mengenai tubuh mereka secara peribadi.
Menurut Dr Lin, kerahsiaan membantu membina kepercayaan antara doktor dengan pesakit dan menggalakkan remaja perempuan bercakap secara lebih terbuka mengenai tahap kesihatan mereka.
Pendekatan yang menggabungkan sokongan ibu bapa dan ruang peribadi kepada pesakit juga membantu wanita bertanggungjawab terhadap kesihatan diri.
Dalam era media sosial yang menyaksikan pelbagai maklumat mengenai kesihatan wanita tersebar dengan pantas, termasuk maklumat yang tidak tepat, mendapatkan nasihat daripada sumber perubatan yang dipercayai menjadi semakin penting.
Bagi Dr Lin, perkara utama ialah menjadikan kunjungan ke pakar sakit puan sebagai sebahagian daripada penjagaan kesihatan biasa dan bukan sesuatu yang hanya dilakukan apabila timbul masalah.
Pemeriksaan awal bukan semestinya bermaksud menjalani prosedur invasif.
Ia juga boleh menjadi ruang untuk remaja perempuan memahami tubuh sendiri, mengetahui perubahan yang normal, mengenal pasti tanda yang memerlukan perhatian dan membina hubungan dengan doktor yang dipercayai.
Langkah itu akhirnya boleh membantu wanita membuat keputusan mengenai kesihatan mereka dengan lebih yakin pada setiap peringkat kehidupan.
