CONGO: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak Ebola yang sedang melanda Republik Demokratik Congo (DRC) dan Uganda sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Membimbangkan Dunia (PHEIC).

Ia sekali gus mencetuskan kekhuatiran mengenai potensi penularan rentas sempadan di Afrika.

Penyakit Ebola yang terkenal sebagai antara virus paling berbahaya di dunia boleh menyebabkan demam berdarah serius dan membawa maut jika tidak dirawat segera.

WHO dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) kini memberi amaran bahawa negara berhampiran termasuk Sudan Selatan berada pada risiko tinggi penularan wabak itu.

Sejarah menunjukkan wabak Ebola terbesar berlaku antara 2014 dengan 2016 di Afrika Barat, melibatkan kira-kira 28,600 kes jangkitan.

Kadar kematian Ebola hingga 90 peratus

Menurut WHO, kadar kematian Ebola secara purata sekitar 50 peratus, namun, beberapa wabak sebelum ini mencatat kadar kematian antara 25 dengan 90 peratus.

Virus Ebola pertama kali dikenal pasti pada 1976 di kawasan yang kini dikenali sebagai Republik Demokratik Congo, berhampiran Sungai Ebola yang kemudian menjadi asal nama penyakit tersebut.

Penyakit itu disebabkan sekumpulan virus dikenali sebagai orthoebolavirus.

Empat jenis utama virus Ebola yang diketahui menjangkiti manusia ialah virus Ebola; virus Sudan, virus, Tai Forest dan virus Bundibugyo.

Wabak terkini di DRC dan Uganda dikaitkan dengan strain Bundibugyo Ebola, namun sehingga kini belum ada vaksin atau rawatan khusus yang diluluskan bagi strain tersebut.

Gejala bermula seperti demam biasa

Pakar kesihatan menjelaskan gejala awal Ebola sering menyerupai penyakit biasa seperti demam atau influenza. Antara gejala awal termasuk demam, sakit kepala, sakit badan, keletihan, lemah badan dan sakit tekak.

Apabila keadaan pesakit semakin serius, gejala boleh berkembang menjadi muntah, cirit-birit, sakit perut, ruam serta pendarahan luar atau dalaman tanpa sebab jelas.

WHO berkata sesetengah pesakit turut mengalami pendarahan dari hidung, gusi, muntah berdarah dan najis berdarah.

Tempoh inkubasi Ebola ialah antara dua dengan 21 hari selepas seseorang terdedah kepada virus itu, namun, kebanyakan kes mula menunjukkan gejala sekitar lapan hingga 10 hari kemudian.

Ebola tidak merebak melalui udara

CDC menegaskan Ebola bukan penyakit bawaan udara dan tidak merebak hanya kerana berada berhampiran individu dijangkiti.

Virus itu hanya merebak melalui sentuhan langsung dengan cecair badan individu yang dijangkiti atau meninggal dunia akibat Ebola.

Antara cecair badan yang boleh menyebarkan virus ialah darah, air liur, muntah, air kencing, peluh, najis, susu ibu dan air mani.

Virus juga boleh merebak melalui pakaian, cadar, jarum atau peralatan perubatan yang tercemar.

Dalam sesetengah kes, Ebola boleh berpunca daripada haiwan liar dijangkiti seperti kelawar buah dan primat bukan manusia.

WHO percaya kelawar buah daripada keluarga, Pteropodidae, merupakan hos semula jadi virus tersebut.

Petugas kesihatan antara paling berisiko

Petugas kesihatan dan anggota keluarga yang menjaga pesakit Ebola dikenal pasti sebagai kumpulan paling berisiko dijangkiti.

WHO berkata ramai petugas kesihatan dijangkiti ketika merawat pesakit akibat kegagalan mematuhi langkah kawalan jangkitan secara ketat.

Upacara pengebumian yang melibatkan sentuhan terus dengan mayat mangsa Ebola juga boleh menyebabkan penularan virus.

Pakar kesihatan mengingatkan bahawa pengasingan pesakit dan pemakaian peralatan perlindungan diri sangat penting bagi mengelakkan wabak merebak.

Vaksin hanya berkesan untuk satu strain Ebola

Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) telah meluluskan vaksin ERVEBO untuk perlindungan terhadap strain Ebola Zaire sahaja.

WHO berkata dua vaksin utama yang diluluskan setakat ini ialah Ervebo serta Zabdeno dan Mvabea.

Namun, tiada vaksin khusus yang diluluskan untuk strain Bundibugyo atau Sudan Ebola.

Walaupun begitu, beberapa vaksin kini dibangunkan dan diuji.

Rawatan awal tingkat peluang hidup

Pakar menegaskan Ebola tidak semestinya membawa maut jika pesakit menerima rawatan awal dan sokongan perubatan intensif.

Rawatan sokongan termasuk pemberian cecair, elektrolit, ubat mengawal tekanan darah, rawatan jangkitan sekunder dan pengurusan gejala lain boleh meningkatkan peluang pesakit untuk terus hidup.

WHO berkata rawatan awal dan penghidratan intensif mampu menyelamatkan nyawa ramai pesakit Ebola.

Selain itu, dua rawatan antibodi monoklonal dikenali sebagai Inmazeb dan Ebanga kini diluluskan untuk Ebola virus disease jenis Zaire.

WHO gesa pemantauan ketat di lapangan terbang

WHO kini menggesa semua negara memperketat pemeriksaan kesihatan di pintu masuk antarabangsa termasuk lapangan terbang.

Amerika Syarikat turut memperkenalkan pemeriksaan tambahan dan sekatan sementara terhadap pelancong dari kawasan wabak.

Pakar mengingatkan pengembara yang pulang dari negara terjejas supaya memantau kesihatan selama 21 hari.

Mereka dinasihatkan segera mendapatkan rawatan jika mengalami demam, muntah, cirit-birit atau pendarahan luar biasa.

Pencegahan langkah paling penting

WHO berkata kesedaran masyarakat memainkan peranan penting dalam mengawal Ebola.

Orang ramai dinasihatkan mengelakkan sentuhan dengan cecair badan individu sakit, tidak mengendalikan haiwan liar atau memakan daging mentah haiwan hutan serta sentiasa menjaga kebersihan tangan.

“Pencegahan awal dan tindakan pantas sangat penting untuk menghentikan penularan Ebola,” ujar WHO.

WHO turut menekankan bahawa komunikasi terbuka dengan masyarakat dan pengesanan kontak rapat adalah antara langkah paling berkesan untuk mengawal wabak.

Walaupun risiko kepada orang awam di luar kawasan wabak masih dianggap rendah, pakar kesihatan memberi amaran Ebola kekal sebagai ancaman serius di peringkat sejagat yang memerlukan kesiapsiagaan antarabangsa berterusan. – Agensi berita.