70 ditangkap elak cukai, duti kastam dalam operasi seminggu
70 ditangkap elak cukai, duti kastam dalam operasi seminggu
Seramai 70 orang ditangkap kerana gagal mengisytiharkan dan membayar cukai bagi barangan di pusat pemeriksaan Singapura dalam satu operasi penguatkuasaan pelbagai agensi selama seminggu, menurut pihak berkuasa pada 22 Januari.
Operasi yang dijalankan bersama oleh Pasukan Polis Singapura (SPF), Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dan Kastam Singapura itu bertujuan mengesan serta mengambil tindakan terhadap kegagalan mematuhi peraturan pelaporan wang tunai rentas sempadan Singapura dan aktiviti rentas sempadan haram yang lain.
Ini dijelaskan dalam satu kenyataan bersama agensi-agensi tersebut.
Menurut kenyataan itu lagi, lebih 10,000 pengembara dan 260 kenderaan dikenal pasti untuk pemeriksaan, manakala lebih 14,000 bagasi dan beg tangan telah diimbas atau diperiksa di pusat pemeriksaan darat, udara dan laut Singapura.
Sepanjang operasi itu, sejumlah $3,398 dalam bentuk duti serta cukai barangan dan perkhidmatan (GST) didapati telah dielakkan bagi barangan seperti rokok dan produk tembakau, minuman keras yang melebihi pelepasan bebas duti, serta barangan yang melebihi had pelepasan import GST.
Sebanyak $21,990 dikenakan sebagai jumlah denda bagi menyelesaikan semua kes tanpa pendakwaan di mahkamah.
“Kes-kes ini termasuk seorang pengembara yang membawa enam set bidai gulung tanpa pengisytiharan, seorang lagi dengan pelbagai barangan mewah yang tidak diisytiharkan, dan individu ketiga dengan jam tangan pintar yang tidak diisytiharkan,” kata kenyataan itu lagi.
ICA turut mengesan dua pengembara yang membawa masuk dan mengeluarkan wang tunai melebihi had dibenarkan sebanyak $20,000 tanpa pengisytiharan, atau membuat pengisytiharan yang tidak tepat.
Kes pertama melibatkan seorang wanita asing berusia 46 tahun yang didapati membawa masuk mata wang asing berjumlah $24,965 ke Singapura tanpa pengisytiharan pada 13 Januari.
Beliau telah diberikan notis amaran.
Dalam kes kedua, seorang lelaki asing berusia 49 tahun ditangkap ketika cuba membawa keluar cek tunai berjumlah $91,789 dari Singapura tanpa pengisytiharan pada 14 Januari.
Beliau dikenakan denda sebanyak $9,000 tanpa pendakwaan di mahkamah.
“Singapura mengambil pendirian serius terhadap penyeludupan wang tunai dan sebarang aktiviti pengubahan wang haram yang berkaitan, serta akan bertindak tegas terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan tersebut dan pihak yang memudahkannya,” tambah agensi terbabit itu lagi.
Pihak berkuasa mengingatkan para pengembara bahawa undang-undang mewajibkan pengisytiharan sekiranya mereka membawa wang tunai atau instrumen kewangan seperti cek atau kiriman wang yang melebihi $20,000 atau nilai setara dalam mata wang asing.
Mereka menambah pengembara bertanggungjawab memastikan pengisytiharan yang tepat dan lengkap bagi barangan yang tertakluk kepada duti dan GST.
Mereka yang secara tidak sah mengelak duti kastam atau duti eksais boleh didenda sehingga 20 kali ganda jumlah yang dielak itu, dipenjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, mereka yang gagal melaporkan atau membuat laporan tidak tepat mengenai pergerakan wang tunai atau instrumen kewangan melebihi jumlah yang dibenarkan boleh didenda sehingga $50,000, dipenjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Perintah perampasan juga boleh dikeluarkan bagi mana-mana bahagian wang tunai yang berkaitan dengan kesalahan tersebut.

