Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Premium insurans kesihatan ‘rider’ lebih rendah mulai Apr

Pemegang polisi perlu tanggung kos perubatan yang mesti dibayar dahulu sebanyak $1,500 hingga $3,500
Nov 26, 2025 | 2:00 PM
MOH, IP, rider
Pemegang polisi pelan insurans perubatan boleh menjangkakan bayaran premium perlindungan tambahan atau ‘rider’ yang lebih rendah mulai 1 April 2026 susulan perubahan yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan (MOH) kepada keperluan perlindungan tambahan Pelan Perlindungan Insurans Bersepadu (IP). - Foto ST

Pemegang polisi pelan insurans kesihatan boleh menjangkakan bayaran premium perlindungan tambahan atau ‘rider’, yang lebih rendah mulai 1 April 2026.

Namun, pemegang polisi perlindungan tambahan baru perlu menanggung kos perubatan yang harus dibayar dahulu oleh pesakit atau ‘deductible’ sebanyak $1,500 hingga $3,500, bergantung pada kelas wad di hospital.

Ini susulan perubahan yang dibuat Kementerian Kesihatan (MOH) kepada keperluan perlindungan tambahan Pelan Perlindungan Insurans Bersepadu (IP), umum kementerian itu dalam satu kenyataan pada 26 November.

MOH berkata had pembayaran bersama akan turut ditingkatkan daripada jumlah minimum semasa sebanyak $3,000 kepada minimum $6,000 setiap tahun, sejajar dengan peningkatan pada bil perubatan sejak kebelakangan ini.

Had pembayaran bersama ini tidak termasuk kos perubatan yang harus dibayar dahulu oleh pesakit.

Buat masa ini, pemegang polisi IP dengan perlindungan tambahan hanya perlu menanggung jumlah yang perlu dibayar pesakit – merangkumi baki bil yang tidak ditanggung oleh MediShield Hayat dan IP.

MOH berkata pendekatan sedemikian dijangka mengurangkan premium perlindungan tambahan kepada sekitar 30 peratus berbanding premium semasa.

Ini bermakna pemegang polisi IP boleh menikmati penjimatan tahunan sekitar $600 untuk perlindungan tambahan hospital swasta dan lebih kurang $200 bagi perlindungan tambahan hospital awam.

“Warga Singapura boleh menjangkakan premium perlindungan tambahan lebih berpatutan berbanding perlindungan tambahan sedia ada yang wujud dalam pasaran hari ini.

“Secara purata, jangkaan bagi bayaran premium perlindungan tambahan IP yang baru adalah 30 peratus lebih rendah berbanding perlindungan tambahan sedia ada dengan perlindungan maksimum,” kata kementerian itu.

IP adalah perlindungan kesihatan tidak wajib yang disediakan oleh syarikat insurans swasta – biasanya untuk menampung kos kemasukan ke wad jenis A atau B1 di hospital awam atau hospital swasta – sebagai tambahan kepada MediShield Hayat.

Semua rakyat Singapura dilindungi di bawah skim MediShield Hayat, yang menampung perbelanjaan untuk kemasukan ke hospital dan beberapa rawatan pesakit luar seperti radioterapi dan dialisis buah pinggang.

Selain daripada IP, syarikat insurans menjual perlindungan tambahan, yang secara umum bertujuan menampung sebahagian atau hampir seluruh bil pesakit.

Kementerian itu berkata perubahan ini dilakukan bagi menangani premium insurans dan kos penjagaan kesihatan swasta yang kian meningkat.

Ini sedang hampir semua syarikat insurans yang menawarkan IP menaikkan premium pelan insurans atau perlindungan tambahan masing-masing pada 2025.

Menukil laporan The Straits Times (ST) pada 10 November, enam daripada tujuh syarikat insurans sedemikian telah menaikkan premium mereka disebabkan tekanan daripada peningkatan pada jumlah tuntutan, inflasi perubatan dan hasil manfaat yang diperluas.

Sebagai sebahagian daripada perubahan kepada keperluan perlindungan tambahan IP, MOH berkata syarikat insurans juga tidak lagi akan menampung kos perubatan yang harus dibayar dahulu oleh pesakit yang ditetapkan MOH, di bawah perlindungan tambahan baru.

Menurut kementerian itu lagi, pendekatan tersebut diambil bagi “memupuk disiplin dalam penggunaan penjagaan kesihatan sejak awal” dalam kalangan pesakit dan syarikat insurans, dengan kos perubatan yang harus dibayar dahulu ini boleh dilunaskan melalui MediSave pesakit, tertakluk pada had pengeluaran sedia ada.

Kementerian itu berkata: “Kini, pemegang polisi boleh membeli perlindungan tambahan bersama IP utama untuk mengurangkan jumlah bayaran bersama atau ‘co-payment’, terutama bagi penjagaan kesihatan swasta.

“Namun demikian, walaupun perlindungan tersebut komprehensif… (dan) dapat meredakan minda pemegang polisi, ia sangat mahal dan meningkatkan kos penjagaan kesihatan.

“Dengan jumlah bayaran bersama yang minimal, terdapat kecenderungan lebih hebat untuk mendapatkan khidmat berlebihan dan risiko penggunaan berlebihan daripada khidmat penjagaan kesihatan oleh pesakit.”

Perubahan kepada keperluan perlindungan tambahan ini, kata MOH, tidak terpakai untuk kira-kira dua juta penduduk Singapura yang mempunyai perlindungan tambahan sedia ada, setakat 26 November.

Kesemua tujuh penyedia insurans IP pula akan mengkaji sama ada untuk menyesuaikan perlindungan sedia ada ini.

Oleh demikian, pemegang polisi disarankan berbincang dengan penasihat kewangan bagi mempertimbangkan sama ada perlindungan tambahan baru lebih sesuai dengan keperluan mereka, ujar kementerian itu.

Syarikat insurans masih boleh menjual perlindungan tambahan sedia ada, tetapi harus memaklumkan pemegang polisi baru yang membelinya selepas 26 November berkenaan peralihan kepada perlindungan tambahan baru selewat-lewatnya sebelum pembaharuan polisi seterusnya selepas 1 April 2028, tambah MOH.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg