Kesilapan perkeranian sebabkan lelaki bebas awal dari penjara; kemudian jalani baki hukuman
Kesilapan perkeranian sebabkan lelaki bebas awal dari penjara; kemudian jalani baki hukuman
Kesilapan perkeranian di Mahkamah Negara menyebabkan seorang lelaki yang disabitkan kesalahan menyerang dua anggota polis dibebaskan lebih awal, iaitu beberapa minggu sebelum tarikh pelepasan yang dijadualkan.
Lelaki tersebut dijatuhi hukuman penjara 32 minggu pada 27 Oktober 2025.
Ini selepas dia mengaku bersalah atas satu tuduhan menyebabkan kecederaan dengan sengaja bagi menghalang seorang pekerja awam daripada menjalankan tugas, serta satu tuduhan mengganggu seorang pekerja awam.
Kesilapan perkeranian dalam pengeluaran Waran Komitmen (Warrant of Commitment) menyebabkan hukuman penjara bagi kedua-dua kesalahan itu berjalan serentak, dan bukan berturut-turut seperti yang ditetapkan sebelum ini, kata Mahkamah Negara pada 30 Januari.
Ini bermakna lelaki berusia 32 tahun itu hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 20 minggu.
Setelah mengambil kira tempoh yang dihabiskan dalam tahanan reman, dia dibebaskan pada hari yang sama hukuman dijatuhkan.
Jurucakap Mahkamah Negara tidak memperincikan bagaimana kesilapan itu dikenal pasti, tetapi berkata lelaki berkenaan secara sukarela hadir ke mahkamah pada 31 Oktober 2025 untuk menjalani baki hukuman penjaranya.
“Insiden ini tidak menyebabkan dia perlu menjalani sebarang pelanjutan kepada tempoh penjara, dan tempoh yang telah dipenuhinya di penjara tetap mengikut hukuman yang telah ditetapkan,” kata jurucakap itu.
Jurucakap tersebut menambah bahawa penambahbaikan proses telah dilaksanakan bagi mengelakkan kesilapan serupa, namun tidak memberikan butiran lanjut.
Menurut dokumen mahkamah, lelaki itu telah membuat panggilan gangguan ke talian kecemasan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) pada 9 Julai 2025, dengan niat untuk mengganggu pengendali talian tersebut.
Pada 14 Julai, dua anggota polis dihantar ke Poliklinik Pasir Ris untuk menahan lelaki tersebut selepas menerima maklumat mengenai keberadaannya.
Anggota polis itu menyoal siasatnya, dan lelaki berkenaan menjadi marah, menyebabkan mereka menahannya.
Lelaki itu melawan, dan semasa pergelutan, dia menumbuk kedua-dua anggota polis tersebut.
Dia akhirnya ditahan dengan bantuan orang awam di poliklinik dan terus mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis semasa diiring ke kenderaan polis.
Lelaki itu kini telah menamatkan tempoh hukuman asalnya.
Ini bukan kali pertama kesilapan perkeranian menyebabkan pesalah menjalani tempoh hukuman salah.
Pada 2007, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan dan lima sebatan selepas mengaku membantu seorang pemiutang haram mengganggu seorang peminjam.
Kesilapan perkeranian menyebabkan dia menerima lapan sebatan, berbanding hukuman asal lima sebatan.
Lelaki itu kemudian menyaman pemerintah untuk menuntut ganti rugi atas sebatan tambahan itu, dengan keluarganya menuntut pampasan sebanyak $3 juta.
Pemerintah telah menyelesaikan pertikaian tersebut dengan jumlah yang tidak didedahkan.

