Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ye Kung: Perubahan dasar ‘rider’ IP tidak jejas jagaan kesihatan bersubsidi di hospital awam

Perubahan diperlukan untuk elak harga insurans terus melambung, kurangkan jumlah pesakit berpindah dari jagaan privet ke jagaan awam dalam jangka panjang
Dec 14, 2025 | 5:32 PM
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung bercakap dengan media di acara masyarakat di Kompleks Renang Bukit Canberra pada 14 Disember.
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung bercakap dengan media di acara masyarakat di Kompleks Renang Bukit Canberra pada 14 Disember. - Foto ZAOBAO

Perubahan ke atas dasar perlindungan insurans tambahan atau rider bagi Pelan Perlindungan Insurans Bersepadu (IP) baru-baru ini tidak menjejas jagaan kesihatan bersubsidi di hospital awam,” kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.

Sebaliknya, ia hanya menjejas pemilik IP baru yang berhasrat membeli rider untuk mendapat jagaan kesihatan privet, tambah beliau.

Encik Ong, yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, berkata demikian semasa menjawab soalan media di acara kemasyarakatan yang dihadirinya di Kompleks Renang Bukit Canberra pada 14 Disember.

Dua minggu lalu, Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan perubahan ke atas dasar rider bagi IP.

Rider insurans biasanya menampung dua jenis bayaran tunai yang perlu ditanggung pesakit, iaitu deductible dan co-payment.

Bermula 1 April 2026, MOH tidak lagi membenarkan syarikat insurans menjual rider yang boleh menampung bayaran deductible, atau bayaran tunai yang ditentukan jumlahnya, sebelum syarikat insurans itu menampung baki kos jagaan kesihatan.

Juga, rider yang dibeli antara 27 November 2025 dengan 31 Mac 2026 harus mematuhi syarat tersebut pada 1 April 2028.

Pada masa yang sama, had bayaran bersama atau co-payment tahunan – yang dikenakan selepas deductible dibayar, akan digandakan daripada $3,000 kepada $6,000.

Dengan perlindungan insurans yang dikurangkan ini, MOH menjangka premium atau harga yang dikenakan untuk rider baru akan berkurangan sekitar 30 peratus.

Encik Ong berkata selain maklum balas mengenai kesan perubahan dasar itu ke atas warga Singapura yang mendapatkan jagaan kesihatan di hospital awam, beliau juga menerima maklum balas merangkumi dua perkara lain.

Pertama, perubahan dasar itu bak menyasarkan pemilik insurans dan penjual insurans dan kedua, sama ada perubahan itu akan mengalihkan ramai pesakit privet ke hospital awam untuk mendapatkan jagaan kesihatan dan menyebabkan masa menunggu lebih lama di hospital awam.

Encik Ong berkata beliau bersetuju dengan maklum balas masa menunggu lebih lama di hospital awam kerana ia adalah antara dorongan utama pihaknya mengubah dasar.

Kata beliau, bil hospital dan premium insurans meningkat dengan sangat pantas, menyebabkan sekitar 100,000 pesakit setiap tahun membatalkan rider IP untuk rawatan swasta kerana tidak mampu membayar premium atau beralih ke pelan yang lebih dimampui.

“Oleh itu, kami memperkenalkan perubahan ini bagi mengawal kenaikan kos penjagaan kesihatan swasta dan premium (insurans), serta menggalakkan lebih ramai orang mengurangkan perlindungan rider masing-masing kepada pilihan yang lebih dimampui. Mungkin dengan pengurangan premium sekitar 30 peratus, mereka boleh mengekalkan rider tersebut dan kekal dengan jagaan kesihatan privet,” katanya.

Mengenai keprihatinan syarikat insurans dan pemilik insurans, Encik Ong berkata pemerintah telah mengorak perubahan secara menyeluruh, seperti memperkukuh MediShield Hayat dan memperkenalkan ukur tara kos rawatan tertentu untuk mengawal bayaran jagaan kesihatan daripada melambung.

Menyusuli itu, perubahan ke atas dasar rider IP tidak boleh dielak, ujar beliau.

“Justeru, kami melakukan perubahan tersebut ke atas dasar rider IP baru,” kata Encik Ong.

IP ialah pelan insurans privet tidak wajib yang menyediakan perlindungan tambahan melebihi perlindungan yang ditawarkan oleh MediShield Hayat, skim insurans kesihatan asas wajib Singapura.

IP dijual oleh tujuh syarikat insurans privet, iaitu AIA, Great Eastern, HSBC Life, Income, Prudential, Raffles Health Insurance dan Singlife.

Sekitar 71 peratus penduduk di Singapura – sekitar tiga juta orang – memiliki IP.

Dalam pada itu, Encik Ong menasihati mereka yang sedang mempertimbangkan sama ada untuk membatalkan pelan rider insurans atau beralih kepada pelan yang lebih dimampui supaya bersikap lebih berwaspada ketika berbincang dengan penasihat kewangan. 

“Jika penasihat kewangan anda duduk bersama anda dan berkata ‘beli semuanya’ demi ketenangan fikiran, jangan terima itu sebagai jawapan,” katanya.

Sebaliknya, kita harus meminta pecahan terperinci bagi setiap pelan, termasuk premium serta kos yang perlu ditanggung sendiri dan bertanya dengan jelas apa yang sebenarnya ditawarkan dalam setiap polisi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg