Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ye Kung: Akta baru diusul bagi lindungi, perkukuh data genetik warga

MOH akan jalankan perundingan awam secara meluas
Jul 10, 2025 | 4:08 PM
Ong Ye Kung, Pameran Kecerdasan buatan AI, Pusat Kesihatan dan Inovasi
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung (tengah), melawat Pameran Kecerdasan buatan AI semasa persidangan Pusat Kesihatan dan Inovasi (CHI) pada 10 Julai. - Foto ST

Undang-undang baru yang dicadangkan untuk melindungi data genetik terkumpul warga Singapura akan diperkukuh untuk memberi kejelasan sama ada maklumat keturunan itu boleh atau tidak boleh digunakan.

Kementerian Kesihatan (MOH) akan menjalankan perundingan awam secara meluas mengenainya kelak, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.

“Bagi penjagaan kesihatan dapat diberikan dengan lancar merentasi semua tetapan, terutama dalam masyarakat, data pesakit perlu diperolehi dan dikongsi dalam kalangan penyedia penjagaan kesihatan di tempat mereka mendapatkan rawatan,” katanya, lapor The Straits Times.

Melakukan demikian dengan segera menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan siber, yang sedang MOH tangani dengan mengukuhkan prasarana teknologi maklumat (IT), tambahnya.

Encik Ong berkata demikian ketika berucap di persidangan Pusat bagi Inovasi Jagaan Kesihatan (CHI) yang kesembilan di Pusat Inovasi bagi Jagaan Kesihatan Ng Teng Fong pada 10 Julai.

Pemeriksaan genetik bagi keadaan perubatan orang awam sudah dijalankan sebagai sebahagian daripada program seluruh negara untuk meningkatkan penjagaan pencegahan di Singapura.

Mulai 30 Jun, penduduk Singapura yang layak, misalnya, boleh menjalani ujian hiperkolesterolemia keluarga (FH) – keadaan genetik yang menyebabkan paras kolesterol tinggi pada kadar subsidi.

Ia bertujuan mengenal pasti individu dengan FH lebih awal dan mengurangkan risiko penyakit jantung pramatang dengan campur tangan yang tepat pada masanya.

Untuk menangani kebimbangan mengenai privasi data, Encik Ong, yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, berkata kementeriannya akan menggubal undang-undang baru – Akta Maklumat Kesihatan.

“Di bawah akta tersebut, di luar pelbagai langkah perlindungan data, pesakit boleh memilih menyekat perkongsian data perubatannya dalam kalangan penyedia penjagaan kesihatan yang merawatnya,” ujarnya.

Walaupun ini mungkin bukan aturan ideal dan boleh menjejas mutu jagaan pesakit, namun membuat pilihan sedemikian dapat mengatasi kebimbangan dan memberi keyakinan, tambah Encik Ong.

Apabila data genetik mudah didapati, ia akan menimbulkan kebimbangan orang ramai tentang cara data itu digunakan dan sama ada teknologi “secara tidak sengaja akan mendorong kita merentasi garis sosial dan etika”.

“Justeru, MOH sedang berusaha untuk meningkatkan perlindungan perundangan berhubung penggunaan maklumat ujian genetik dan akan menjalankan perundingan awam secara meluas.

“Perundangan itu akan memberi kejelasan mengenai maklumat genetik yang boleh digunakan, seperti untuk rawatan perubatan, dan apa yang ia tidak boleh digunakan, seperti dalam memutuskan tentang pekerjaan dan (perlindungan) insurans,” katanya.

Encik Ong selanjutnya berkata selain menangani kebimbangan yang timbul daripada teknologi, semua orang boleh diperkasa untuk mengambil bahagian dalam inovasi dan memanfaatkan teknologi untuk melakukan kerja dengan lebih baik.

Namun beliau memberi amaran apabila teknologi digital merevolusikan perhubungan manusia, ia mungkin turut mengubah minda satu generasi.

“Buktinya masih diperdebatkan tetapi tanya mana-mana ahli psikologi atau kaunselor, dan mereka akan memberitahu anda kisah bagaimana peranti pintar, permainan video atau ketagihan media sosial telah menimbulkan kesakitan pada minda golongan muda,” tegasnya.

Menurut beliau, walaupun tiada keraguan kecerdasan buatan (AI) akan memberi kesan mendalam kepada masyarakat, namun institusi penjagaan kesihatan perlu “menggunakannya dengan bijak dan teliti”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg