Fatwa berkenaan pemeriksaan saringan bagi penyakit genetik teruk akan dikeluarkan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam masa terdekat.
Garis panduan terperinci dan bahan pendidikan awam berkaitan hal tersebut juga akan dikongsi tidak lama lagi, menurut Muis.
Fatwa tersebut terbentuk berikutan kajian yang dilakukan di bawah inisiatif Makmal Fatwa yang diumumkan Muis pada 2024.
Isu berhubung ujian saringan bagi penyakit genetik teruk telah dibincangkan semasa Simposium Makmal Fatwa 2025 yang diadakan pada 23 Jun di Fairmont Singapore.
Dalam sesi itu, pembentangan tentang perspektif perubatan mengenai Pemeriksaan Pembawa bagi Penyakit Genetik Teruk (Carrier Screening for Severe Genetic Diseases) dan Ujian Genetik Praimplantasi telah dibuat Dr Saumya Shekhar Jamuar, Pengarah Institut Perubatan Ketepatan SingHealth Duke-NUS serta Dr Liu Shuling, Perunding Kanan, Jabatan Perubatan Reproduktif di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH).
Ini diikuti pembentangan oleh Timbalan Mufti, Dr Izal Mustafa Kamar, tentang perspektif Islam berkenaan topik tersebut.
Pemeriksaan Pembawa membolehkan pasangan mengetahui sama ada mereka mempunyai risiko lebih tinggi mempunyai anak yang memiliki isu genetik.
Ini dilakukan melalui analisis sampel darah daripada pasangan.
Pemeriksaan itu memberi peluang kepada pasangan yang berisiko membincangkan risiko genetik mereka pada peringkat awal perancangan keluarga serta membolehkan mereka mempertimbangkan pilihan yang ada.
“Penyakit genetik merupakan satu bentuk kemudaratan yang memerlukan pertimbangan serius di bawah undang-undang Islam.
“Tidak seperti kebanyakan keadaan perubatan lain, penyakit genetik mempunyai ciri unik yang berpotensi bukan sahaja menjejaskan individu itu sendiri, bahkan juga generasi keluarga berikutnya.
“Ini mewujudkan apa yang kita panggil dalam perundangan Islam sebagai kemudaratan berterusan, atau dhoror mustamir,” jelas Dr Izal.
Namun, Dr Izal menambah walaupun pemeriksaan pembawa genetik itu sendiri dibenarkan dalam Islam, persoalan timbul apabila keputusan pemeriksaan yang dilakukan membawa berita kurang menyenangkan.
“Apakah pilihan yang tersedia apabila keputusan pemeriksaan tidak memihak kepada kami?
“Inilah yang difikirkan dengan teliti oleh pasukan di Pejabat Mufti, Jawatankuasa Fatwa dan pengkaji di Makmal Fatwa kerana ia bukan perkara ‘ya atau tidak’ yang mudah dijawab.
“Persoalannya, adakah pilihan-pilihan ini sejajar dengan syariah kita? Adakah ia menimbulkan sebarang pertimbangan etika? Dan yang lebih penting, apakah pendapat pakar tentang pilihan yang tersedia?
“Ulama kami sedang menjalankan kajian lanjut dan berunding dengan pakar, dan apabila kami mempunyai penemuan yang kukuh, kami akan mengemukakannya kepada Jawatankuasa Fatwa untuk pertimbangan mereka,” kata Dr Izal.
Selain isu perubatan, simposium yang dihadiri 300 orang, termasuk golongan asatizah dan beberapa tetamu antarabangsa itu turut mempamerkan perkembangan inovatif dalam metodologi penggubalan fatwa melalui Makmal Fatwa.
Ini termasuk memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam penyelidikan agama.
Mufti, Ustaz Dr Nazirudin Mohd Nasir, dan Mufti Besar Mesir, Dr Nazir Ayyad, telah menyampaikan ucapan masing-masing, yang memberi tumpuan kepada menangani cabaran kontemporari dalam bimbingan agama melalui pendekatan inovatif kepada pembangunan fatwa.
Dr Nazirudin menekankan peranan Makmal Fatwa dalam memupuk fatwa berasaskan penyelidikan dan silang disiplin dalam membina masyarakat Islam yang berdaya tahan dan mempunyai asas yang baik.
Dr Nazir Ayyad pula berkongsi bagaimana institusi fatwa mesti menyesuaikan metodologi dan alat yang digunakan agar kekal relevan dalam persekitaran sejagat yang kian kompleks.
“
“Penyakit genetik merupakan satu bentuk kemudaratan yang memerlukan pertimbangan serius di bawah undang-undang Islam. Tidak seperti kebanyakan keadaan perubatan lain, penyakit genetik mempunyai ciri unik yang berpotensi bukan sahaja menjejaskan individu itu sendiri, bahkan juga generasi keluarga berikutnya. Ini mewujudkan apa yang kita panggil dalam perundangan Islam sebagai kemudaratan berterusan, atau dhoror mustamir.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg